Bila duit anak dah banyak, mak ayah dilarang keras menggunakan duit anak. Lagi bagus, didik diri jangan pinjam duit anak walau pun terdesak, apa lagi menggunakan duit anak-anak untuk kepentingan diri. Sebaliknya bersikap amanah dan membantu anak-anak membiakkan duit raya anak.
Nak tahu macam mana caranya? Jom semak tip ini.
Jangan simpan duit anak di rumah sebaliknya masukkan terus ke akaun bank mereka. Selain bahaya kerana terdedah kepada kes kecurian atau kehilangan akibat kecuaian, ia juga boleh menyebabkan ibu dan ayah ‘terguna’ duit anak-anak.
Sebaik-baiknya simpan duit anak dalam akaun ASW, SSPN atau Tabung Haji yang mempunyai dividen yang tinggi. Sudah pasti wang anak bertambah dari semasa ke semasa.
Lumrah anak-anak memang mahu berbelanja besar dengan duit raya yang diperoleh. Jangan ikutkan kemahuan mereka, semuanya mesti berpada-pada. Beli barang yang anak mahu dengan bajet sederhana, selebihnya simpan dalam bank. Didik anak berjimat dan menghargai nilai wang.
Kanak-kanak boleh dididik tentang pengurusan wang yang bijak ketika mereka berusia 3 tahun lagi. Pada tahap ini, anda perlu terangkan kepada mereka bagaimana perlu menabung dan menunggu duit tabungan cukup, barulah mereka boleh membeli sesuatu yang diinginkan.
Ajar anak berdikari dari kecil. Beri upah jika mereka membantu anda melakukan kerja rumah. Biar anak tahu jika mahukan wang mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya.
Anak-anak cepat bosan dengan alat mainan atau games. Ajar mereka menjaga alat mainan dengan elok supaya ia boleh dijual kembali. Tunjuk cara menjual barangan terpakai kepada anak menerusi online seperti Mudah.my. Ini pasti membuka mata anak-anak untuk menambah tabungan mereka.
Jangan tewas dengan serangan emosi seperti tangisan dan sebagainya yang dilancarkan oleh si kecil, supaya mereka belajar cara mendapatkan sesuatu bukan dengan cara yang mudah. Si kecil tentunya bijak dan boleh memahami apa yang anda ajarkan sejak kecil.
Sediakan 3 tabung untuk anak dengan setiap satunya dilabel; ‘simpanan’, ‘belanja’ dan ‘kongsi’. Setiap kali anak anda ingin menabung, pastikan mereka membahagikan duit sama rata untuk disimpan ke dalam ketiga-tiga tabung tersebut. Tabung simpanan untuk mereka simpan ke dalam bank atau membeli sesuatu yang agak mahal, tabung belanja untuk mereka gunakan bagi membeli stiker comel atau gula-gula kegemaran dan tabung ‘kongsi’ untuk digunakan bagi tujuan seperti memberi derma kepada kawan-kawan yang memerlukan.
Pada umur si kecil anda lima tahun, mereka pasti sudah cukup bijak untuk menetapkan matlamat bagi tabungan mereka. Dengan cara tersebut mereka akan dapat apa yang dihajati dengan duit tabungan itu. Kalau barang permainan atau barangan lain diinginkan itu mahal harganya, anda boleh membantu dengan cara yang betul untuk memastikan matlamat mereka tercapai dalam masa ditetapkan. Contohnya mereka boleh menolong anda membasuh kereta atau menolong membuat kerja rumah atau mendapatkan keputusan yang baik dalam pelajaran.
Setiap kali anak menabung, bantu mereka mengira berapa jumlah yang ada. Beritahu berapa lagi wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat itu dan berikan dorongan untuk mereka terus menabung. Aktiviti sebegini menyeronokkan si kecil anda dan mereka pasti lebih teruja untuk terus menabung.
Apabila si kecil berusia 6 tahun, mak ayah boleh melibatkan mereka dalam membuat keputusan tentang pembelian. Berikan mereka sedikit wang untuk dibelanjakan dan biarkan mereka membuat keputusan sendiri apa yang mahu dibeli. Dengan cara tersebut anda dapat mengajar mereka membuat keputusan dengan duit mereka sendiri.
Waktu keluar membeli-belah, mak ayah mungkin boleh berbincang di hadapan anak-anak tentang keperluan barangan yang akan dibeli. Ini mungkin sudah ada di rumah atau boleh dipinjam atau boleh dibeli dengan harga yang lebih murah di tempat lain. Anak-anak akan belajar untuk menguruskan wang dengan lebih bijak daripada pemerhatian mereka terhadap anda berdua.
Tak bermakna anak-anak masih kecil dan tidak tahu apa-apa ibubapa boleh ‘bedal’ duit anak-anak. Jika kita mahu duit, kita cari sendiri. Bila anak-anak dewasa kelak mereka boleh guna duit simpanan itu untuk pendidikan, beli barang keperluan sekolah dan lain-lain