Baca buku di tepi pantai, tengok filem indie atau filem pendek anak tempatan. Sambil itu lihat seni persembahan budaya setempat Terengganu dalam suasana yang santai. Ketiga-tiga aktiviti lepak berilmiah ini digabungkan di bawah satu lokasi iaitu Panggung Pantai.
Apa itu Panggung Pantai? Panggung Pantai terletak di Uptown Kontena dekat Pantai Tok Jembal, Terengganu. Pengunjung yang ke sini berpeluang terlibat sama, atau menyaksikan tiga aktiviti seni, baca buku, tengok filem indie atau filem pendek dan lihat seni persembahan budaya setempat setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Tujuan Panggung Pantai adalah menjadi satu ruang altenatif dan lebih terbuka untuk komuniti menyertai atau menikmati seni, budaya, buku dan filem dalam proses memupuk budaya membaca.”
Boleh bayangkan tak suasana membaca buku di tepian pantai dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Bawa pula anak-anak, seharian lepak di Panggung Pantai pun tak terasa nak balik.
Ketika berkongsi info dengan Mingguan Wanita, pengasas Panggung Pantai, Mohamad Fazrul Azril Abdul Muhayidi memaklumkan Panggung Pantai cuma ada satu lokasi. Tapi terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Panggung Buku, Panggung Seni dan Panggung Visual.
Panggung Buku adalah inisiatif mewujudkan satu ruang yang terbuka dan santai untuk komuniti di Terengganu membaca buku di tepi pantai.
Panggung Seni adalah satu ruangan untuk seni persembahan dan budaya setempat di Terengganu ini sendiri dengan lebih santai dan terbuka di tepi pantai
Panggung visual adalah satu ruangan atau projek khas untuk filem filem indie atau short filem tempatan di tayangkan dan ada satu sesi diskusi tentang filem itu sendiri.
Anak muda usia 25 tahun ini bersama team sukalerawan yang bergerak sendiri berjaya membangunkan dan menguruskan tempat lepak ilmiah yang memberi manfaat besar kepada pengunjung pantai.
“Antara benda yang buat aku puas dan nikmati untuk tahun ni. Berjaya wujudkan Panggung Buku ni
.” Kongsi Fazrul lagi.Sebenarnya, Panggung Pantai ini sudah lama bergerak mengumpul buku-buku lama atau baru yang diberi oleh orang ramai sebagai sumbangan untuk bahan bacaan.
“Yang mana orang ramai boleh menderma buku dengan menghantar ke lokasi kami di Uptown Kontena sendiri atau boleh post kepada kami.”
Buat masa ini Panggung Buku, ada 12 kotak buku dan ada beberapa rak dalam susunan mereka. “Di sini ada bangunan berbumbung. Cuma sekarang tengah crowdfunding untuk set up. In sha Allah mencukupi duit kami set up.” catat Fazrul dalam twitternya.
“Bila malam buku-buku kami simpan balik dalam kontena. Setiap malam minggu kami buat sembang movie, bedah buku dan open mic.”
Aktiviti yang dianjurkan ini terdapat dalam siri jelajah buku yang diadakan khusus untuk penulis tempatan, bedah buku, bacaan cerpen, bacaan sajak dan puisi.
Sudah pasti usaha yang dilakukan oleh anak muda ini dan teamnya memberi kesan yang positif. Walaupun baru minggu kedua (ketika temuramah dijalankan) ianya mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat.
Jadi, anda yang ada atau jalan-jalan ke Terengganu tu, bawalah anak-anak singgah ke lokasi menarik ini. Aktiviti berfaedah yang membangunkan jiwa anak-anak muda ke arah kebaikan perlu mak ayah sokong. Betulkan?
Sumber/Foto : Twitter Fazrul Azril