Isi Kandungan
ToggleBila bergelar isteri, banyak perkara perlu dikorbankan termasuklah kehidupan bersama rakan-rakan dan hobi. Tidak lagi boleh bebas seperti zaman bujang dulu. Rasanya ramai isteri yang bersetuju dengan kenyataan ini.
Berbanding dengan suami yang biasanya masih boleh meneruskan hobi mereka. Masih ada masa untuk minum kopi dengan rakan-rakan (walau bukan selalu).
Bila Fokus Pada Keluarga
Bila sudah bergelar mak, fokus isteri 100% kepada anak-anak terutamanya. Apatah lagi punya anak ramai hinggakan sebahagian besar hidup ditumpahkan menjaga anak-anak.
Bagi yang berkerjaya, balik kerja, anak-anak jadi keutamaan. Kalau hendak ‘outing’ pun mesti bersama suami dan anak-anak. Kecuali andai memiliki suami yang sporting dan memahami. Membenarkan sesekali isteri ber’me time’ dan melakukan apa yang disukai tanpa perlu fikirkan anak-anak sekejap. Tapi ramaikah suami yang begitu?
Banyak Korban Perasaan
Memang suami pun ada berkorban perasaan namun rasanya isteri lebih banyak memendam rasa. Dapat pula yang suami yang ‘bossy’ dan suka kita ikut kehendak dia saja. Tak pernah nak faham kepenatan isteri.
Bayangkan, anak-anak masih kecil dan perlu dibantu urus. Isteri bekerja dan suami pula wajibkan isteri untuk masak dan tak nak beli makanan di luar. Walau isteri merungut sangat penat dan minta izin beli saja makan malam untuk hari itu, tapi suami bertegas nak isteri balik masak. Alasan, tekak dia tak boleh terima makanan luar.
Tak Bantu Isteri
Okay tak kisah bila nak minta isteri masak. Tapi sikapnya yang langsung tak membantu memang buat isteri stres. Bila isteri sibuk di dapur, anak nak buang air pun isteri yang kena uruskan juga. Suami hanya duduk layan handphone! Patut tak? Bila isteri bersuara, kena marah dan bergaduh. Akhirnya isteri pendamkan saja.
Sebenarnya banyak sebab boleh sebab isteri stres dan kecewa namun memilih untuk memendam rasa saja.
Baca artikel lain di sini:
PENAT Suami Isteri Tak Sama, EMOSI Tidak Ditenangkan, Boleh Meletop!
Sebelum Bertengkar, Suami Isteri Buat Tiga Perkara Ini…Gerenti LEMBUT HATI!
Ikuti Mingguan Wanita di instagram
Bila Terus Terang Timbul Pergaduhan
Isteri bukan tak nak terus terang, tapi akhirnya bertengkar pula. Dah kalau macam itu yang jadi, lebih baik senyap saja. Apa tak puas hati sekali pun, tak payah nak beritahu suami. Kena bersabar sahaja dengan sikap mereka itu walau pun dah bertahun-tahun kahwin.
Ego suami kadangkala yang ‘melangit’ buatkan mereka susah nak dengar pendapat dan teguran isteri. Bagi mereka, isteri yang kena patuh dan dengar cakap mereka. Mereka yang serba serbi betul. Tapi, bagi suami yang boleh terima, tahniah! Memang suami hebat!
Sabar Akhirnya Jadi Benci
Yang ditakuti, akibat terlalu sabar, isteri akan timbul rasa menyampah dan akhirnya benci! Aduh! Itu yang bahaya.
Kena ingat, tahap kesabaran manusia ini ada hadnya. Bila dah ‘over limit’ segala kemungkinan akan berlaku. Jangan terkejut kalau isteri tiba-tiba akan bertindak di luar dugaan. Itu tandanya mereka dah tak mampu lagi nak bendung kesabaran akibat sikap suami.
Jaga Komunikasi
Oleh sebab itu, sebaiknya kena terapkan komunikasi dalam hubungan. Walau pun tiap kali berterus terang akan ketidakpuasan hati masing-masing, akan timbul pergaduhan, tak apa. Hadap saja. Tapi sekurang-kurangnya kita dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Jadi, beban emosi akan mereda.
Memang sukar nak harapkan seseorang itu berubah tapi teruskan berdoa. Tapi untuk diri sendiri, jangan memendam. Luahkan saja. Lebih banyak buruk bila memendam. Nanti diri sendiri yang stres. Ingat ye, setiap insan punya hak untuk bahagia.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Budak Perempuan 6 Tahun Kantoi, Suka Duduk Sendirian Sambil Bawa Beg Ke Hulu Hilir, Bila Disiasat Cikgu Rupanya..
Mak ayah sangat berperanan dalam membesarkan anak-anak dan membentuk acuan mereka. Sedih bila anak yang masih kecil seawal usia 6 tahun, fikirannya telah terdedah dengan ketagihan video pornografi.Malah lebih menyedihkan apabila mengetahui ia sebenarnya berpunca daripada sikap mak ayah yang ambil sambil lewa perkara ini.
Mak ayah jemput baca perkongsian kisah benar oleh Puan Sri A’jilah Samsir ini sebagai pengajaran.
“Berdegup kencang jantung ni dibuatnya. Apa taknya, kalau melibatkan budak bawah umur 7 tahun, memang rasa kesian. Rasa nak marah. Mereka ni kecil lagi, tak tahu apa-apa, naif, dan kebanyakannya memang ikut je apa yang dia nampak. Ikut je apa yang orang sekeliling dia buat. Kisah kali ni melibatkan budak perempuan umur 6 tahun. Ye, budak sekolah tadika.”
Budak ni menunjukkan sikap yang sangat berbeza dari mula-mula dia mendaftar dulu. Budaknya peramah sangat. Rajin tolong cikgu. Pandai bergaul dengan kawan-kawan.Tapi, seminggu dua ni, dia nampak lain. Lebih banyak buat hal sendiri dan tak nak bercakap sangat. Dia lebih suka duduk sorang-sorang sambil bawa beg ke hulur ke hilir.
Pelik! Bila suruh tinggalkan beg, dia akan menangis meraung-raung.
Seorang guru cuba untuk tanya apa yang berlaku. Dia peluk beg dia kuat-kuat. Bila cikgu cuba nak minta beg dia, dia meraung macam kena histeria, macam kena pukul.Waktu rehat, budak ni dah jarang makan. Makan sikit je lepastu terus buka beg dia. Mata dia tak bergerak-gerak dan dia boleh habiskan waktu rehat tu dengan hanya merenung isi dalam beg. Sampai lah satu hari, seorang guru ternampak dia buka zip beg sekolah. Tahu tak apa yang dia bawa?
Handphone!
Dan dia siap tengok cerita dari handphone tu. Yang menyedihkan, cerita tu bukan cerita kartun didi and friends, boboiboy, atau pun upin ipin. Tapi video pornografi!
Berderau sungguh.
Budak ni tak perasaan yang tindak tanduk dia sedang diperhatikan. Dia khusyuk tengok adegan dalam handphone tu sambil tangannya dimasukkan ke dalam kain.Cikgu syak yang budak ni dah ketagih( berdasarkan beberapa soalan yang ditanya). Ketagih menonton aksi pornografi seawal usia 6 tahun!
Budak ni kata, dia pernah tengok video ni di rumah dengan ayah. “ayah masukkan tangan dalam kain sambil pegang sini (tunjuk ke arah kemaluan).Si ayah yang sepatutnya jadi tempat untuk anak berlindung, sebenarnya syaitan bertopengkan manusia. Entah apa lagi yang dibuatnya pada si anak.
Ibu bapa dia diminta datang untuk bincangkan masalah ni. Tapi, hanya si ibu yang muncul. Datang dengan muka mencuka.
“Puan, kami jumpa handphone ni dalam beg anak puan. Dan ni bukan kali pertama dia bawa. Maaf ye puan, kami ambil handphone ni dari anak puan sebab kami nampak dia tengok video lucah dalam ni. Ada lebih kurang 10 video semuanya. Anak puan beritahu, dia pernah tengok video ni dengan ayah dia. “
Pihak tadika cuba jelaskan pada si ibu. Si ibu pula, dengan selamber je bagitau yang handphone tu memang milik si ayah. Dan dia jugak tahu, dalam handphone tu ada video lucah yang disimpan oleh si ayah.
“Boleh tak pulangkan handphone tu pada saya? Ingatkan handphone ni hilang. Takpelah, pasal anak saya tu, nanti saya cakap dengan dia. Budak kecik kan, bukan tau apa-apa, bukan faham pun. Takkan lah ayah dia ajak dia tengok video ni. “
Mudahnya lahai jawapan si ibu. Ketagih menonton video lucah seawal 6 tahun bukan perkara remeh tau! Memang lah budak tak tau apa-apa, tapi budak zaman sekarang ni otak dia bijak. Kadang-kadang, kita rasa dia tak faham, tapi sebenarnya dia simpan semua tu dalam otak dia.
Ibu ayah, Tolonglah jangan ambil mudah. Kita perlu ajar anak-anak tentang ‘private parts’ tapi bukan melalui video macam ni.
Kaum ibu terutamanya. Kita ada tugas besar yang perlu kita buat. Selalu bertanya, selalu bercakap, selalu ambil tahu, apa yang anak-anak kita buat, apa yang anak-anak kita tengok. Cuba jadikan anak kita rasa selesa untuk bercerita apapun dengan kita. Ambil berat setiap apa yang anak-anak beritahu.
Paling penting, Mesti ajar anak kita bahagian tubuh badan yang tak boleh disentuh oleh siapapun.
Sri A’jilah Samsir,
Jom jadi ibu bapa yang melindungi, bukan yang merosakkan.
Semoga perkongsian kisah ini menjadi satu pengajaran agar Mak ayah tolong lebih prihatin dengan tingkah laku anak-anak. Jangan diberikan kebebasan sepenuhnya pada anak yang masih kecil, memiliki gajet sendiri. Jagalah tingkahlaku diri kerana mak ayah adalah contoh dan cerminan bagi anak-anak.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Sri A’jilah Mohd Samsir
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Bakal Kahwin Lagi, Anak Risau Kasih Dirampas Ayah Tiri…
Isi Kandungan
ToggleBukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Gara-gara Kesilapan Sendiri, Pasangan Muda Merayu Kes Cerai Talak 3 Di Mahkamah
Isi Kandungan
TogglePasangan suami isteri yang masih terlalu muda, dengan anak perempuan seorang mendatangi Peguam Syarie, Roslina Sabiyah. Si isteri menangis teresak-esak, suaminya pula dalam kebingungan. Mereka baru selesai kes pengesahan lafaz cerai talak 3 di hadapan hakim.
Selepas hakim putuskan keduanya sah bercerai talak 3 barulah masing-masing menyedari kesilapan. Dan berusaha untuk bersatu semula. Tegas Roslina, tidak semua kes cerai talak 3 boleh dirayu semula di mahkamah.
Rupanya ada kisah yang jadi pada suami isteri muda ini sehingga berlakunya lafaz talak 3 dari mulut suami muda ini di luar mahkamah.
Rayuan Kes Cerai Talak 3
Tak semua kes cerai talak 3 boleh dirayu semula di Mahkamah. Jika lafaznya soreh walaupun tiada niat tetap akan jatuh talak tu walaupun berapa jumlah talaknya sekalipun. Sebab tu jangan main-main dengan perkataan talak.
Namun setiap kes itu berbeza dan kena tengok situasi sebelum mahkamah boleh putuskan adakah cerai talak 3 itu jatuh talak 3, atau hanya jatuh talak 1 ataupun cerai tu tak jatuh langsung pun sebenarnya macam kes yang saya nak kongsikan ni..
Kami baru keluar dewan lepas habis kes ketika tiba-tiba ada pasangan suami isteri yang sangat muda menghampiri kami. Si isteri sambil menangis teresak-esak manakala si suami nampak kebingungan.
Rupanya, mereka baru selesai kes pengesahan lafaz cerai talak 3 dan hakim putuskan talak 3 tu sah. Mereka sedang mencari peguam untuk failkan rayuan kerana tak puashati dengan keputusan hakim. Memandangkan kes rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan, mereka terus minta untuk datang ke pejabat bagi mendapatkan consultation.
Ini Sebab Berlakunya Lafaz Cerai Talak 3
Apa yang berlaku? Macamana suami boleh terlafaz cerai talak 3 tu? Si suami hanya tunduk. Si isteri yang bersungguh memulakan cerita.
“Saya yang salah Puan.. saya yang salah.” sambil air mata tak berhenti mengalir di pipi.
“Pada hari kejadian, seharian suami tak dapat dihubungi. Rupanya dia ada masalah di tempat kerja dan balik ke rumah untuk tenangkan diri. Saya geram sebab dia tak jawab call, saya masuk bilik dan terus hempas pintu hingga terkena kaki suami yang tengah solat. Bilik kami sempit dan saya tak perasan dia tengah solat belakang pintu.
Dia terduduk dan tak jadi teruskan solat. Saya tanya dia banyak kali tapi dia masih diam tak jawab. Dan saya mula naik hantu dengan baling semua benda yang tercapai kat tangan termasuklah kipas dan televisyen.
Saya dah macam kena rasuk sambil cakap, “ceraikan talak 3! ceraikan talak 3!” Berkali-kali.
Dengan keadaan bilik yang tunggang-langgang, dengan suara baby saya yang menangis, dengan saya yang menjerit.. akhirnya suami saya terikut cakap perkataan “ceraikan talak 3” sebab tak tau nak tenangkan saya macamana.
Lepas suami lafaz saya terus terdiam. Suami ambil baby yang sedang menangis bawak ke ruang tamu untuk tenangkan baby dan dia. Saya macam tak sedar apa yang berlaku. Semuanya berlaku terlalu pantas. Saya betul-betul menyesal”
Ketika Di Hadapan Hakim..
Q : Puan ada ceritakan semua perkara yang berlaku ni kat Hakim?
A : Tak ada.
Q : Kenapa tak cerita?
A : Hakim tak tanya.
Q : Puan ada niat nak rujuk semula?
A : Nak. Kami sama-sama menyesal dan memang nak rujuk semula.
Q : Tahu tak kalau talak 3 tak boleh rujuk?
A : Tahu. Tapi saya ingat Hakim akan jatuhkan 1 talak sahaja.
Q : Kenapa berani failkan kes sendiri tak pakai peguam? Talak 3 pulak tu.
A : Keluarga tak bagi pakai peguam. Katanya kes ni senang je.
Q : Yang berkahwin dan nak rujuk semula tu Puan ke keluarga Puan?
A : Sayaaa… **nangis lagi**
Isi Borang Online Hanya Tulis Nak Sahkan Cerai Talak 3
Banyak lagi yang saya bebel sebenarnya. Isi borang online hanya tulis nak sahkan cerai talak 3. Tak ada langsung fakta yang lain. Sendiri tak nak guna khidmat peguam lepas tu nak salahkan Hakim bila Hakim putuskan berdasarkan apa yang dia masukkan dalam pliding.
Dalam alasan penghakiman, Hakim ada tanya cuma pihak-pihak yang tak cerita detail. Sedangkan, fakta-fakta tentang perkara-perkara yang berlaku sebelum, semasa dan selepas talak dilafazkan itulah yang paling penting untuk diceritakan supaya mahkamah ambil kira.
Failkan Rayuan Untuk Kes Suami Isteri Muda..
Saya tanya si suami pulak.
Q : Apa lafaz yang encik lafazkan sebenarnya?
A : Saya ikut apa yang isteri cakap.. “ceraikan talak 3”
A : Kenapa kat dalam perintah mahkamah tulis, “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak 3”?
Q : Haaa? Saya tak tau. Saya tak faham apa yang Hakim tanya sebab masa tu saya tengah bingung. Apa semua yang Hakim cadangkan saya pakai angguk je tak boleh nak fikir. Yang penting saya nak kes cepat selesai dan nak bersama isteri dan anak saya semula.
Q : ………….. **geleng kepala**
.
Saya ambil keputusan untuk failkan rayuan dalam kes ini sebab ada percanggahan fakta yang jelas dan ada banyak isu-isu yang patut diambilkira tapi tak dimasukkan dalam permohonan.
Walaupun pada awalnya di pihak keluarga isteri ramai yang bersuara sinis kata rayuan ni takkan berjaya dan menuduh peguam lawan hukum Allah dan buat kes semata nak duit.
Ye macam-macam tohmahan tapi kami professional dan telan je. Kami teruskan sebab itu memang tanggungjawab kami sebagai peguam yang mana orang awam tak mampu buat tugas tu semua. Kita hanya usaha selebihnya biarlah Mahkamah yang putuskan.
Kalau betul lafaz tu soreh dan cukup semua rukun talak, maka menangis air mata darah sekalipun hukum tetap hukum dan tak boleh nak tarik balik semula apa-apa yang dah terlepas. Tapi kalau betul ada rukun talak yang tak sempurna, ada keadaan tertentu di mana suami dalam keadaan gila, marah yang menghilangkan kewarasan, dipaksa, terdesak atau tertekan sehingga tidak sedar apa yang dilakukan.. maka hukum syarak tidaklah zalim.
Setiap inci keterangan, fakta, situasi, saksi, bukti bertulis atau tidak, iqrar mahupun qorinah akan sangat bernilai dan memberi kesan kepada kes. Itulah beza tugas peguam yang tak boleh diambil alih oleh orang awam.
Baca : Dicerai Suami Talak 3 Selepas 7 Tahun Berkahwin, Namun Ia Hari Paling Bahagia Buat Wanita Ini
Berbulan Berpisah Tak Dibenarkan Berjumpa
Setelah melalui beberapa episod duka akibat tindakan diri sendiri yang melulu dan mengikut perasaan, berbulan-bulan berpisah tak dibenarkan berjumpa selagi keputusan rayuan tidak diketahui.
Maka akhirnya mahkamah membenarkan rayuan kami dan memutuskan talak 3 tersebut tidak jatuh kerana ada rukun yang tidak lengkap dan mereka berdua masih sah sebagai suami isteri.
Alhamdulillah.. Semoga peluang “kedua” yang disambut dengan air mata gembira itu tidak disia-siakan dan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pasangan muda tersebut dan menjadi pengajaran kepada kita yang lain.
.
Nota :
- semua kes lafaz talak di luar mahkamah perlu disahkan di Mahkamah untuk menentukan berapa bilangan talak yang jatuh dan berapa baki talak yang tinggal.
- jika suami rujuk dalam tempoh iddah, hanya perlu daftar sahaja di pejabat agama KECUALI jika isteri tak setuju dengan rujuk tu, barulah bawa ke mahkamah syariah untuk disahkan rujuk tersebut.
- jangan pandai-pandai cerai sendiri rujuk sendiri.. kerana di sisi hukum syarak ia memberi kesan kepada status hubungan suami isteri, nasab keturunan anak2 dan hukum perwarisan.
Wallahua’lam.
#peguammenulis
#CelikSyariah
#darifailmahkamah
#siri1001kisah
Sumber/Foto : Roslina Sabiyah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI