Bilal akhirnya pergi jua, berlarilah di taman firdausi wahai anak syurga. Penderitaaan dan kesakitan yang ditanggung oleh Mohammad Bilal Yusra Mohammad Azhar, 3 tahun akibat kecacatan tempurung kepala atau Alobar Holoprosencaphly berakhir di dunia.
Anak syurga ini dijemput kembali menemui Sang Pencipta jam 4.50 pagi tadi sekaligus menamatkan penderitaan yang ditanggungnya sejak lahir.
Seakan tahu dirinya bakal pergi meninggalkan kedua ibu bapa yang menyayanginya, Bilal dilihat agak merengek berbanding perlakuan biasa.
Memetik laporan Harian Metro, Bilal meninggal dunia dalam pangkuan ibu bapanya di rumah mereka di Kampung Sungai Ular, Kulim.
Ibunya, Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi, 26, berkata, dia reda dengan pemergian anaknya yang turut mempunyai masalah jantung berlubang selain tidak dapat melihat dan sumbing sejak lahir.
“Walaupun sedih tapi saya reda dengan pemergiannya, beberapa hari sebelum ini, Bilal nampak seperti biasa cuma dia kerap merenget.
“Dia meninggal dunia ketika disamping saya dan suami pagi tadi,” katanya memaklumkan hal ini.
Nurul Izzati Adawiyah berkata, jenazah anak keduanya itu akan dikebumikan selepas solat Jumaat petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Ular.
Sebelum ini media melaporkan penyakit Bilal semakin kronik selain kepalanya juga semakin membesar dengan kini mencapai berat 28 kilogram.
Bilal memerlukan penjagaan rapi yang menyebabkan kedua ibu bapanya Mohammad Azhar Arzemi, 31, mahupun isterinya, tidak dapat bekerja tetap walaupun kesempitan wang.
Seorang lagi anak mereka, Nur Khaulah Al-Azwar, 6, pula mempunyai masalah pendengaran serta tulang belakang. Sebelum ini wajah Bilal pernah dipergunakan oleh penipu untuk meraih wang segera dengan menularkan dirinya memerlukan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai.
Al-Fatihah buat anak syurga ini.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Ibu Kongsi Lukisan Terakhir Anak Syurga, Aydan Gembira “Dibedung” Rupanya Petanda Tubuhnya Dikapan
Kanak-kanak 4 Tahun Meninggal Ketika Tunai Umrah Bersama Keluarga, Bertuahnya Anak Syurga
“Sepupu Fatima Anak Syurga, Autistik” Fazura Kecewa Diherdik Penumpang Wanita Dalam Pesawat
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.