Sekitar jam 12 tengah hari ini, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak.
Di situ juga merupakan tempat persemadian, arwah ibu Siti Sarah. Sebagaimana yang dikongsikan suaminya, Shuib Sepahtu. Arwah isterinya itu akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya.
Allahyarham Siti Sarah Dikebumi Sebelah Kubur Arwah Ibu
Kerana itulah permintaan arwah Siti Sarah sewaktu hayatnya masih ada.
“Selama ini kalau bersembang hal kematian, memang dia ada menyebut keinginan untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya.” Ungkap Shuib yang kelihatan tenang.
Di kawasan tanah perkuburan itu jugalah jenazah Allahyarham Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Abam Bocey dikebumikan.
Kira-kira jam 10 pagi, arwah Siti Sarah akan ditayamum dan disolat jenazah di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM)
Anugerah Ayash Affan
Pemergian Allahyarham Siti Sarah jam 5.13 pagi tadi meninggalkan empat orang cahaya mata. Termasuk seorang bayi bernama Ayash Affan yang dilahirkan secara pembedahan pada Jumaat lalu.
“Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata Allah lebih menyayanginya.
Nama Ayash Affan itu sendiri dipilihnya kerana menurut pembacaan arwah, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Gaza.”
Menerusi hantaran facebook Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Allahyarham juga pernah menyertai ibadah korban di Gaza.
Begitu juga dengan perkongsian Ustaz Ebit Lew yang memaklumkan Allahyarham mahu membayar rumah sewa orang miskin yang pernah dibantunya.
Panggilan Video Terakhir, Air Mata Siti Sarah Jatuh Berlinangan
Shuib yang reda dengan pemergian isteri mengakui tidak mudah untuknya memaklumkan kepada tiga orang anaknya yang masih kecil
Kali terakhir Shuib dan anak-anak; Uwais Alwarni,10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6 dapat melihat arwah menerusi panggilan video.
“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video untuk anak. Waktu itu juga air mata berlinangan di pipinya. Seolah-olah memahami apa yang saya dan anak sembang mengenainya.”
Malam tadi, Shuib sempat datang ke hospital namun tidak dibenarkan masuk bertemu isterinya.
Jumaat lalu, paras oksigen Siti Sarah jatuh sehingga 40 peratus. Kemudian meningkat 77 peratus sekitar 2 pagi. Selepas itu menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19. Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
Sumber/Foto : Berita Harian, Shuib Sepahtu
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI