Bila Uban Memenuhi Kepala, Jangan Takut Tapi PERINGATAN Tingkatkan Amalan Diri
Foto sekadar hiasan.

Bila memandang di cermin, rambut hitam mula bertukar putih. Uban mula menampakkan diri. Rasa takut muncul di hati, itu petanda diri makin dimamah usia. Sebenarnya jangan takut bila uban mula memenuhi kepala. Sebaliknya jadikan peringatan kepada diri sendiri untuk tingkatkan amalan.

Tahun 2020 Penuh Cabaran

Diam tak diam kita hanya tinggal kurang lebih dua bulan sahaja lagi untuk meninggalkan tahun yang ditunggu-tunggu sebelum. Dahulunya tahun 2020 ditunggu-tunggu oleh kebanyakan orang. Masing-masing mempunyai andaian dan penafsiran sendiri tentang tahun 2020.

Saya masih ingat lagi ketika saya ditanya oleh seorang peserta tentang tahun 2020. Jawapan ringkas saya ialah “jawapan saya sering tidak sama dengan jawapan orang lain.” Apabila diminta berkali-kali untuk memberikan pandangan, saya hanya menjawab; “tak usahlah memikirkan sangat tahun 2020, ia penuh dengan didikan dan ingatan dari Yang Maha Kuasa”.

Tafsiran Masing-Masing

Berkaitan dengan numerologi, pada saya setiap orang ada penafsiran masing-masing. Bahkan saya sering mengatakan penafsiran yang diungkap semuanya betul kerana masing-masing bersandarkan ilmu dan pengetahuan yang diberi.

Kini semua orang mahukan supaya tahun 2020 cepat menghilangkan diri. Semua mengharapkan dengan hilangnya tahun 2020 maka hilanglah segala tekanan dan kekangan serta penderitaan dan ketakutan.

Ingin Segera Berlalu

Moralnya pada saya, kita selalu mengharapkan sesuatu perkara yang kita mahu datang dengan segera tanpa kita ketahui sama ada kedatangannya itu membawa kebaikan atau sebaliknya. Jika kedatangannya penuh dengan penderitaan maka kita mahu ianya segera berlalu. Tetapi kita lupa ia hadir kerana kita. Kita yang memanggil dan mengharapkan kedatangannya.

Sesuatu yang saya sangat pasti ialah apabila tahun 2020 mula menghilangkan diri, usia kita pasti akan bertambah. Kehilangan tahun 2020 tidak akan membuatkan usia kita semakin berkurang. Bagi mereka yang seusia dengan saya atau mungkin lebih berusia, mungkin ada kelainan dari segi penampilan diri.

IKLAN

Bila Uban Memenuhi Kepala, Jangan Takut Tapi PERINGATAN Tingkatkan Amalan DiriBila Rambut Hitam Mula Putih

Watak kita mungkin masih sama tetapi tenaga kita boleh jadi semakin berkurangan. Rambut kita mungkin bertambah panjang seperti biasa tetapi ketebalannya susut hingga mula menampakkan kulit kepala. Rambut kita mungkin masih hitam. Namun di sebalik rambut yang hitam, terdapat banyak yang sudah bertukar menjadi putih.

Setiap kali saya menyisir rambut saya, saya pasti akan melihat cahaya-cahaya di hari kiamat yang sudah banyak berada di kepala saya. Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Shu’aib yanga mana Baginda s.a.w bersabda “Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.”

Jangan Takut Bila Uban Memenuhi Kepala

Justeru rambut hitam yang bertukar menjadi putih itu tidak perlu ditakuti. Apabila kita sudah beruban maka cahaya-cahaya kiamat sudah mula timbul. Kiamat yang paling hampir adalah kiamat kecil. Maka apabila uban sudah mula ada, perkara paling penting bagi saya ada sentiasa mempersiapkan diri untuk bertemu Allah swt dalam keadaan yang diinginkan.

Hitam menjadi putih juga pada saya, membawa falsafah yang bermaksud sudah tiba masanya untuk membuang segala kehitaman yang ada pada diri agar perjalanan seterusnya penuh dengan cahaya yang indah. Tiada seorang manusia pun yang sempurna di dunia ni.

Baca lagi artikel menarik di sini:

IKLAN

Amalan Ayat Kelima Surah Al-Fatihah, IKHTIAR Sembuh Segala Penyakit

Suami Yang Baik, Tak Jemu Tanam Agama Dalam Dada Isteri & Anak-anaknya

Ikuti Mingguan Wanita di instagram

Bila Diingatkan Tentang Dosa

Tiada ada seorang pun di antara kita yang maksum kerana kita bukan nabi dan kita bukan rasul. Justeru, warna hitam rambut kita memberi perlambangan yang kita ini terdedah dengan dosa. Bahkan kita layak digelar pembuat dosa atau pendosa.

IKLAN

Datangnya rambut putih di kepala kita sebagai satu pesanan dan ingatan untuk kita berubah untuk memutihkan segala kehitaman yang pernah kita lalui samada dengan sengaja, tidak sengaja atau tanpa kita sedar. Semakin banyak hitam bertukar menjadi putih maka seharusnya semakin banyaklah usaha kita untuk membersihkan diri.

Putih itu pada saya adalah perlambangan pembersihan. Ini akan menyebabkan kita sentiasa mendapat kebaikan daripada usaha kita memdamkan kehitaman lalu. Baginda s.a.w juga pernah bersabda “ tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan Allah akan menuliskan untuknya dengan uban tersebut satu kebaikan dan Allah akan memadamkan kesalahannya dengan uban tersebut.” (HR Abu Daud).

Peringatan Tentang Mati

Saya juga meletakkan satu falsafah tentang uban dalam diari hidup saya. Putih itu juga tanda kematian yang semakin hampir kerana kain kafan yang bakal dipakaikan ketika kita memasuki ke rumah transit kelak juga berwarna putih. Justeru, semakin banyak uban di kepala maka semakin banyaklah ingatan mati untuk kita.

Semakin kurang rambut kita di kepala maka semakin kuranglah fikiran untuk dunia kita. Kita bukan siapa-siapa. Kita adalah pendosa. Kita semua sama. Apa yang berbeza adalah keikhlasan kita untuk bertemu Allah SWT dan tahap keimanan kita kepada-Nya. Semakin kita ikhlas untuk bertemu denganNya semakin kita cuba untuk membersihkan diri.

Semoga tubuh kita sentiasa memberi ingatan tentang kekuasaan Allah SWT dan ingatan kepada kematian. Apabila hitam menjadi putih, itu tanda kita perlu membersihkan diri biar bersih agar nanti kita tidak sedih.

Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, Certified NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis jemputan di dalam majalah MINGGUAN WANITA.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI