Budak dirempuh ketika jatuh dari kereta buat pusingan u, mak-mak pastikan kereta mode “child lock”. Bahaya sentiasa menanti, tidak kira situasinya. Semalam tular di media sosial bila mana seorang kanak-kanak dilihat terjatuh dari kenderaan ibu bapanya semasa membuat pusingan u di lampu isyarat depan Kota Sri Mutiara, Jalan Sultan Yahya Petra di sini semalam.
Selepas terjatuh, nasib malang menimpanya bila mana dirinya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas terjatuh dari pintu belakang sebelum dirinya dilihat bangun dalam keadaan agak mamai.
Memetik laporan Kosmo, video kejadian itu tular di media sosial sejak malam tadi apabila kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta sempat merakam kejadian tersebut.
Berdasarkan video itu, sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu sedang membuat pusingan U di lampu isyarat yang terletak di depan kompleks beli-belah itu.
Semasa sedang melakukan pusingan, pintu belakang sebelah kiri kereta itu tiba-tiba terbuka sebelum seorang kanak-kanak terjatuh dari kereta tersebut.
Sebuah kereta yang berwarna putih yang berada di belakang Honda City itu sempat mengelak, namun sebuah SUV jenis Perodua Attiva kemudiannya merempuh kanak-kanak tersebut.
Rempuhan itu mengakibatkan budak itu jatuh tergolek sebelum bingkas bangun dalam keadaan terpinga-pinga pergi ke arah sebuah motosikal yang dinaiki sebuah keluarga.
Penunggang motosikal itu kemudiannya dilihat mendukung dan menenangkan budak itu sebelum membawanya ke arah kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut.
Difahamkan, kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam memastikan kes sebegini tidak berulang, bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan untuk mengenakan mode child lock pada kenderaan masing-masing.
Setiap kenderaan sememangnya dilengkapi kunci keselamatan kanak-kanak yang dibina di pintu belakang bagi mencegah penumpang belakang membuka kenderaan sedang bergerak. Ciri-ciri ini sudah tersedia sejak tahun 1980-an lagi.
Walau ia dipanggil kunci keselamatan kanak-kanak tapi ia berguna untuk orang dewasa juga. Apa yang boleh dilakukan ialah ibu bapa boleh aktif dan menyahaktifkan mode ini dengan menekan pada button tersedia (seperti dalam gambar).
Sebaik sahaja pintu ditutup, kawalan kunci keselamatan kanak-kanak langsung tidak dapat diakses oleh penumpang.
Pintu tersebut tidak dapat dibuka oleh penumpang dari dalam dan juga penumpang tidak dapat menyahaktifkannya.
Pintu hanya boleh dibuka oleh seseorang menggunakan pemegang pintu dari luar, sama ada oleh orang kedua atau oleh penumpang itu sendiri dengan membuka tingkap dan mencapai pemegang pintu luar. Demi keselamatan anak-anak, ibu bapa sila peka tentang child lock ini.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- “Bapa Keluar, Tinggalkan Anak Tanpa Pengawasan.” Kanak-Kanak Meninggal Jatuh Kondominium
Kanak-Kanak 12 Tahun Korban Terkini Strok Haba, Bapa Kongsi Simptom Awal Anak Demam Tak Berpeluh
Kanak-Kanak 3 Tahun Main Skuter Depan Rumah Meninggal Dirempuh 4WD, Ibu Meraung Saksi Kejadian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.