Budak 5 Tahun Dipercayai Jadi Mangsa Rogol Anak Pengasuh!

Share

Menjadi kebimbangan buat mak ayah, apabila menghantar anak dibawah jagaan pengasuh namun diperlakukan sebegini. Tempat yang dirasakan selamat untuk anak-anak rupanya menjadi mimpi ngeri dan meninggalkan trauma buat diri mereka.

Baru-baru ini dilaporkan, budak perempuan berusia lima tahun dipercayai menjadi mangsa rogol anak lelaki pengasuhnya di Taman Lapangan Jaya, Ipoh.Difahamkan, kejadian itu diketahui Khamis lalu, apabila mangsa menceritakan perbuatan remaja berusia 16 tahun itu kepada ibu saudara sebelum dimaklumkan kepada ibunya.

Mengadu Bahagian Sulit Sakit

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa dipercayai menceritakan perbuatan terkutuk anak pengasuhnya kepada ibu saudara.

“Selepas mendapat tahu perkara itu, ibu mangsa bertanya sendiri kepada anaknya. Kanak-kanak itu menceritakan perbuatan suspek selain mengadu bahagian sulitnya sakit,” katanya.

Mazuki berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menjalani pemeriksaan dan keputusan mendapati terdapat kesan koyakan separuh dipercayai akibat tusukan objek tumpul.

Dijaga Sejak Berusia 2 Tahun 6 Bulan

Katanya, mangsa dipercayai sudah mengadu mengenai kesakitan di bahagian sulitnya sejak Isnin lalu namun ibunya tidak mengesyaki apa-apa.

“Selasa lalu, mangsa juga menangis ketika mahu dihantar ke rumah pengasuh dengan mengatakan ada budak lain yang dijaga di situ mahu memukulnya.

“Mangsa dipercayai sudah dijaga oleh ibu suspek sejak berusia dua tahun enam bulan manakala suspek tidak bersekolah dan membantu menjaga anak-anak yang diasuh ketika ibunya memasak,” katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

MW: Allahu, memang risau dan bimbang bila ada kes sebegini. Semoga anak-anak kita sentiasa dibawah perlindunganNya. Pesanan juga buat mak ayah, agar lebih berwaspada dan melihat pelbagai aspek sebelum memilih pengasuh yang tepat untuk menjaga anak-anak ketika kita keluar bekerja.

Sumber: Hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab