Bingkaikan masa depan anak-anak agar kejayaan jadi milik mereka. Tugas itu adalah tugas mak ayah. Saya percaya semua ibu bapa inginkan masa depan yang baik untuk anak-anak. Tiada seorang pun daripada kita yang ingin melihat anaknya menjadi orang yang merana atau tidak memiliki masa depan yang cerah.
Oleh sebab itulah, ramai ibu bapa yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit demi memastikan pembelajaran anak pada tahap yang terbaik. Tidak cukup dengan sekolah, kelas-kelas tambahan juga turut menjadi tumpuan. Tujuannya satu, agar anak-anak mendapat pembelajaran yang terbaik dan menjadi orang yang berjaya.
Hakikatnya, berjaya dalam konteks seorang muslim duduknya di akhirat. Walau bagaimanapun, kejayaan mengurus kehidupan di dunia inilah yang menjamin kebahagiaan di akhirat sana. Bagaimana yang dikatakan berjaya mengurus adalah berjaya meletakkan prioriti sebenar dalam kehidupan sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Inilah bingkai kejayaan yang harus kita bina dalam pemikiran anak-anak kita. Ini kerana, hasrat kita bukan sahaja ingin melihat kejayaannya di dunia malah yang terlebih penting adalah kebahagiaannya yang abadi di akhirat kelak.
Baca lagi di sini:
Mak Ayah Nak Anak Cemerlang, INGATKAN Mereka PESANAN Ini
Diuji Mak Ayah Sakit Terlantar, Anak-Anak Kena Satu Hati
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Justeru, untuk itu, pembelajaran ilmu agama harus ditekankan ke akar umbi. Anak harus hidup berdasarkan agama dan untuk agama. Iman harus dipasakkan dalam jiwa-jiwa mereka. Terutama dalam era globalisasi yang meluas ini.
Kebenaran amat sukar untuk dikenal pasti hanya dengan iman dan taufiq daripada-Nya kita dapat memilih kebenaran. Jadi, perkara ini harus dititikberatkan dalam membesarkan anak-anak dan mendidik amereka. Islam tidak pernah mengasingkan ilmu yang kita panggil sebagai ilmu profesional dengan agama.
Hakikatnya apabila kita benar-benar memahami hakikat ilmu menurut Islam ia adalah merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Jadi biarlah anak-anak ingin menjadi profesion apa sekalipun namun dalam masa yang sama dia adalah mukmin yang soleh di dalam pandangan Allah.
Jadi, sebagai persekitaran anak-anak yang paling hampir, kita juga seharusnya tidak silap meletakkan prioriti dalam pembelajaran anak-anak. Ia harus seimbang dan adil dalam erti kata yang sebenar. Anak-anak harus diberikan pendedahan dalam ilmu agama sebagaimana subjek-subjek lain juga malah mungkin lebih lagi kerana ilmu agama adalah keutamaan dalam membentuk tasawur diri anak-anak tentang kehidupan dan membentuk jati dirinya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.
Selain daripada itu, persekitaran yang dibentuk di rumah juga memainkan peranan. Bagaimana ibu dan ayah melayan anak-anak dan perkataan yang digunakan. Semua ini merupakan antara faktor pendorong kepada tercapai atau tidak hasrat yang cuba dibingkaikan tadi. Maksudnya di sini, anak-anak akan banyak belajar daripada input-input yang diperoleh daripada persekitarannya dan pengalaman-pengalaman lepas.
Jika ibu dan ayah selalu menyatakan “jadi anak ibu yang soleh”, namun penekanan terhadap solat amat kurang di rumah malah ketika bermusafir, galakan baca Al-Quran juga amat minimal jadi perkara ini akan amat sukar untuk menjadi kenyataan.
Ini kerana kata-kata tadi akan hanya tersimpan dalam minda bawah sedarnya tanpa mendapat stimulasi yang betul mengenai perlaksanaan yang seharusnya sebagai seorang anak yang soleh.
Keadaan ini juga mungkin menyebabkan mindanya melakukan “pairing” yang tidak tepat antara menjadi anak soleh dengan perbuatan yang lain dan tidak termasuk sebagai kategori anak soleh malah sebaliknya. Nauzubillahiminzalik. Oleh yang demikian, apa yang kita bingkaikan harus diikuti dengan perbuatan yang menyokong kata-kata itu tadi.
Selaku suri teladan kepada anak-anak. Maka peranan kita juga amat besar dalam membentuk keperibadian anak-anak. Selain apa yang dilakukan, perkataan yang digunakan semasa berkomunikasi dengan anak-anak juga harus ditekuni. Elakkan daripada memerihalkan anak dengan perkataan-perkataan yang negatif.
Walaupun hanya sekadar gurauan atau panggilan manja. Hakikatnya perkataan yang kita gunakan tadi memberikan pengaruh terhadap persepsinya terhadap diri dan kehidupan. Terutama bagi mereka yang sudah memahami. Apabila persepsi tersebut acap kali diterima ia akan membentuk sebuah kepercayaan dan mempengaruhi keperibadian dan tingkah laku mereka. Contohnya, jika kita kerap melabel anak kita sebagai “tidak faham Bahasa” atau “pemalas”, maka label itu akan membentu kpersepsi anak tentang dirinya sebagai seorang yang tidak faham bahasa dan pemalas. Dua perkataan inilah kelak yang akan mempengaruhi keperibadian dan tingkah lakunya.
Untuk akhirnya, bingkaikanlah masa depan anak-anak kita dengan rapi mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Insya-Allah kehidupan mereka lebih terjamin dan bahagia di dunia dan di akhirat, insya-Allah. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)