Cukup sedih bila mentua tak suka cuma disebabkan duit. Ya, memang betul lah sebab duit juga banyak hal negatif boleh terjadi, tali persaudaraan terputus, terjadinya pembunuhan, pergaduhan dan sebagainya.
Kali ini kita berkongsi luahan hati seorang menantu mengenai sikap mentuanya yang terlampau taksub dengan duit hingga sanggup melemparkan fitnah. Semoga kisahnya jadi iktibar buat pembaca.
Apa yang ingin saya kongsi ini sekurang-kurangnya mampu meredakan sedikit tekanan kerana saya begitu runsing memikirkan masalah yang melanda. Untuk makluman, 10 tahun lalu, saya telah mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati. Malangnya perkahwinan kami tidak mendapat keizinan dari kedua ibu bapa saya dan memaksa kami berkahwin di sempadan.
Setelah berkahwin, kami dianugerahkan cahaya mata yang ramai dan memiliki sebuah keluarga yang sempurna. Juga senang dari segi kewangan. Kami bersama-sama bertekad membuktikan yang kami mampu membina keluarga yang bahagia. Setelah beberapa tahun barulah keluarga saya dapat menerima kami dan hidup seperti keluarga yang lain.
Namun berlakulah satu masalah dengan keluarga mentua dan adik beradik suami. Selama ini suami bekerja dan menanggung kedua orang tuanya biarpun mereka mempunyai pencen tetap setiap bulan. Duit perniagaan yang kami usahakan digunakan untuk menanggung kehidupan mewah buat ibu bapanya dan adik beradiknya yang lain.
Saya tak pernah bising tentang hal ini kerana bagi saya, syurga suami adalah pada kedua ibu bapanya. Hal ini bukan tidak pernah dibincangkan dengan suami malah saya memintanya bersikap tegas di samping tidak cuba untuk melukakan hati kedua ibu bapanya tetapi ternyata suami masih mengambil sikap yang sama.
Namun apabila mendapat tahu wang yang diberikan kepada kedua ibu bapa digunakan ke jalan yang dimurkai Allah, suami mula berhati-hati dalam pemberian wang tersebut.
Selama ini, saya tidak pernah mencampuri urusan keluarganya sehinggalah suatu hari, mereka datang menyerang saya dan suami. Mereka juga telah melemparkan fitnah ke atas saya supaya suami menceraikan saya.
Malah kedua ibu bapanya juga mengatakan suami anak derhaka dan sebagai isteri, saya begitu terkilan dengan tingkah laku mereka sedangkan saya sangat menjaga hati mereka selama ini.
Ternyata, tujuan mereka berbuat demikian semata-mata berasa takut saya dan suami kembali rapat dengan keluarga saya.
Jadi adik beradik suami tanpa usul periksa mula memarahi suami dan memaki hamun saya. Ibu bapanya juga menjaja cerita tentang saya dan suami di tempat kerja suami. Mereka menceritakan hal yang bukan-bukan malah menjatuhkan maruah suami pada setiap orang yang dikenali.
Untuk makluman, kami tinggal berdekatan dengan ibu bapanya dan sekarang kami mengambil keputusan untuk berpindah. Bukan untuk lari dari kedua ibu bapanya tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan.
Saya begitu tertekan terutama apabila suami menceritakan zaman kanak-kanaknya. Sejak kecil, dia tidak mendapat didikan agama sepenuhnya dan ibu bapanya telah melakukan perkara-perkara dilarang agama.
Jika sebelum ini suami tidak rapat dengan keluarga saya, kini hubungan itu jadi baik. Dia banyak menghabiskan masa di rumah keluarga saya. Kedua ibu bapa saya tidak mahu mencampuri urusan ini selagi suami masih menjaga saya dan mereka menerima tohmahan yang dilemparkan.
Malah kedua ibu bapa saya pernah meminta kami memohon keampunan dari ibu bapa suami. Ikutkan kata hati, saya memang masih marah apatah lagi mereka melemparkan pelbagai tohmahan di Facebook. Saat dilemparkan fitnah itu saya tidak menjawab apa pun.
Untuk pengetahuan, ibu bapa mentua baru saja dapat tawaran menunaikan haji dan suami telah menyimpan duit mereka untuk kegunaan haji. Selama ini wang berniaga suami banyak digunakan untuk keluarganya tetapi hanya kerana sedikit kesilapan, mereka telah membuang kami.
Apa yang perlu suami saya lakukan kerana sudah banyak kali berlaku perselisihan begini. Bantulah kami suami isteri untuk mengatasi masalah yang membelenggu diri saya dan suami.