Budaya Pelik Perkahwinan Serata Dunia

Perkahwinan itu merupakan penyatuan dua insan dalam satu ikatan. Daripada berstatus pasangan kekasih, mereka kemudian bergelar suami isteri yang sah dan diraikan mengikut adat dan budaya masing-masing. Walaupun begitu, masih wujud amalan pelik ataupun kepercayaan yang masih lagi diguna pakai sehingga kini. Khabarnya lagi, sekiranya amalan itu tidak diteruskan, kemungkinan besar perkahwinan pengantin tadi bakal ditimpa malang dan jodohnya tidak panjang. Berikut adalah ritual pelik lagi aneh yang masih kekal diamalkan bagi meraikan pasangan pengantin baru diseluruh dunia.

1. Juadah dari mangkuk tandas
Di Perancis sudah menjadi kebiasaan pasangan pengantin baru wajib menikmati hidangan istimewa. Tetapi selepas anda mengetahui cara makanan istimewa tersebut dihidangkan, pastinya anda akan memikirkan berkali-kali nak makan atau pun tidak. Ini kerana semua sisa makanan tetamu akan disatukan dan dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk khas menyerupai mangkuk tandas. Pasangan pengantin baru itu wajib menghabiskan makanan tersebut tanpa meninggalkan sedikit pun sisa-sisa. Sekiranya makanan itu tidak dimakan, pasangan pengantin baru itu perlu membayar cukai sebagai denda yang khabarnya cukup besar nilainya.

2. Bersedia dikotorkan
Di Scotland, pasangan pengantin baru akan disirami dengan sebaldi cecair yang merupakan gabungan apa sahaja bahan yang boleh didapati di dapur. Antaranya sos tomato, tepung, daging cincang, isi ikan dan apa-apa sahaja yang kotor. Ahli keluarga dan teman-teman kepada pengantin akan bergilir-gilir mengotorkan pengantin dengan campuran cecair itu. Setelah dikotorkan dengan sengaja, pasangan pengantin kemudian di bawa keluar dalam keadaan kotor sebegitu. Masyarakat di Scotland percaya, pengantin wanita terutamanya yang dikotorkan itu akan menjadi lebih kental dan kuat mentalnya dalam mendepani apa jua ujian dalam rumah tangga di masa depan.

3. Berkahwin dengan pokok
Tradisi perkahwinan di India cukup unik, ini termasuk ada juga pengantin yang memilih untuk berkahwin dengan objek. Perkahwinan ini dikenali sebagai ‘manglik’. Manglik merupakan perkahwinan di antara manusia dengan pokok, anjing sebelum mereka dibenarkan berkahwin dengan manusia. Bagi masyarakat disana, mereka yakin sekiranya pengantin itu tidak berkahwin dengan objek terlebih dahulu, dikhuatiri sama ada pengantin lelaki atau pengantin perempuan akan meninggal dunia sebaik mereka berkahwin nanti.

4. Ibu pengantin yang membawa malang
Dalam kepercayaan masyarakat Benggali pula, ibu kepada pengantin lelaki dan juga pengantin perempuan dilarang keras menghadiri hari perkahwinan anak-anak mereka. Ini kerana masyarakat di sana mempercayai wujudnya semangat jahat yang datang daripada ibu pengantin dan boleh mengancam keharmonian rumah tangga pasangan ini. Jadi jangan pelik ya kalau ibu kepada pengantin tak nampak pula kelibatnya di hari perkahwinan anak mereka.

5. Memanah pegantin perempuan
Di China salah satu daripada agenda ritual pengantin di sana adalah dengan mengadakan sesi memanah yang dilakukan oleh pengantin lelaki ke atas pengantin perempuan. Walau bagaimanapun anak panah yang digunakan oleh pengantin lelaki tidak mempunyai bahagian mata yang tajam. Lazimnya anak panah tersebut akan disasarkan oleh pengantin lelaki ke arah isterinya sebanyak tiga kali. Selesai sesi memanah, pengantin lelaki akan mengutip kembali anak panah yang telah digunakan dan mematahkannya kepada dua bahagian. Menurut kepercayaan masyarakat di sana, simboliknya penggunaan anak panah itu menunjukkan ikatan cinta pasangan baru berkahwin ini akan berkekalan selamanya.

6. Lebih berisi lebih baik

Jika pengantin perempuan lain sanggup mengikat perut, demi kelihatan jelita dan langsing di hari perkahwinan mereka, lain pula kisah pengantin perempuan di Mauritius. Pengantin perempuan di negara tersebut, diarahkan makan sebanyak mungkin bagi menaikkan berat badan. Katanya pengantin yang berisi lebih baik dan ia juga melambangkan kesuburan, kekayaan serta kemewahan. Untuk pengetahuan anda lagi, lelaki di Mauritius lebih cenderung mencari calon isteri yang berisi kerana ia lebih menawan.

7. Lamaran dengan menggunakan gigi ikan paus
Di Fiji tradisi yang masih terus diamalkan adalah dengan menggunakan rantaian gigi ikan paus sebagai sebahagian daripada tradisi melamar pengantin perempuan. Gigi ikan paus tersebut dikenali sebagai ‘tabua’ dan ia akan dipersembahkan kepada bapa bakal pengantin perempuan sewaktu sesi lamaran oleh pengantin lelaki. Hampir ke semua keluarga di Fiji menyimpan tabua bagi kegunaan anak-anak lelaki mereka terutamanya apabila tibanya masa mereka ingin melamar gadis pujaan hati.

8. Bersedia untuk diludah
Puak kaum Masai di Kenya masih lagi mengekalkan adat kepercayaan yang menjadi pegangan nenek moyang mereka sejak dahulu lagi. Di sini, tidak ada istilah, bercinta sebelum kahwin. Sebaliknya urusan perkahwinan diserahkan sebulat-bulatnya kepada orang tua dan mereka akan mengadakan satu mesyuarat bagi memilih calon suami yang sesuai untuk dijodohkan dengan anak perempuan mereka.Hanya apabila calon suami sudahpun ditemui, barulah majlis perkahwinan berlangsung. Di hari perkahwinan itu, lazimnya pengantin perempuan akan dibotakkan kepala mereka keseluruhannya. Kemudian kepala pengantin perempuan itu akan dilumurkan dengan lemak kambing yang telah dijadikan minyak. Bagi melengkapkan ritual tradisi itu, si bapa pengantin perempuan akan meludah ke bahagian kepala anaknya dan ke bahagian payudaranya simbolik restu,tuah dan nasib yang baik.

9. Putih
Secara normalnya, pemilihan warna putih cukup sinonim dengan pengantin. Ia merupakan lambang kesucian, peralihan dan penghormatan terhadap ikatan suci pasangan pengantin baru. Di Jepun, pengantin perempuan di sana akan menggenakan busana pengantin serba putih dilengkapi dengan solekan wajah yang putih. Ia merupakan simbolik kepada kesucian dan juga lambang keegoan seorang menantu perempuan terhadap ibu mertuanya. Ini kerana pengantin perempuan disana akan memakai hiasan kepala khas yang memberi pengertian ego dan pentingkan diri. Selain itu ia juga menjadi simbol kepada kelembutan dan isteri yang mentaati sang suami.

10. Kasut pengantin lelaki
Di India, pengantin lelaki lazimnya akan menanggalkan kasut mereka sebelum melangkah ke upacara pernikahan. Sebaik kasutnya ditanggalkan, akan ada ahli keluarga pengantin perempuan yang ditugaskan untuk ‘mencuri’ kasut pengantin lelaki. Manakala pihak keluarga pengantin lelaki pula ditugaskan untuk mengawasi kasut si pengantin lelaki daripada dicuri. Sekiranya kasut tersebut berjaya dicuri, pihak pengantin lelaki perlu membayar denda untuk mendapatkan kasut itu semula.