Bila Mak, Ayah Memilih Jalan Berpisah, Tolong Jangan Abaikan Perasaan Anak

Share
Jika ia jalan terakhir, bila mak dan ayah memilih jalan berpisah, tolong jangan abaikan anak-anak iya. Ingatlah bahawasanya anak itu adalah amanah Allah. Perpisahan ini bukan hanya melibatkan mak,ayah tetapi turut meragut hati dan perasaan anak-anak.
Perpisahan itu tak salah, namun cara mak,ayah melaluinya amat penting demi menjaga hati anak-anak yang masih perlukan kedua-duanya.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslinda dan fahami sebaik-baiknya.
Jika suami dan isteri memilih jalan untuk berpisah. Tolong jangan abaikan anak-anak.
Sejak akhir-akhir ini, banyak kita dengar keruntuhan rumah tangga dalam kalangan masyarakat kita.
Seandainya perpisahan itu tanpa zuriat mungkin ianya tidak ada masalah tetapi jika perpisahan yang terjadi itu mempunyai zuriat. Mohonlah jangan diabaikan anak-anak anda.
Sedih tengok bila ibu dan ayah berpisah, hidup anak-anak mula tidak terurus dan tidak terjaga. Ada juga anak-anak yang memberontak mahukan perhatian daripada ibu dan ayah mereka.

Walaupun Telah Berpisah, Jangan Abaikan Anak

Malah yang lebih sedih mereka memilih jalan hidup yang merosakkan masa depan mereka. Untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan sendiri.
Oleh itu suami isteri apabila sudah berkahwin elakkan melibatkan diri dalam laman web yang bukan-bukan. Jangan ambil aplikasi yang bertujuan mencari kenalan baru untuk suka-suka.
Malah elakkan juga berhubungan dengan kawan lama yang berlainan jantina jika tiada urusan penting. Ini dikhuatiri akan menimbulkan kecurangan. Dan sekaligus boleh merosakkan kebahagiaan rumah tangga masing-masing.
Kita tengok bila ibu yang curang dan ingin bersama lelaki lain, ada yang sanggup tinggalkan anak-anak dengan bekas suami alasan suami baru tidak dapat menerima anak-anaknya.

Kasihan Anak, Jangan Abaikan Perasaan Mereka

Kasihan bila anak-anak yang ditinggalkan itu masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Sanggupkah seorang ibu meninggalkan anak-anaknya? Cuba ingatkan kembali saat-saat sakit sewaktu anda bertarung nyawa untuk melahirkan anak-anak anda ke dunia.
Bila kita tengok jika ayah pula curang. Mereka akan jadi lupa diri dan lupa tanggungjawab pada anak-anak. Terus menghilangkan diri dan tidak mempedulikan keperluan anak-anak yang ditinggalkan.
Malah tidak ambil tahu belanja anak-anak sama ada anak-anaknya itu sudah makan atau belum? Tidak kasihan kah? Di mana hati dan perasaan anda?
Oleh itu, jika suami isteri yang sudah tidak ada sefahaman dan ingin berpisah, berpisahlah secara baik. Fikirkanlah perasaan anak-anak yang akan ditinggalkan.
Baca Juga Di Sini:
Untuk info lebih menarik, sila klik di sini.
Bincanglah yang terbaik supaya tidak merobekan hati dan perasaan anak-anak supaya mereka tidak rasa kekurangan dan diabaikan.
Betul kita tidak jangka boleh berpisah secara baik tapi kena cuba dulu. Namun jika tidak boleh juga, jangan abaikan anak-anak anda. Kerana hubungan mereka dengan anda tidak akan terputus sampai bila-bila.
Walaupun kita sangat marah dengan pasangan masing-masing namun perasaan anak-anak dan ikatan mereka dengan kita juga perlu kita fikirkan.

Jangan Sekali Abaikan Perasaan Anak

Ya… jodoh itu rahsia Allah. Namun jika tiada jodoh juga dalam hubungan kita, jangan sesekali abaikan amanah yang telah Allah berikan kepada kita.
Kasihanilah anak-anak kerana mereka mungkin sukar untuk menerima perpisahan ibu dan ayah mereka. Makanya jangan lukakan hati dan perasaan mereka semata-mata ego kita.
Buatlah yang terbaik dan doakan agar hidup anak-anak kita berjaya walaupun mereka terpaksa berpisah dengan ibu atau ayah mereka.
Jagalah kebajikan mereka dan berilah mereka kasih sayang sepenuhnya supaya pabila mereka dewasa, tidak ada rasa dendam dan sakit hati mereka kepada kita.
Semoga kita semua dibawah lindungan Allah dan sama-samalah kita berdoa supaya Allah memberikan kita semua sebuah keluarga yang bahagia sama ada di dunia dan di akhirat.
Anak-anak amanah kita. Hanya kita yang dapat mencorakkan kehidupan mereka sama ada baik atau sebaliknya. Aamin..
MW: Anak-anak merupakan amanah Allah, jadi walaupun mak,ayah telah berpisah, jangan dilupa kepentingan mereka. Ambil tahu akan perkembangan anak-anak walaupun tidak lagi tinggal sebumbung.
Published by
Syazwani Mehat