Ada benarnya, sebagai mak ayah dan orang tua, seringkali memikirkan duit simpanan, rumah pusaka dan harta benda buat kegunaan dan kemudahan anak cucu bila diri dah tiada dunia. Hakikatnya, anak-anak dan cucu-cucu ada rezeki mereka masing-masing. Biarlah mereka berusaha dengan selagi daya. Sebaliknya, tinggalkanlah anak cucu dengan ilmu, iman dan amal sebagai bekalan ‘harta’ yang tidak ternilai.
Bagi kita, duit simpanan dan harta benda yang ada, ‘laburkan’ untuk persediaan di alam sana. Banyakkan bersedekah, derma, infak dan manfaatkannya untuk kembara melihat dunia.
Bak kata ustaz baru-baru niee… buat apa mu dok simpan duit banyak-banyak. “Untuk anak cucu, ustaz.” Anak-anak cucu mu ada rezeki masing-masing. Di usia tua, savings mu tak dapat menolong pun dalam kubur. Ada duit- derma atau kembara lihat ciptaan Allah.
Pesanan Ibu Yang Membuat Saya Tersentak
“Ingat nak. Kadang-kadang orang beli rumah, mereka terlupa yang umur dia makin lama makin meningkat tua. Tenaga kita pun bukan semakin bertambah.
Berapa ramai orang yang beli rumah dua tingkat, tiga tingkat, akhirnya cuma guna bilik kecil di tingkat bawah dan yang paling hampir dengan tandas.
Katil yang tinggi dan mewah, turun ke lantai. Dapur yang di ‘renovate’ berpuluh ribu diganti dengan meja makan 20×40 inci tepi katil. Kolam renang cuma mampu dilihat. Besen berisi kain buruk yang diletak ditepi katillah kolam renang kita.
Kita fikir nak senangkan anak-anak, tapi bila kita tua dan mati, anak-anak dah ada rumah sendiri. Design rumah 30 tahun akan datang tak sama dengan sekarang. Taknak mereka duduk rumah pusaka. Akhirnya dijual. Kalau rambang mata silap-silap pusaka kita jadi fitnah bergaduh sesama saudara.
Ambillah jalan sederhana. Beli rumah yang cukup-cukup untuk kita berselisih bahu dengan ahli keluarga. Lebih mesra. Bukan yang 10 kali laung pun tak muncul-muncul depan muka. Lebihan duit yang ada, binalah rumah mewah untuk keluarga kita disyurga sana”
Perkongsian yang cukup hebat untuk kita semua.
MW: Semoga bermanfaat dan menjadi renungan buat kita. Harta yang ada manfaatkanlah sebaiknya untuk kegunaan kita di alam yang kekal abadi selamanya. Tinggalkanlah anak cucu dengan ilmu, iman dan amal sebagai bekalan ‘harta’ yang tidak ternilai.
Sumber: Iman Qowiyy