Dalam kehidupan, rumah tangga merupakan asas yang penting dalam membina masyarakat yang stabil dan sejahtera. Kesejahteraan sebuah keluarga sering kali bergantung pada interaksi yang positif antara pasangan suami isteri.
Pun begitu, ada sesetengah daripada kita berdepan dengan pelbagai konflik dalam rumah tangga, bermula dengan menarik muka, saling tidak bertegur, pertelingkahan dan ada sehingga tahap berlakunya penceraian.
Salah satu faktor yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga adalah masalah komunikasi antara satu sama lain, baik suami mahupun isteri. Ada kalanya, sikap atau tabiat pasangan yang sudah terbiasa melakukan sesuatu menyebabkan isteri atau suami ‘malas’ untuk menegur. Antaranya, tabiat merokok.
Menurut laporan, kebanyakan pasangan mengakui mereka mempunyai masalah dengan pasangan masing-masing gara-gara tabiat merokok.
Selain memudaratkan kesihatan, asap rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia. Kira-kira 69 daripadanya telah diklasifikasikan oleh pihak berkuasa kesihatan awam sebagai Bahan Berbahaya dan Berpotensi Memudaratkan (HPHCs).
Gangguan dalam rumah tangga akibat rokok
Mungkin ada di kalangan suami yang masih tidak sedar akan perkara ini, tetapi selain memudaratkan kesihatan, merokok juga boleh menganggu hubungan antara suami isteri.
#1. Merokok punca hubungan rengang
Kepada para perokok, perkara ini mungkin tidak disedari oleh mereka. Namun, sebagai isteri pastinya sukar untuk merapatkan hubungan gara-gara bau yang melekat pada suami selepas merokok.
Sebagai contoh, rambut, pakaian dan kulit pastinya akan melekat dengan bau rokok yang membuatkan seseorang merasa tidak selesa. Bermula dari sini, isteri akan mula menjauhkan diri dan sebagainya.
#2. Membahayakan kesihatan
Selain meningkatkan risiko kesihatan kepada perokok , merokok juga boleh memberikan kesan jangka masa panjang kepada penghidu atau mereka yang terdedah pada asap rokok.
Ramai yang salah sangka tentang ini. Andaian perokok, sekiranya tidak merokok di rumah atau jauh daripada yang tersayang maka mereka terselamat. Sebenarnya tidak! Perkara ini dipanggil thirdhand smoke yang mana asap yang dihembus akan ‘melekat’ pada pakaian, perabot dan sebagainya.
Zarah-zarah asap yang melekat pada pakaian dan sebagainya ini masih mengandungi 7,000 bahan kimia seperti TAR, ammonia dankarsinogen yang boleh menyebabkan barah paru-paru.
Secara tidak langsung, pasangan juga akan terdedah kepada masalah-masalah kesihatan yang sama dengan mereka yang merokok tadi.
#3. Mengganggu hubungan intim
Jangan tak tahu ye, merokok juga boleh menggangu prestasi semasa melakukan hubungan intim. Ini kerana secara tak langsung, ia menganggu keupayaan paru-paru untuk berfungsi secara normal dan akan menyebabkan kesukaran pernafasan.
Apabila ini berlaku, sudah tentu hubungan intim tersebut tidak dapat dilakukan dalam masa yang lama atau panjang dan menyebabkan pasangan tidak puas.
Turut Baca: https://www.mingguanwanita.my/thailand-kuat-kuasa-larangan-merokok-dalam-rumah/
#4. Jejaskan kesuburan
Menurut portal MyHealth, selain memberi kesan berbahaya kepada sistem pernafasan dan kardiovaskular, tabiat merokok suami juga akan memberi kesan kepada kesuburan mereka.
Kajian menunjukkan lelaki yang merokok akan menghasilkan sperma yang kurang berkualiti. Antara kesan-kesannya seperti, penurunan sebanyak 23% dalam kiraan sperma, penurunan sebanyak 13% terhadap pergerakan sperma dan penghasilan sperma yang tidak normal.
Bagaimana nak bantu pasangan berhenti merokok ?
Dalam hal untuk membantu pasangan berhenti merokok ini, kita perlu faham dan akui yang untuk menghentikan tabiat yang sudah dilakukan berpuluh-puluh tahun ini sememangnya sukar. Salah satu dari sebabnya adalah ketagihan nikotin. Namun, jangan khuatir ye para isteri, ianya tidak mustahil.
Pada peringkat permulaan, kita boleh menggunakan pendekatan “jika tidak boleh berhenti, bertukar kepada alternatif yang lebih baik”. Cari produk alternatif dan beralih dengan menggunakan bahan atau cara pengambilan yang mengurangkan risiko akibat pengambilan tembakau, contohnya produk pemanasan tembakau yang boleh mengurangkan 95 peratus risiko
akibat merokok kerana tidak membebaskan asap yang mengandungi banyak bahan kimia yang memudararkan kesihatan.Menurut pakar, pendekatan ‘pengurangan kemudaratan’ atau harm reduction memainkan peranan yang sangat penting bagi mengurangkan impak negatif dalam perkara seperti merokok, penyalahgunaan dadah, keselamatan jalan raya dan juga pemakanan.
Apa yang penting, berilah sokongan pada suami sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk berhenti atau beralih kepada alternatif. Asalkan suami nak membuat perubahan yang lebih baik, cara macam mana sekalipun sokonglah mereka demi menjaga hubungan dan institusi rumah tangga.
Takkan sampai nak bercerai berai hanya disebabkan oleh rokok kan? Tak berbaloi!
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.