Bosan? Kenapa boleh timbulnya perasaan sebegitu? Itulah antara sifat semula jadi manusia. Terkadang bosan tanpa sebab. Bila bosan tak diubati dengan keceriaan, ia berubah menjadi ‘bad mood’.

Bosan Akhirnya Bad Mood

Orang yang kerap bad mood pasti tidak akan disukai ramai. Hujungnya dia akan dilihat sebagai bermasalah. Bad mood kalau berterusan akan berubah menjadi gangguan psikologi. Anda tahu bukan, psikologi yang terbelah hujungnya akan membuatkan sewel?

Saya memberikan keceriaan pada diri sendiri dengan mempelbagaikan pakaian yang saya pakai. Memang jarang sekali orang hendak muncul di kaca tv dengan macam-macam warna baju, malah artis pun kadang-kadang tidak berani pakai warna yang saya pakai. Kenapa?

Sebab saya adalah lambang keceriaan, kalau saya sendiri gloomy, kewujudan saya sebagai motivator tulen boleh dipertikai, “Apalah, kata motivator, tapi hidup macam orang tak ada motivasi.”

Bosan? Ubah Rutin Dan Warnai Kehidupan Biar CERIA Dan BersemangatHilangkan Bosan, Warnai Kehidupan

Anda juga boleh lakukan seperti saya. Namun kalau pekerjaan anda tidak membolehkan anda bertukar warna pakaian setiap hari, ubahlah selalu warna-warna yang berada di persekitaran anda. Misalnya, anda boleh tukar warna kereta lima tahun sekali. Dengan teknologi wrap, sesebuah kereta boleh diubah warnanya dalam tempoh beberapa jam sahaja dan dengan kos yang jauh lebih murah berbanding cat tradisional.

Bayangkan bulan lepas kereta anda berwarna biru terang, hari ini berwarna merah pula. Bukankah ia memberikan keceriaan?

Ubah Warna Pada Kediaman

Anda juga boleh menukar warna langsir di ruang yang memang lebih kerap anda berada di situ, misalnya ruang utama. Usah biarkan langsir bertahun di situ hingga debu pun sudah sebati dengannya. Pekerjaan ini tidak rumit sebab anda hanya menukar bahagian yang perlu sahaja, bukan keseluruhan rumah.

Jika boleh, menukar cat rumah pun baik terutama apabila cat lama sudah rosak. Jangan biarkan dinding di bahagian penting rumah anda nampak terabai hingga menyamai dinding-dinding vandalisme di luar sana. Jika kos menjadi masalah, alternatifnya adalah wall paper.

IKLAN

Lagi artikel menarik di sini:

Memang Tengah Bosan Tapi Jangan Banyak Sangat Tidur, Boleh Undang Penyakit Kronik!

Suami Isteri Kena Saling Goda-Menggoda Elak Rasa Bosan Dalam Rumahtangga

Jangan lupa FOLLOW MINGGUAN WANITA di instagram

Ubat Bosan Dengan Ubah Meja Kerja

Begitu juga ruang kerja anda di pejabat. Jangan biarkan ia kekal pada kedudukan yang sama sampai bertahun-tahun. Sejak masuk kerja sampai sekarang, di sudut itulah anda berada dan pada kedudukan begitulah tak berubah-ubah.

Berikan sedikit keceriaan dengan mengubah kedudukan, kalau dulu menghadap dinding, sekarang menghadap pintu. Anda juga boleh bermodal sendiri untuk meletakkan kertas berwarna di bawah lapik cermin sekiranya meja kerja anda jenis demikian.

Sebenarnya, ada banyak lagi cara bagaimana anda boleh menceriakan lagi kehidupan. Berfikirlah sejenak, anda akan dapati ada pelbagai idea baru boleh anda apply untuk menjadikan hidup lebih berseri.

Ubah Rutin Harian Elak Bosan

Jika ingin tahu apa yang saya lakukan selain tentang warna baju tadi, saya juga mengubah sistem saya bekerja. Dahulu saya mulakan seawal selesai subuh, saya akan update Fb, tetapi sekarang selepas waktu dhuha.

Satu ketika dahulu, saya jogging di taman seawal 8.00 pagi, sekarang saya hanya cycling di rumah. Bosan begitu, saya akan reka schedule baru supaya rutin hidup saya tidak sama sepanjang masa.

Sesekali saya menunggang motosikal ke pejabat. Motosikal yang saya gunakan bukan motosikal besar pun, hanya motosikal kecil sama standard dengan golongan marhaen. Kadang-kadang pergi ke bank sendiri sedangkan ada kakitangan untuk melakukan itu semua.

Gelagat Orang

Hendak lebih ceria, saya angkat telefon dan telefon pejabat-pejabat kerajaan dan swasta di mana kami berurusan dan mendengar sendiri pelbagai alasan yang mereka berikan; “Maaf encik, kami black out di sini;maaf encik, fail encik tidak dapat dikesan; maaf encik bayaran internet syarikat encik tertunggak,”bdan macam-macam lagi. Semuanya itu memberikan keceriaan.

Oh iye, kadang-kadang saya sendiri menghantar kenderaan rasmi syarikat untuk servis dan menunggu di situ. Nampak macam tak sesuai tetapi di situlah saya dapat memerhatikan pelbagai gelagat manusia, hujungnya menjadi idea untuk saya olah ia menjadi motivasi 3E yang padu, padat lagi evergreen.

Doa Dan Mohon Petunjuk Allah

Dan jangan lupa, simpulkan kesemuanya pada penghujung hari dan serahkan kembali kepada TUHAN. Mengadulah atas apa-apa juga kesakitan yang terpaksa anda tempuh dan memohonlah supaya mendapat kehidupan yang lebih baik.

Kita sentiasa ada tempat untuk mengadu dan memohon kerana ALLAH tidak pernah bosan mendengar rintihan hamba-hamba-NYA. Setelah anda luahkan segalanya, keluarlah untuk menikmati hidup yang seterusnya.

Kalau semuanya terasa masalah, bukan masalah itu yang berat tetapi jiwa anda yang membejat. Leraikan dan carilah sebab-sebab yang boleh meleraikannya. Hidup mesti ceria tau…

Sumber: HM TUAH ISKANDAR al-Haj