Isi Kandungan
ToggleJangan tak tahu, ada juga suami yang suka melaram. Set penjagaan kulit muka mereka lagi lengkap daripada set penjagaan isteri. Baju t-shirt wajib bergosok walau pun hanya basahan ke pasar.
Setiap dua minggu akan ke salon rambut merapi rambut dan jambang. Tubuh jangan cakap, wangi sepanjang masa. Sebaliknya, ada juga suami yang tak kisah tentang penampilan. Pencuci muka pun isteri yang belikan. Itu pun belum tentu mereka pakai.
Bila tengok suami melawa, pakai minyak rambut bagai. Mulalah nak bising. Memanglah isteri perlu berhati-hati dengan perubahan sikap suami. Tapi cuba bertenang dulu.
Fahamkan kenapa suami anda boleh tiba-tiba berubah laku. Ia bukanlah disebabkan dia ada orang baru pun. Tapi ini antara penyebabnya…
1. Kalau Perempuan Boleh, Takkan Laki Tak Boleh
Ada isteri yang menganggap suaminya dah tak waras akalnya bila sudah berumur tapi masih sibuk nak menjaga penampilan. Lainlah kalau zaman muda dahulu. Minat seseorang tak dipengaruhi usia.
Sama seperti perempuan. Masih ramai yang sudah mencecah usia 50-an pun masih tetap tampil bergaya. Jadi, takkan lelaki tidak boleh?
2. Daripada Kumpul Awek, Baik Lebihkan Gaya
Lihat diri anda sendiri. Kalau kamu suka melaram, apa salahnya suami juga nak menjaga penampilan mereka. Kalau mereka nampak elok, anda juga akan dipuji pandai menjaga suami. Bayangkan kalau suami selekeh.
Tidakkah nanti orang cakap, “isteri bukan main cantik, tapi suami dibiarkan selekeh.” Anda juga yang dapat nama buruk. Lagi pun, lebih baik suami minat bergaya daripada minat ‘kumpul awek’. Betul tak?
3. Jomlah Temankan Abang Ke Salon
Jangan syak dan cemburu tak bertempat. Suami lagi suka kalau anda menghormati minat mereka. Pasti mereka gembira kalau sesekali anda teman mereka ke salon rambut. Atau cadangkan produk apa terbaik untuk kulit muka mereka. Apabila isteri sokong minat mereka, pasti suami akan rasa terharu. Tak ada niat nak lencong ke lain pun!
4. Inilah Sifat Sebenar Saya
Apakah anda rasa tak selesa, bimbang dan takut bila melihatkan suami asyik menjaga penampilan dirinya? Sebelum tidur, siap menepek krim malam sedangkan anad sendiri pun tak buat macam itu. Jangan risau. Ada lelaki yang memang dilahirkan dengan sifat suka menjaga penampilan diri (metroseksual).
Sebagai isteri, anda pasti dapat menghidu perubahan itu sekiranya suami ada kekasih baru. Kalau memang sejak dahulu memang dia begitu, tak ada yang pelik. Bahkan mungkin salah satu cara nak pikat hati suami, apabila isteri bersikap sporting.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Jangan Janjikan ‘ HADIAH’ Sebagai UMPAN Anak Berjaya, Elak Mengungkit, Hilang Percaya
Isi Kandungan
ToggleSetiap mak ayah tentunya inginkan anak-anak pandai dan berjaya. Inilah menjadi kebanggaan bagi mereka. Tak kurang juga ada mak ayah yang sanggup janjikan hadiah semata-mata nak anak berjaya.
Bercakap tentang hadiah ini, rasanya kebanyakan mak ayah pasti janjikan hadiah pada setiap pencapaian yang anak lakukan. Bukan setakat berjaya dalam pelajaran tapi mugkin juga dalam kelakuan anak dalam sesuatu keadaan.
Begitu juga ada mak ayah yang janjikan hadiah kalau anak tidak nakal, rajin dalam membantu kerja rumah dan sebagainya. Dengan anggapan anak akan buat bersungguh-sungguh dan tidak putus asa.
Tapi bagaimana jika apa yang mak ayah janjikan hadiah itu tidak tepati. Boleh memberi kesan pada anak itu sendiri. Jangan permainkan perasaan anak. Perkongsian daripada Nurhidayah Jaafar boleh dijadikan panduan untuk mak ayah di luar sana.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Anak Ilyka Cemerlang SPM “Mama Lebih Layak Untuk Menerima Hadiah Straight A” Arisya
Ini Sunnah Nabi SAW, Balik Dari Mana-mana Beri Isteri Dan Anak Hadiah
Info Lebih Menarik DI SINI
Janjikan Hadiah, Jangan Amalkan
Jangan terlalu kerap memberi hadiah kepada anak, kerana ini kesannya…
.
“Puan, saya selalu beri anak hadiah. Saya nak beri dia semangat! Betulkah begitu, puan?”
Seorang ibu bertanya dalam satu sesi training. Satu soalan yang akan sentiasa ditanya dalam mana-mana kursus saya.
Memberi hadiah tidak salah.
Terlalu kerap memberi hadiah sehingga anak terdorong mencapai sesuatu kerana mahukan hadiah, itu motivasi yang salah.
Bermakna, anak buat perkara itu kerana faktor luaran. Bukan kerana dorongan dari dalam dirinya sendiri.
Kerana hadiah dia berusaha keras. Apabila tiada hadiah motivasinya jatuh.
Kesannya lebih besar apabila kita menjanjikan ganjaran material semacam itu sebelum mereka melakukan apa-apa usaha.
“Dapat top 3, ibu belikan basikal!”
Berusaha keraslah anak mencapai target itu kerana material yang dijanjikan.
Sekiranya anak gagal mencapai impian, mereka kecewa dan putus asa dan sekiranya ibu bapa gagal atau terlewat tunaikan janji, mereka mengungkit-ungkit.
Bila janji tidak tertunai kerana ibu bapa tidak selalu senang, anak hilang kepercayaan kepada ibu bapa sendiri sedikit demi sedikit.
Jika Tak Tertunai
Ganjaran material seperti virus yang berjangkit.
Apabila kita mula melazimi cara ini ke atas anak pertama, sudah tentu anak kedua, ketiga dan keempat mahukan perkara sama.
Bagaimana ibu bapa yang ada 10 orang anak? Susah bukan dan agak ekonomi juga.
Tidak mustahil, anak akan menuntut lebih banyak meskipun ibu bapanya tidak mampu lagi.
Ia sama seperti keinginan kita untuk pergi bercuti.
Tahun ini kita bercuti ke Port Dickson, tahun depan mesti terasa nak pergi Langkawi pulak kan. Hirup udara laut yang berbeza.
Anniversary tahun ini, suami hadiahkan handbag. Mesti kita harapkan tahun depan suami hadiahkan jam tangan.
Memberi ganjaran material kepada anak-anak begitu juga risikonya. Hadiah yang sama satu bentuk kebosanan.
Sudah dapat basikal, tidak mustahil mereka akan menuntut benda lain. Bersedialah!
Memberi ganjaran tidak salah. Ada cara supaya tidak mendatangkan kesan buruk ke atas psikologi kejayaan anak kita sehingga mereka dewasa.
Impak Psikologi
Memang benar, memberi hadiah itu tingkah laku mulia.
Nabi sendiri menggalakkan kita saling memberi hadiah kerana ia membibitkan perasaan sayang dan cinta.
Bagaimana teknik yang betul supaya pemberian atau apa juga bentuk ganjaran tidak membawa impak buruk kepada psikologi?
Ada banyak cara. Saya kongsikan teknik yang sesuai kepada sesiapa sahaja yang menjadi orang kesayangan dalam hidup kita.
1. Hadiah adalah pengikhtirafan, bukan umpan.
“Papa hadiahkan kasut sukan ini sebab abang berusaha keras berlatih olahraga. Papa bangga abang jadi wakil sekolah!”
Inilah penghargaan.
Jadi, kasut sukan itu diberi atas usaha dan prestasi yang sudah nampak. Kita beri kerana puas hati, supaya dia berusaha lagi. Katakan berterus-terang dari hati.
“Dapat 8A, baru mama belikan handphone baru!”
Ini pula umpan. Boleh jadi ugutan halus. Kita mahu anak buat dan capai sesuatu dengan menjadikan dorongan luaran sebagai alat kejayaan. Kesan baik tetap ada, tetapi yang buruk lebih banyak dari yang baik.
2. Jangan janji supaya tiada hati tersakiti.
Memberi hadiah sama seperti memuji. Pujian tidak berkesan jika si penerima tahu dirinya sedang didorong dengan kata-kata manis kita. Dia akan anggap kita membodek!
Samalah seperti memberi sesuatu. Beri hadiah tanpa disedari, tiada janji untuk ditepati, ia datang dari hati, pada bila-bila masa kita kehendaki.
Hadiah diberi dengan kejutan. Wah! Touching bukan.
3. Beri sesuatu yang kena dengan minat atau passion.
Katakanlah, pasangan kita minat sukan bola. Makan bola, tidur bola, cerita bola.
Bila terfikir nak hadiahkan sesuatu, belikan yang ada kaitan dengan hobi dan minatnya. Dia akan sentiasa ingat dan lebih menghargai apa yang kita beri.
Hadiah yang paling baik adalah sesuatu yang menyumbang kepada kejayaan, kemenangan dan perubahan hidup pasangan kita.
Mingguan Wanita : Mungkin sebagai pengikhtirafan tidak menjadi permsalahan. Tapi ada mak ayah yang setiap tahun hadiahkan, nak tak nak setiap tahun kena beli yang legi baik dan lagi baik. Susah kalau dah jadi kebiasaan.
Sumber: Nurhidayah Jaafar
Baca Menarik Lagi DI SINI: Raih Pingat Perak, Azizulhasni Awang Sujud Syukur, Rezeki Berganda Isteri Hamil Anak Ketiga!
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita –
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘4 Kali Bangun Malam, Muka Lesu Serabai’ Suami Jangan Ambil Mudah Bab Isteri Berpantang
Isi Kandungan
ToggleIsteri berpantang bersalin mudah amat jiwanya ‘koyak’. Hatinya retak, lagi-lagi dapat suami yang tak nak faham dan berat tulang nak bantu mudahkan kerja isteri berpantang.
Bab jaga anak, susukan anak, sampai jaga makan minum isteri dalam pantang.. semua urus sendiri. Tak ada lah suami nak belai sayang, apatah lagi bagi sokongan. Oh! makin ‘koyak’ mental isteri bila dapat suami macam ini.
Sebab itu, para suami kena hadam apa yang dikongsikan Azlan Noor. Apa yang sepatutnya suami hadap dan buat bila isteri awak itu dalam keadaan berpantang bersalin.
Jangan sesekali letak di fikiran, isteri awak kuat dan boleh lalui 44 hari berpantang sendirian tanpa sokongan suami.
Dalam Tempoh Berpantang, Isteri Dambakan Sokongan Suami
Cerita perjalanan isteri mengandung ni tak habis pada bab melahirkan baby je sebenarnya. Ketahuilah, dalam tempoh berpantang itu lah si isteri dambakan sokongan daripada suami.
Satu malam tu, “Papa..Papa..Baby berak ni. Jom tolong mama basuh jap.”
Tiba-tiba surihati datang kejut saya sambil dukung baby. Saya tanya pukul berapa sekarang ni. Pukul tiga pagi katanya.
Saya bingkas bangun dan terus ke dapur. Air suam untuk basuh berak surihati saya dah sediakan. Tinggal nak basuh je. Saya pangku baby di tangan kanan, sambil tangan kiri stand by nak gosok najis. Sambil surihati tuang air, sambil gosok. Saya sempat curi tengok muka dia. Dah macam hape dah.
Esoknya saya tanya berapa kali baby bangun malam tadi. Empat kali termasuk berak semalam. Patut la muka lesu dan serabai macam Hantu Kak Limah.
Masa tu saya terfikir, rupanya inilah yang saya terlepas pandang sebelum ni. Orang perempuan, derita mengandung dan sakit bersalin belum reda, nak kena jaga anak baru lahir masa dalam pantang pulak.
Dulu tak fikir sangat pasal ni. Saya anggap berpantang ni biasa-biasa je. Semua perempuan bersalin kena lalui.
Rupa-rupanya tak!
Suami Tak Faham, Anak Baru Lahir Meragam Buat Isteri Mudah Tertekan
Apabila makin banyak cerita ibu meroyan, bunuh anak sendiri dan bunuh diri akibat stress dan depresi semasa berpantang, saya sedar suami lah yang kena bagi support paling kuat kepada isteri.
Sebab bila suami tak memahami dan tak membantu, dengan luka kat bawah yang tak baik lagi, tenaga hilang masa bersalin yang belum berganti, anak baru lahir pulak meragam, isteri mudah tertekan dan mental mudah koyak.
Tak susah sebenarnya nak bagi sokongan. Sekecil-kecil ‘moral support’ pun isteri rasa besar.
Macam baby saya yang baru lahir tu doktor check ada demam kuning. Dah kena tahan wad. Malam ondaway pergi hospital tu, masa berhenti kat trafic light, saya tengok surihati pandang keluar. Jauh sekali pandangannya. Saya tahu dia risaukan baby kami tu.
Saya tak cakap apa apa, saya pegang tangan kanan dia dengan tangan kiri. Tak semena-mena saya nampak air mata mengalir kat pipi dia. Allah..Terus tersebut dalam hati,
“Ya Tuhan, selamatkan lah anak kami. Tenangkanlah hati aku dan isteri. Permudahkanlah urusan kami.”
Saya genggam erat tangan dia sampailah ke hospital.
Sekurang-kurangnya, dia tahu saya pun turut sedih. Paling penting, dia tahu saya ada bersamanya, walau apa yang terjadi.
Suami Jangan Beri Alasan, Lepas Tangan Jaga Isteri Berpantang
Suami jangan ambil mudah bab isteri berpantang. Rendahkan ego dan ringankan tulang untuk bantu isteri.
1. Jaga isteri masa berpantang kalau rasa nak isteri cepat sihat dan kembali seperti sedia kala. Rebuskan air herba, sediakan air mandian, ambil baju, bra dan spender. Sapukan krim barut kat perut dan ikat bengkung isteri. Carikan tukang urut untuk betulkan peranakan isteri. Tak lupa, sediakan masakkan makanan isteri berpantang. Jangan main bedal.
2. Jaga anak yang baru lahir. Siap siaga untuk bangun malam buatkan susu, basuhkan berak. Mandikan dan dodoikan mereka pun kena pandai juga. Kalau anak tak sihat, suami kena kuat fizikal mental untuk ulang alik hospital.
Penat memang penat. Tapi itulah tanggungjawab kita sebagai suami dan ayah.
Kalau tak tahu, kena cari ilmu. Kena belajar. Tak boleh lepas tangan. Jangan beri alasan.
Masa Inilah Suami Nak Buktikan..
Masa isteri berpantang ni, nak buat benda lain tu boleh. Tapi fokus kau mesti dekat isteri dan anak yang baru lahir.
Sebab,
√ Masa inilah kau nak tunjukkan kasih, sayang dan cinta kepada anak dan isteri kau.
√ Masa inilah kau nak tunjukkan kau ni bertanggungjawab terhadap amanah yang kau setuju nak pikul masa lafaz akad.
√ Masa ini lah kau nak buktikan kau bukan sekadar jantan yang hanya tahu tanam benih tak tahu jaga, tapi,
Kaulah lelaki dari syurga yang dihantar Tuhan sebagai pelindung isteri dan anak-anak.
Sumber/Foto : Azlan Noor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Tuduh Isteri Mandul, Kahwin Janda Sebelah Rumah!
Isi Kandungan
ToggleAssalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Berusaha Untuk Dapatkan Zuriat
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan:
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Onak Dan Duri
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Pandang Hikmah
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI