Bila Tetamu Jauh Datang Segeralah Bancuh Air, Jangan Tuan Rumah Sibuk Membawang

Share

Menerima tetamu yang bertandang ke rumah pun ada adabnya. Lagi-lagi tetamu jauh yang susah nak berjumpa. Adab terima tetamu ini pun salah satu akhlak baik yang perlu ada dalam diri mak ayah.

Bila tetamu bahagia di rumah kita, rezeki Allah makin luas dan bertambah. Sebab itulah, pentingnya meraikan tetamu yang menjejakkan kaki ke rumah mak ayah.

Ini yang dikongsikan oleh puan Shaza Baharuddin ketika menerima kedatangan tetamu ke rumahnya sempena cuti Hari Malaysia

Jika Ada Tetamu Jauh Nak Datang Ke Rumah, Bersyukurlah..

Kami tidak pergi bercuti, duduk di rumah sahaja. Kami bakal menerima tetamu jauh. Pagi ini pergi ke pasar. Apa menu istimewa untuk tetamu ya?

Tetamu itu pembawa rezeki dan membawa keberkatan. Jika ada yang hendak datang ke rumah, bersyukurlah dan menerima mereka dengan lapang dada.

Ada beberapa adab dalam menerima tetamu, antaranya:

1. Tempoh layanan sebagai tetamu dalam masa 3 hari. Layanan istimewa selama sehari semalam mengikut kemampuan.

Biasanya begitulahkan. Bila ada tetamu kita akan memikirkan menu istimewa untuk dimasak. Bukanlah sehingga membazir pula – buat ayam golek, masak udang kara dan sotong kurita. Masak istimewa dalam kemampuan kewangan kita.

Cuba bayangkan, orang jauh datang. Dah lama tak berjumpa. Kita hidangkan air bujang je. Sekurangnya hidanglah sepinggan biskut ya.

2. Menyegerakan hak tetamu. Biasanya selepas 3, 4 minit bertanya khabar kita akan meminta diri untuk ke dapur.

Cepat-cepat bancuh air dan hidangkan buat tetamu. Janganlah pula sibuk sangat membawang hampir setengah jam baru tergopoh-gapah nak sediakan air. Lagi sadis, tetamu dah nak bersalam hendak balik, kita masih lagi berborak sakan. Ni jenis tuan rumah taik hidung masin!

3. Tidak berlebihan melayan tetamu. Bersederhanalah ya.

4. Seeloknya makanlah bersama-sama tetamu untuk elakkan tetamu merasa janggal.

 

Kredit foto : rasa.my

Ini Yang Arwah Ayah Buat Bila Layan Tetamu

Teringat saya cara arwah Abah menyantuni tetamu yang datang.

√     Kami tidak dibenarkan mengambil kuih yang dihidangkan buat tetamu. Kalau nak, ambik kat dapur.

√    Tugas saya dan kakak ketika itu diibaratkan macam waiter. Kami ditugaskan mencedok lauk atau nasi jika dilihat sudah berkurangan di meja hidangan.

√    Bagi tetamu yang menginap di rumah kami selalunya pakej 4 kali makan. Pagi, tengahari, petang dan malam. Biar tetamu puashati, jangan biarkan perut tetamu berkeroncong.

Nota MW

Bagus sekali cara yang dipraktikkan arwah ayah puan Shaza ini. Dan tetamu pun kenalah didik akhlak sebaiknya ketika berkunjung ke rumah tuan rumah. Agar tuan rumah lebih bahagia dan ikhlas layanannya.

Sumber/Foto : Shaza Baharuddin

Published by
Netty Ah Hiyer