
Isi Kandungan
ToggleMasih dalam mood raya, mak ayah tolong ambil perhatian keselamatan anak-anak yang ingin keluar pergi beraya. Zaman sekarang tak macam dahulu, bebas keluar rumah seorang diri tanpa risaukan bahaya mahupun keselamatan diri.Macam-macam ancaman jenayah boleh berlaku buat anak.
Terbaru, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Puncak Alam, Selangor, untuk beraya, semalam.
Kehilangan kanak-kanak itu, Syafiqah Farhan’ie Mohd Norhisyam, disedari kakak mangsa yang memaklumkan kejadian itu kepada ibu mereka, 9 malam tadi.
Raya Bersama 2 Rakan
Ibu mangsa, Farihah Mat Salleh, 36, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu yang tinggal bersama ibu saudaranya di Puncak Alam ada memaklumkan mahu beraya bersama dua rakannya.
“Kakaknya (anak kedua Farihah) ada memaklumkan Syafiqah keluar untuk beraya bersama dua rakannya kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.
“Namun, sehingga jam 9 malam tadi, dia masih belum pulang menyebabkan kakaknya menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Paling Lewat 6 Petang
Farihah berkata, sebelum kehilangan Syafiqah semalam, anaknya itu juga ada pergi beraya, kelmarin, namun pulang ke rumah jam 5 petang.
“Setiap hari dia akan pulang ke rumah paling lewat jam 6 petang. Tidak pernah dia tidak pulang ke rumah.
“Malah ketika keluar semalam, dia tidak membawa apa-apa termasuk telefon bimbit kerana Shafiqah tidak memilikinya,” katanya yang memaklumkan anaknya tinggal bersama mak cik mereka sejak tahun lalu.
Dia yang bekerja sebagai pengurus sebuah restoran di Bukit Jalil, memaklumkan sudah cuba mendapatkan maklumat daripada ibu bapa rakan anaknya yang lain menerusi kumpulan sembang WhatsApp.
“Namun, tiada ibu bapa rakannya yang lain mempunyai maklumat mengenai keberadaan Shafiqah. Malah, saya sendiri masih mencari ibu bapa dua kanak-kanak yang dikatakan keluar beraya bersamanya.

“Selain memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah, saya juga sudah mencari di kawasan sekitar Puncak Alam, namun gagal menemuinya,” katanya.
Katanya, kali terakhir Syafiqah dilihat memakai baju-T berwarna merah jambu, seluar jeans biru serta tudung berwarna ungu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Syafiqah diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.
MW: Doakan yang baik-baik.Bantu war-warkan kehilangan kanak-kanak ini semoga kanak-kanak ini bernasib baik dan dapat ditemui dengan selamat hendaknya.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Bikin Berita’ Bukan Kerja Mudah Jauh Sekali Kejar Glamour, Netizen Katalah Apa Saja ‘No Harm’

Isi Kandungan
ToggleLaporan demi laporan dihidangkan kepada pembaca sejak tragedi kebakaran pusat tahfiz yang menggemparkan negara. Mana yang sahih datangnya dari media massa yang punya kredibiliti dalam pemberitaan. Anda tentu sekali tidak mahu dihidangkan dengan cerita-cerita rekaan yang meloyakan.
Seakan mengambil kesempatan di atas musibah yang berlaku pada keluarga mangsa anak-anak tahfiz yang terkorban. Hadirnya pihak media di sana kerana pekerjaan mereka, tanggungjawab mereka. Ada pihak yang kurang senang, tapi maklumat itulah juga yang mereka tagihkan.
Catatan mantan Wartawan Kanan Jenayah, Utusan Malaysia, mantan Penerbit/Editor Berita TV Alhijrah dan mantan Penulis/Editor Kanan Sinar Harian, Syahril A. Kadir berkongsi jerit perih kerjaya kewartawanan dalam status facebooknya. Yang mana pekerjaaan ini boleh dikategorikan antara tertinggi tahap stressnya ini.

KEBAKARAN ITTIFAQIYAH: TERIMA KASIH PIHAK MEDIA
(Catatan ini bertarikh 14 September 2017)

SEAWAL pagi lagi, tanpa henti, kita semua dihidangkan dengan berita-berita, visual dan foto mengenai perkembangan terkini kebakaran Pusat Tahfiz Al-Quran Ittifaqiyah di Keramat yang mengorbankan 24 nyawa itu.
Di sebalik kerja keras pihak bomba, polis, pasukan perubatan, orang ramai dan yang lain-lain itu, kita mungkin lupa usaha berterusan pihak jurufoto, jurukamera dan wartawan yang tanpa penat lelah memberikan liputan terbaik kepada kita semua mengenai tragedi ini.
Selalunya bila melibatkan kes sebegini, wartawan Meja Jenayahlah yang paling sibuk. Tidak cukup di lokasi, mereka akan diarahkan ke bilik mayat, tanah perkuburan, menemubual ahli keluarga mangsa, saksi, pihak berkuasa dan sebagainya.
Selain itu, wartawan di Meja Am juga akan diarahkan untuk membuat berita susulan (follow up) dengan pak menteri, PBT, agensi berkaitan, temubual orang ramai dan lain-lain lagi.
Wartawan yang ditugaskan tidak boleh terlepas sebarang maklumat…baik dari sebesar-besar maklumat hingga ke kecil-kecil info. Ini kerana di pejabat, para editor akan meneliti pula artikel yang dihasilkan kerana acapkali info yang dianggap remeh itulah sebenarnya ‘selling point’ untuk dijadikan berita utama!
Begitu juga jurufoto dan jurukamera. Bos akan minta visual yang terbaik, visual yang mencemaskan, visual yang menyayatkan, visual yang sarat dengan kesedihan dan kemanusiaan…macam-macamlah!

Para sub editor juga kena standby. Kena tentukan halaman mana, tajuk apa, nak letak gambar apa, mana yang nak letak di ruangan depan, tengah, belakang, ejaan dan sebagainya. Itu belum campur unit grafik yang kena standby dengan lakaran, ilustrasi etc.
Mereka yang di kilang cetak pun kena standby. Adakalanya kena print cepat-cepat, adakalanya kena tunggu kerana maklumat akan masuk bertali-arus dan setiap akhbar tak boleh dilihat tertinggal atau ‘miss’ mana-mana bahan penting.

Mereka yang di stesen televisyen juga secara asasnya sama. Ada yang livelah, breaking newslah, berita terkinilah, berita pukul 6 lah, berita pukul 8 lah macam-macam.
Pendek kata kerja ‘bikin berita’ ini bukan kerja mudah. Maklumat kena saring mana sahih dan mana yang tak, gambar dan visual kena teliti mana yang sesuai mana yang tak.
Netizen boleh kata apa saja tetapi kita yang dalam ‘dunia ini’ lebih tahu betapa mencabarnya kerjaya yang kita pilih ini. Namun tak mengapa, no harm. Ini bukan kerja cari glamour. Ini bukan kerja cari populariti. Kerja jalan terus brader!
SALUTE GUYZ!
Sumber/Foto: FB Syahril A. Kadir – Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kisah Benar, Suami Kerja Siang Malam Kumpul Duit RM10 Ribu Demi Tunaikan Impian Isteri Bersalin Hospital Swasta

Isi Kandungan
ToggleBaru-baru ini viral tweet oleh seorang wanita buat bakal suaminya yang hanya ingin bersalin di hospital swasta mewah bertaraf 5 bintang dan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerajaan. Susulan tweet viral tersebut, menimbulkan pelbagai reaksi oleh ramai pihak.
Semoga kejadian kisah benar yang dikongsikan oleh Mohd Hilmi Ahmad Adnan yang pernah bekerja dibahagian Pendaftaran Masuk Wad boleh dijadikan pengajaran buat para suami isteri lain.
Berikut antara perkongsian beliau;
Bila baca tweet perempuan ni, teringat masa tahun 2016 dulu, ada sepasang suami isteri ni datang nak admit kat Gleneagles Medini untuk LSCS (Lower Segment Caesarean Section). Masa isteri dia bagi IC kat aku, suami dia cakap;
“Haaaa ni yang awak nak kan? Nak beranak kat hospital ni”.
Aku pun tanya lah apa maksud suami dia cakap macam tu. Dia kata mereka ada lalu kat depan Gleneagles masa Gleneagles belum buka lagi. Masa tu isteri dia kata kalau nak anak, suami dia kena bawa dia beranak kat Gleneagles.
Lepas aku dah pulangkan IC, isteri dia terus duduk kat sofa tempat menunggu sementara aku nak settlekan pasal bed & deposit dengan suami dia. Aku pun cakap kat suami dia yang aku kena collect deposit RM8,000 sebab ikut hospital policy, memang kena bayar deposit atleast 80% from the total estimated procedure cost (policy masa tahun 2016). Dia memang book single ward masa tu. Suami dia jawab;
“Ada encik, saya mmg ada bawa cash RM10,000 ni. OT (over time) siang malam ni encik nak kumpul duit ni”. Sambil dia ketawa bangga. Kesian juga lah aku dengar sebab suami dia kerja biasa-biasa je.
Lepas tu suami dia tanya lagi, “Kenapa tadi encik kata estimated cost? Bukan ke mmg RM10,000 untuk beranak operate kat sini?”.
Aku pun cakaplah berdasarkan pengalaman aku kerja situ, tak pernah lagi ada LSCS case yang bil dia RM 10,000 sebab bergantung pada keadaan isteri dia dan baby dia. RM10,000 tu cuma anggaran kes LSCS paling simple je. Selalunya LSCS case dalam RM 11K-13K bergantung pada case.
Tak Nak Bagi Harapan Palsu
Kalau ada complication, lagi mahal lah.Aku bukan nak takutkan suami dia tapi aku tak nak bagi harapan palsu. Muka suami dia terus berubah. Suami dia cakap
“Saya memang ada RM10,000 je encik. Ada lagi sikit duit dalam akaun saya tu untuk buat kenduri untuk baby nanti”.
Tapi aku cakap kat dia, dia masih ada masa kalau nak ubah fikiran untuk bawa isteri dia pergi GH kalau betul-betul duit dia cuma ngam-ngam sebab due date isteri dia pun belum sampai lagi sebenarnya & isteri dia belum ada contraction. Lagi pula, dia dah memang ada buku pink GH tu. Ataupun, dia boleh duduk kat double bedded sebab estimated cost untuk double bedded LSCS cuma RM8,000 lebih je masa tu. Lepas tu suami dia jawab
“Tak apalah encik. Proceed je. Memang dia teringin nak beranak kat sini. Lagipun kalau duduk kat ward 2 orang, saya tak boleh teman dia tidur kan?”.
Bil Bertambah
Aku pun proceed je lah admission tu. Masa aku pakaikan wristband pada isteri dia tu, muka isteri dia memang nampak macam excited gila. Maklumlah, belum rasa sakit lagi. Hehe. Selang dua hari lepas tu aku tengak dalam sistem, isteri dia dapat discharge dah. Total bil lebih RM11,000. Tapi baby dia masih tak dapat discharge sebab jaundice. Maksudnya, bil akan semakin bertambah-tambah lah.
So pada para isteri, janganlah nak ikut trend sangat atau nak beranak kat hospital yang gah sangat kalau dah tau si suami tu tak berapa mampu. Ni baru tengok Siti beranak kat Gleneagles, jangan plak terus teringin beranak kat Gleneagles. Huhu. Kesian kat suami tu. Bertolak ansur lah. Duit tu boleh buat benda lain yang lebih penting lagi lepas baby tu dah keluar. Kalau yang betul-betul mampu, silakan lah. Tak salah pun sebab memang selesa pun kalau dok kat hospital swasta. Sedangkan staf hospital yang dapat diskaun tu pun takut nak beranak kat hospital tu.
Selalu orang sebut pasal betapa besarnya pengorbanan isteri mengandung & melahirkan anak. Ye, memang tak ada sesiapa dapat nafikan pengorbanan isteri & ibu tapi tak ramai yang sebut pengorbanan suami yang macam ni.
Ikut Kemampuan & Bajet
Ada penambahan sikit. Aku bukan anti hospital swasta lah. In fact, akak & adik aku pun bersalin kat hospital swasta. Tapi kalau ye pun nak bersalin kat swasta, tengak lah pada bajet anda. Yang aku cerita dalam posting sebelum ni, suami dia tak berapa mampu tapi dia nak duduk hospital 5 star. Dan aku advice suami dia untuk pergi GH tu sebab kami ni staf hospital, DILARANG promote hospital swasta lain. Sebab tu aku suggest suami dia pergi GH.

Bayangkan, anda tidak berapa ada kemampuan tapi anda nak pergi bersalin kat hospital yang kosnya cecah RM12,000 untuk LSCS sedangkan anda boleh bersalin dengan kos cuma RM5,000 kat hospital swasta lain. Lebih elok jika duit tu anda simpan untuk keperluan anda dan keluarga anda selepas anda bersalin.
Bagi yang berkemampuan atau yang nak 1st class service & treatment, dialu-alukan ke hospital mewah (Gleneagles, Prince Court etc). Tepuk dada, tanya selera. Apa-apa pun, terpulang pada anda nak bersalin kat mana sebab itu duit anda & anak anda. Buatlah perbincangan antara suami & isteri. Kerana suami & isteri ada pengorbanan masing-masing.
Jadi para isteri, mohon jadikan kisah ini satu pengajaran dan iktibar. Ukurlah baju dibadan sendiri. Jika suami seorang yang berkemampuan tidak salah bagi seorang isteri untuk membuat permintaan sebegini pada suami, apatah lagi setelah 9 bulan mengandung dan berkorban untuk melahirkan zuriat. Namun jika taraf kemampuan suami adalah sebaliknya dan menyusahkan suami sebaiknya para isteri mempertimbangkan kembali keputusan ini.
Sumber: Mohd Hilmi Ahmad Adnan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kerja Driver Lori Tak Glamor, Tapi Masyukk! Akak Ni Buktikan Wanita Pun Boleh Bawa lori Kontena!

Isi Kandungan
ToggleWanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Selesa Berbaju Kurung
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Sahut Cabaran Rakan
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Pecah Tradisi Kerjaya
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.

Minat Aktiviti Lasak
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI