Mulanya dia sendiri takut untuk sertai Muay Thai, tetapi atas saranan ibunya, Shamien Adriana Shamsul Bahri, 12 tahun akur. Bayangkan tidak sekadar mampu mempertahankan diri dari segala ancaman, Adriana juga mampu kurus apabila terikat dengan sesi latihan selama 10 jam selama seminggu. Jadi bagi mak-mak yang nak kurus, anda boleh mencuba untuk bermuaythai.
Perkara ini menjadi sesuatu yang begitu menyeronokkan apabila dua daripada abangnya terlebih dahulu menyertai seni bela diri ini. Malahan merekalah yang memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi padanya untuk turut serta.
‘Walaupun ada yang memandang serong apabila saya mula sertai Muay Thai. Tetapi ianya tidak mematahkan semangat saya. Bagi saya, zaman sekarang apa yang lelaki buat, tiada salahnya perempuan pun lakukan, semuanya bergantung pada kemahuan. Saya langsung tak berasa janggal menjadi fighter
Muay Thai.“Kelebihan yang dapat saya rasakan apabila sertai Muay Thai adalah berkeyakinan apabila berhadapan dengan orang sekeliling yang mempunyai macam-macam cara untuk membuli.
“Malah kelebihan Muay Thai adalah mempunyai badan yang sihat yang secara tidak langsung saya dapat kuruskan badan. Saya juga teruja kerana sukan ini adalah lain dari yang kebiasaan ada di sekolah. Setakat ini, sayalah orang pertama yang mewakili sekolah dalam sukan ini,” ujar Adriana panjang lebar.
Teruja Bila Dah Kurus & Dapat Pingat
Setakat menyertai seni bela diri Muay Thai, Adriana cukup teruja apabila menempa kejayaan demi kejayaan menumbangkan lawannnya dalam setiap pertandingan yang dianjurkan pihak persatuannya. Selain dapat membuktikan kemampuan diri, Adriana juga berbangga dapat mengharumkan nama sekolahnya.
Biar pun sering mengalami luka-luka dan lebam, ianya langsung tidak mematahkan semangat seorang pejuang. Baginya perkara ini menjadi asam, garam dalam seni mempertahankan diri. Akibat sering terjadi, Adriana jadi tidak gentar.
Muay Thai yang dianggap sebagai seni mempertahankan diri yang mengancam dan paling digeruni di dunia membuatkan gadis ini tertarik dengan seni bela diri ini.
“Diam tak diam, saya telah terlibat selama lapan bulan terlibat dalam Muay Thai dan telah berjaya memungut pingat emas di peringkat kebangsaan. Doakan saya berjaya mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa kelak.
‘Selain diri sendiri, mamalah yang jadi pendorong utama untuk saya terus kekal bersemangat untuk berjuang dalam mendapatkan pingat. Terima kasih mama atas segala pengorbanan selama ini,” ungkap Adriana terharu, seraya menutup bicara.
INFO:
Seni mempertahankan diri Muay Thai yang berasal dari negara Thai bukan lagi asing di kalangan masyarakat Malaysia. Jika selama ini seni mempertahankan diri ini sinonim dengan lelaki tapi siapa sangka golongan gadis juga tidak terkecuali.
Sebenarnya seni mempertahan diri yang berasal dari negara jiran, Thailand telah berusia beratus tahun lamanya. Amalan seni bela diri Muay Thai sebagai salah satu teknik membela diri dipercayai mengalami evolusi ketika Thailand menerima pengaruh daripada negara-negara jiran sewaktu proses pembentukan pemerintahannya.