Ya Allah, bukan galakkan buang bayi tapi nak selamatkan nyawa insan tak berdosa ini. Jiwa saya sentiasa diruntun setiap kali membaca berita mahupun mendengar cerita mengenai penemuan bayi. Ada yang ditemui masih hidup dan banyak juga bayi-bayi yang meninggal dunia.
Sedihnya melihat mayat-mayat bayi yang dibuang di longkang di hutan dan merata tempat yang tidak sepatutnya. Mudah air mata ini mengalir melihat insan-insan yang tidak berdosa ini. Apa tidaknya, ada bayi yang ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati…dihurung semut dan ada yang dimakan binatang. Ya Allah…bagaimana menderitanya insan-insan kecil ini sebelum menemui ajal. Apa salah mereka sehingga diperlaku sedemikian rupa?
Jangan HUKUM, Bagi PELUANG BERUBAH
Adakah insan yang mengandungkan bayi-bayi ini tidak mempunyai hati? Tidakkah mereka mempunyai ihsan, empati, simpati dan kasih sayang sehingga sanggup berlaku zalim terhadap darah daging sendiri.
Berzina sudah tentulah berdosa tapi Allah masih memberi kemaafan jika kita benar-benar bertaubat. Untuk ibu bapa atau keluarga di luar sana, jika ada ahli keluarga atau kenalan rapat yang mengandungkan anak luar nikah. Berilah bimbingan dan bantu mereka kembali ke pangkal jalan. Jangan memaki hamun, jangan menghina dan jangan sekali memulaukan golongan ini.
Benar mereka tersilap langkah, berilah peluang untuk mereka berubah. Jangan menghukum golongan ini, bimbing mereka menjadi hamba Allah yang taat. Insya-Allah dengan bantuan dan ihsan kita golongan ini tidak melakukan dosa besar dengan membuang dan membunuh zuriat.
Golongan ini ada yang hatinya mati sehingga tidak dapat melihat kebenaran. Mereka melakukan maksiat dan membuang bayi tanpa rasa bersalah. Asalkan diri terlepas daripada pandangan serong masyarakat.
Tapi bukan semua insan yang terlanjur ini hatinya mati. Ada yang sangat tertekan dan terdesak sehingga mereka melakukan perbuatan di luar jangkaan…Mereka menjadi insan yang tidak berperi kemanusiaan kerana mahu menjaga maruah keluarga…kerana malu dan kerana takut atas segala kesilapan yang dilakukan. Sebab itu mereka mahu menghapuskan segala bukti dengan cara membuang bayi.
Jangan dibunuh BAYI TAK BERDOSA
Ya Allah, tiada sekelumit langsung niat di hati ini untuk menggalakkan maksiat. Cuma saya pernah terfikir berkali-kali, sekiranya ada insan yang sangat-sangat terdesak selepas melakukan dosa dan melahirkan anak luar nikah. Jangan dibuang, jangan dibunuh insan kecil yang tidak berdosa ini. Renung mata anak yang dilahirkan…Kasihanilah dia. Anak ini berhak untuk hidup di muka bumi Allah.
Ads
Ramai insan di luar sana berhabis wang puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan zuriat. Berilah anak-anak ini kepada golongan yang mahukan zuriat. Jangan dibuang anak ke longkang ke hutan dan sebagainya.
Kini banyak rumah kebajikan yang membantu wanita yang mengandung anak luar nikah antaranya Pusat Kebajikan ORPHANCARE. Beri anak kepada orang jika tidak mampu menjaganya. Doakan agar anak-anak ini menjadi anak syurga.
Maaf jika kenyataan saya tidak disetujui oleh pembaca di luar sana. Saya bukan mahu menggalakkan perbuatan yang tidak baik tetapi saya mahu menyelamatkan nyawa-nyawa insan kecil yang tidak berdosa. Semoga coretan ini membuka mata kita agar menjadi masyarakat yang penyayang dan mengambil berat bukannya masyarakat yang menghukum dan menghina orang.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kita bernikah kerana cinta. Ada juga yang kahwin terpaksa, namun akhirnya cinta juga yang ditemui dalam rumah tangga. Dari situ wujud rasa suka, hati tenang menjalani ibadah sebagai suami isteri.
Apabila hati mulai pudar, merasai banyak yang pahit dari yang manis, ada pasangan memilih jalan akhir iaitu penceraian. Perbaiki kembali apa tujuan pernikahan dan jangan buang Allah dan Islam dalam sebanyak mana kita meneguk nikmat yang diberiNya.
Tidak dinafikan penceraian adalah salah satu jalan untuk menjaga hak seorang muslim, baik pihak suami atau pihak isteri, kerana ia adalah solusi yang terbaik jika berlaku yang memang memudaratkan bagi pasangan.
Akan tetapi, Islam juga sangat membenci penceraian bagi pasangan suami isteri, dan ia juga sesuatu yang sangat berat yang banyak Allah sebutkan didalam Al-Quran. Baca saranan pemilik dan pengurus pemasaran Be Ana Home Quran, Anna Rosdijanti Ahmat Rusdi sebelum anda memilih jalan akhir itu.
Selamatkan Hubungan Suami Isteri Dengan Cara Islam
Cari tahu apa faktor utama penceraian
Membuat perbincangan secara empat mata ( suami dan isteri) dan sangat sangat perlu menjaga emosi masing-masing.
Catat dalam sehelai kertas keburukan suami /isteri dan kebaikan suami/ isteri dan jumlahkan keduanya.
Jika ada solusi dari langkah diatas, buat perjanjian dan framekan di dalam bilik tidur.
Membuat perbincangan bersama keluarga suami dan isteri.
Dalam masa yang sama, ajak pasangan pergi surau atau masjid.
Mencari nasihat dari golongan keluarga yang bijaksana.
Jika tidak, mencari ustaz atau ustazah untuk memberi nasihat (boleh ke pihak pejabat agama islam negeri masing-masing)
Jika mampu, buat kelas mingguan bersama ustaz untuk sama-sama mendengar tausiah.
Buat kelas mengaji bersama keluarga, anak,suami dan isteri atau bersama keluarga terdekat yang lain, jika semua tidak boleh membaca dengan baik, sebaiknya memanggil ustaz atau ustazah untuk membuat kelas mengaji bersama keluarga seminggu sekali juga sudah memadai.
Perbanyakkan membaca Al-quran dan tafsir yang banyak bercerita mengenai beratnya hubungan suami isteri dan penceraian (melakukan kajian bersama).
Berikan hadiah kesukaan pasangan.
Perbanyakkan berdoa kepada Allah.
Perlu Diingat!
Perkara diatas adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan berdua, kerana yang ingin diselamatkan adalah rumah yang telah dibina berdua
Pulihkan Kembali Rasa Cinta, Sedarlah..
Usahalah semaksimum mungkin untuk terus memulihkan rasa hati yang telah berubah, dan Allah sahaja yang dapat mengembalikannya kepada rasa itu.
1. Pernikahan adalah janji yang berat
“mitsaqan ghaliza”.
“Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(An-Nisaa’ 4:21)
2. Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
(An-Nisaa’ 4:19)
3. Dari Abu Hurairah:Rasulullah bersabda:
“Janganlah seorang muslim (suami) membenci seorang muslimah (isteri), jika dia tidak suka salah satu dari sifat dia, ada sifat lain yang dia puas hati.” hadith sahih riwayat Muslim
4. Menerusi Abu Hurairah: Rasulullah bersabda:
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah agar kalian saling mencintai”. Hadith sahih riwayat al Bukhari dalam kitab al Adab al Mufrad.
Sumber/Foto: Beanahomequran
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jadilah isteri hot untuk suami, pegang kata-kata ini jika kalian mahu bahagia hingga ke jannah. Suami adalah manusia biasa, mereka mempunyai keperluan yang isteri mesti penuhi. Silapnya isteri, apabila sudah berkahwin sibuk dengan kerjaya dan anak. Mereka tidak sedar tindakan itu mengabaikan suami.
Jika dilihat secara fizikal, suami tampak sasa dengan tubuh yang tegap berbanding isteri. Namun di sebalik sosok tubuh sasa itu, tersimpan perasaan yang begitu halus. Suami juga seperti kita, mereka mahukan layanan dan perhatian. Suami suka dimanja tapi ramai yang nafikan kerana ego.
Penampilan Rapi, Bau Harum
Untuk takhluk hati suami, isteri mesti bijak atur strategi. Tak susah pun, semuanya sudah diajar dalam Islam. Ada tiga nafsu suami yang isteri kena penuhi. Pertama, nafsu matanya. Suami suka melihat isterinya cantik, rapi dan harum.
Kesilapan kebanyakan isteri, bila ke pejabat penampilannya begitu anggun. Namun bila di rumah, selekeh dan kepam. Jadi tak hairanlah ramai suami yang ‘mati’ selera dengan isteri. Jom ubah tabiat ini, jadilah wanita paling hot di mata suami bukannya mata lelaki lain.
Jaga Makan Minum
Cantik sahaja tak cukup, isteri mesti rajin ke dapur. Nak pikat hati suami, tawan perutnya dulu. Belajar masak makanan kegemaran suami, jaga makan minum dengan baik. Suami pasti gembira melihat kesungguhan isteri memasak untuknya.
Walaupun ada pembantu rumah, bab makan minum suami kita kena uruskan. Sebaiknya makan bersama, namun jika kenyang temani suami di meja makan. Jangan biarkan suami keseorangan.
Layanan First Class Di Tempat Tidur
Nafsu ketiga suami adalah keperluan batinnya. Isteri mesti bagi layanan first class di tempat tidur. Jangan acuh tak acuh, keikhlasan isteri dapat dirasai suami. Sesibuk mana pun, tanggung jawab batin mesti dilaksanakan. Inilah syurga suami.
Sebagai isteri, kita dituntut menjaga penampilan luaran dan kecantikan dalaman. Jaga diri sebaiknya kerana kita adalah bidadari suami. Isteri yang hot pasti sentiasa dirindui suami.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kuat sentap? Apa tu? Mengikut Definisi Dewan Bahasa dan Pustaka, dentap ialah menarik dengan kuat. Namun jika dikaitkan sikap seseorang, yang dikatakan sentap atau tersentap itu terjadi apabila kita rasa sakit hati, terasa dengan sindiran, nak marah tak tentu pasal ataupun terkejut dengan kenyataan seseorang.
Orang yang kuat sentap ini terlalu emosi, sensitif dan tidak boleh menerima teguran walaupun teguran itu sekadar gurauan, terlalu mengikut perasaan dan kuat merajuk.
Sebagai seorang suami, kadangkala bosan dan penat juga bila berdepan dengan sikap isteri yang terlalu sensitif dan kuat sentap. Pantang silap, dia akan sentap dan merajuk. Aduh, bagaimana ye?
Bukan Sempurna
Anda kena ingat, isteri juga manusia biasa yang ada banyak kekurangannya. Sama seperti diri anda. Sebagai pasangan, anda perlu terima kekurangan masing-masing. Nak tak nak, anda perlu jalankan tanggungjawab anda untuk mendidik isteri dan mengubah sikap mereka yang tidak elok itu.
Kenal Pasti Punca
Apa puncanya isteri anda teramat sensitif sehingga dia mudah tersentuh hati dan sentap walau pun dengan anda suaminya sendiri. Mungkin isteri mengalami tekanan yang tidak dapat diluahkan. Jadi sentiasa cuba berbual dengan isteri agar dia ada tempat untuk meluahkan segala apa yang dia rasa. Jangan sampai dia memendam seorang diri.
Elakkan Perkara Ini, Walaupun Niatnya Cuma Bergurau
Sebagai suami sudah pasti anda tahu apa yang isteri suka dan tak suka. Kalau dah tahu isteri tak boleh ditegur bab penampilan fizikalnya, elakkan menyentuh tentang perkara itu walau pun niat anda sekadar untuk bergurau.
“Mummy ni comel lah, dah macam teddy bear papa tengok.”
Gerenti dia akan sentap dan merajuk. Mana taknya, perkataan ‘teddy bear’ itu merujuk kepada bentuk badan yang tembam dan montel. Jadi, awas bila bergurau ye wahai suami!
Tegur Berhemah
Sikapnya itu boleh menjadi bertambah buruk. Bayangkan kalau dia bersikap yang sama dengan orang lain. Pasti orang tak selesa dengan dirinya. Pantang bergurau atau orang bercakap sesuatu yang tidak disukai tentang dirinya, terus dia terasa hati dan sentap.
Kena belajar berlapang dada dan isi diri dengan aura positif. Jangan anggap buruk terhadap komen dan gurauan orang yang mungkin tak bermaksud apa-apa. Kalau bersembang serius sepanjang masa, tak syok juga kan?
Ada masanya pula dia sentap dan merajuk bila kehendaknya tak dipenuhi. Sebagai orang yang paling rapat, sentiasa nasihati dia. Bukan semua perkara berlaku mengikut kehendaknya sahaja. Begitu juga dengan orang lain. Jadi, bila kehendaknya tak dituruti, jangan pula terasa hati dan sentap.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kanak-kanak tercekik gula-gula kritikal, ibu bapa pilu."Fahmi sedang berjuang untuk hidup. Seorang kanak-kanak lelaki yang tercekik gula-gula Gummy, dilaporkan dalam keadaan kritikal. Air matanya...