Tiada siapa antara kita mahukan pasangan yang dikahwini itu ditimpa masalah kesihatan
Diharapnya pasangan kita sihat dan kekal bersama selamanya, baik susah atau senang. Namun, tidak semua yang diharapkan itu berkekalan dan pastinya ada ujian yang Allah ingin duga, mungkin juga dengan masalah kesihatan yang harus dilalui oleh pasangan.
Apakah yang harus dilakukan oleh pasangan bila diuji begini. Kupasan lebih lanjut bersama Abdul Muiez Ruslee tentang topik ini.
Galas Amanah
Menjaga orang sakit tidak semudah yang disangka. Banyak yang perlu diuruskan. Bukan sekadar memberi makan ubat, kemudian tinggalkan. Maksud jaga itu sendiri membawa pengertian yang spesifik.
Jika orang yang sakit itu adalah ibu bapa sendiri, mungkin antara adik-beradik boleh
berkongsi tanggungjawab. Tetapi bagaimana pula jika si isteri atau pasangan yang diuji?
Mungkinkah, ada orang lain yang boleh menggalas amanah itu bersama? Jawapannya sudah tentu tidak. Ini kerana tanggungjawab menjaga isteri terletak pada pundak sang suami.
Kata orang, isteri diuji ketika suami susah, suami pula diuji ketika mempunyai segalanya.
Memang benar. Tetapi dalam konteks kehidupan berumah tangga, pasangan suami isteri akan benar-benar diuji ketika salah seorang ditimpa sakit.
Ads
Kehendak & Tanggungjawab
Mungkin pada pandangan kita, menjaga pasangan yang sakit itu mudah. Hakikatnya, pada waktu itulah suami isteri akan berada dalam gelanggang pertarungan yang sebenar. Pertarungan antara kehendak dan tanggungjawab. Pertarungan antara ingin terus berada dalam zon selesa dengan pengorbanan yang merumitkan.
Jika kita mampu mengharungi perlawanan ini, nescaya kita telah hampir melangkah ke garisan kemenangan. Kejayaan melawan nafsu yang menuntut keselesaan dalam hidup berumah tangga.
Benar. Ujian ini sebenarnya menggoyahkan hati. Sebagai seorang suami, perasaan rasa terbeban itu sedikit sebanyak akan timbul di lubuk hati yang paling dalam. Tetapi, apakah kita tegar untuk membiarkan sahaja perasaan itu terus bergelut di dalam jiwa? Tidak? Kerana yang sakit itu adalah isteri kita. Isteri yang patut kita jaga dan sayangi.
Muhasabah Diri
Bila pasangan ditimpa dengan ujian kesakitan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah:
1. Stabilkan Emosi Sendiri Dan Pasangan – Tidak ada orang yang berharap untuk sakit. Sebagai orang yang pernah merasai nikmat sihat, sudah pasti ujian kesakitan itu akan menimbulkan rasa resah dan gelisah bukan sahaja kepada pasangan tetapi kepada diri kita juga.
Ads
Sebab itu, emosi perlu dipupuk dengan sifat positif. Ini kerana, jika kita mulakan langkah
pertama dengan rasa malang dan sedih, nescaya perkara negatif akan sentiasa memeluk erat kehidupan kita.
Hidup tidak tenang, tidak mampu terima hakikat yang sebenarnya kita sedang diuji dan akan menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Itulah yang kerap berlegar di fikiran. Sebab itu, kita perlu muhasabah diri.
2. Rasional Di Tahap Yang Tertinggi – Tenangkan diri dengan mengatakan bahawa satu hari
nanti pasti pasangan kita akan sembuh. Nabi s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, “tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya.”
Susun Semula Kehidupan
Ujian kesihatan yang menimpa, tentu akan mengundang tekanan akibat tidak mampu bekerja atau menguruskan rumah tangga. Sebagai suami, perkara utama yang perlu dibuat ialah menyusun semula kehidupan seharian.
Ads
Benar, biasanya tugas harian di rumah akan dilakukan oleh isteri. Tetapi, jika hal ini
berlaku, mahu atau tidak, suami perlu menggalas tanggungjawab untuk menguruskan rumah tangga sendirian. Bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Susun setiap tugasan agar semuanya berjalan lancar.
Jika sebelum ini urusan anak-anak diuruskan oleh isteri, kini servis bertukar tangan.
Suamilah yang perlu uruskannya. Bangun awal pagi, kemudian siapkan semua keperluan
persekolahan seperti menggosok baju, memandikan mereka, memakaikan pakaian yang bersih serta mengisi perut anak-anak sebelum bertolak ke sekolah.
Bab makan, mungkin suami mempunyai talian hayat. Zaman sekarang, makanan boleh dihantar ke rumah dengan hanya satu panggilan. Dobi juga tiada masalah. Dengan wujudnya perkhidmatan dobi layan diri 24 jam, urusan membersihkan pakaian mungkin tidak lagi membebankan.
Wahai Suami!
Sebagai suami, elak daripada menunjukkan rasa tidak senang, penat dan tidak puas hati di hadapan isteri. Ini kerana bahasa tubuh itu akan membuatkan pasangan hilang keyakinan diri. Dalam hatinya, akan terbit rasa bersalah sehingga menyebabkan kesihatan semakin memburuk.
Suami boleh menaikkan semula semangat isteri dengan menunjukkan rasa senang dan berkata yang baik-baik di hadapan pasangan. Walaupun hakikatnya, rasa penat itu ada, tetapi pandai-pandailah disorok.
Suami boleh memberi sokongan dengan cara mengurut badan, menepuk belakang jika batuk, sediakan keperluan ubat-ubatan, teman ke hospital dan beri peluang isteri berehat dengan menjauhkan anak-anak.
Memang betul, pasangan kita tahu yang kita tidak mampu untuk merawat mereka, tetapi dengan sedikit perhatian yang kita curah pasti akan membuatkan mereka berasa senang.
Tip Untuk Pasangan
Ada dua tip untuk suami atau isteri apabila pasangan diuji jatuh sakit yang dapat dikongsi.
1.Cara yang terbaik ialah hadapi sahaja ujian yang menimpa. Mudah-mudahan Allah akan berikan jalan terbaik.
2.Pasakkan dalam diri yang kita tidak akan selamanya sihat. Satu ketika, kita juga akan
diuji dengan sakit. Mungkin lebih teruk daripada apa yang dialami oleh pasangan. Sekiranya, kita mengabaikan pasangan ketika mereka diuji dengan kesakitan, tidak mustahil, satu hari nanti, kita pula akan diperlakukan dengan cara yang sama.
Kesimpulannya, untuk diri kita disayangi, kita perlu menyayangi. Berikan yang terbaik kepada pasangan kita di saat mereka sedang diuji. Satu hari nanti, kita juga akan dijaga mungkin dengan lebih baik saat kita pula ditimpa musibah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila isteri nekad bercerai. “Suami sanggup pujuk rayu peguam isteri, berjanji akan berubah” semata-mata untuk menagih kembali cinta daripada seorang isteri.
Begitulah, bila sudah menyesal tidak berguna lagi. Lumrah seorang isteri, selagi boleh bersabar dia akan bersabar. Tetapi bila mereka tekad, buatlah apa sekali pun hatinya tidak akan berubah.
Ikuti perkongsian Peguam Syarie, Nurul Izzah Zainol ini dan hadam baik-baik ya:
Bila Isteri Nekad Bercerai
SEBELUM SAMPAI MAHKAMAH
Saya jadi teringat satu kes kira-kira awal tahun lepas. Seorang lelaki call saya minta saya memujuk isterinya agar tidak jadi bercerai dengannya. Dia dapat nombor telefon saya apabila dia membaca perbualan Whatapps saya dan isterinya yang memerlukan khidmat guaman bagi kes cerai.
Amat jarang berlaku hal begini. Seorang lelaki mencemar duli memujuk rayu peguam isterinya. Tanpa saya pinta, bersungguh-sungguh dia kata menyesal, berjanji akan berubah dan tak akan sia-siakan isterinya lagi.
Tapi apa boleh buat?
Bila seorang wanita sudah tekad, bulat hatinya, keputusannya tiada lagi tawar menawar.
Bila isteri ajak bincang hal rumah tangga, itu tandanya sudah tahap serius. Boleh jadi sudah separuh hatinya telah cenderung untuk keluar daripada perkahwinan.
Kalau kau ignore request isteri untuk duduk berbincang setelah beberapa kali dia ajak, itu bukan bererti dia dah tak kisah. Kalau kau nak tahu, peratusan tekad dia untuk berpisah mencanak naik tanpa kau sedar.
Jadi, perbincangan yang diharapkan adalah sangat penting dan genting. Tak boleh tangguh-tangguh atau nanti-nanti. Kau kenalah buat apa cara sekalipun untuk cari masa penuhi permintaan dia.
Kau kena tahu juga, perempuan ini ada ability untuk absorb masalah dan supress dalam diri dia sampai kau nampak bini kau baik-baik sahaja. Macam tiada masalah apa-apa. Ada tu masih melayan elok nafsu kau.
Tapi bila dia sudah demand nak bincang dan luah masalah rumah tangga dengan kau, itu maksudnya dia sudah tak tahan. Ibarat masalah itu sudah membarah dalam diri.
Kalau still buat tak kisah atau buat bodoh, anda sebenarnya telah ‘kehilangan’ cintanya. Yang tinggal hanya jasad yang dipaksakan untuk tetap bertahan.
Berjanji Akan Berubah
TEKAD BERCERAI
Bila selalunya perempuan ini tekad hendak bercerai? Ketika kau tak bagi kerjasama untuk berbincang dan baiki keadaan rumah tangga. Bila kau anggap remeh masalah-masalah yang dia ceritakan.
Tika kau acuh tak acuh sahaja nak selesaikan masalah rumah tangga. Bagi kau semua tu benda remeh. Boleh swept under carpet.
That’s it.
Kau ingat senang ke seorang isteri hendak ambil borang cerai dan isi permohonan tu? Dia tekad bukan sebab alasan bulu ketiak kau banyak, atau perut kau boroi atau sebab sifat pelupa kau tak ingat birthday dia atau anniversary korang.
Kebanyakannya sebab benda sudah tak boleh nak selamatkan lagi sebab sikap kau. Ajak bincang berdua buat bodoh. Malah, ajak pergi pejabat agama kau buat pekak. Ajak jumpa orang tengah nak cari penyelesaian kau kata tak mahu libatkan orang luar dalam masalah rumah tangga kau.
Jadi, sebelum semuanya sampai ke mahkamah, tolonglah bagi kerjasama untuk selamatkan rumah tangga. Jangan bila sudah sampai surat Mahkamah, baru terhegeh-hegeh nak bincang, nak pujuk rayu, nak berjanji manis bagai.
Kasihan saya tengok wanita-wanita ini jadi berbelah bahagi, dilema dan tertekan sama ada nak bagi peluang lagi atau tak. Walau tiada satu benda pun yang boleh jamin semunya akan jadi lebih baik bila dia bagi peluang lagi.
Hanya modal air liur dan air mata untuk membeli semula kepercayaan si isteri. Paling-paling kau letaklah cash 100k depan mata dia, berbaloilah jugak nak ambil risiko.
Lagi satu, kau kena bersyukur wanita ini dikatakan selalu ikut emosi. Dia masih simpan kau sebab sentimental value lah kot. Kalau dia ikut akal yang rasional, mungkin sudah lama kau tak wujud dalam hidup dia.
Mingguan Wanita : Selagi punyai waktu, guna peluang sebaiknya. Jangan biarkan isteri memendam rasa, sudahnya segala sudah terlambat.
Alahai! Ada saja tak kena di mata anda. Anak-anak sepahkan rumah, anda merungut. Suami terlewat balik kerana jalan jem, anda merungut. Bahkan lori sampah lambat datang kutip sampah depan rumah pun anda merungut.
Pendek kata, ada saja rungutan dan keluhan yang keluar daripada bibir! Mungkin anda rasa tak ada salahnya kalau anda merungut, sekadar meluahkan isi hati. Tapi pernahkah anda terfikir sebagai suami, apa perasaan suami ada isteri yang kuat merungut? Tentu sakit telinga dan sakit hati mendengarnya.
Pening Kepala
Anda bayangkan diri anda di tempat suami. Balik kerja, dengar pula rungutan isteri. Suami mana yang tak pening kepala. Selagi boleh sabar, mungkin dia akan sabar, anggap ia sekadar rungutan isteri yang kepenatan seharian bekerja dan inginkan perhatian daripada suami. Tapi kalau mulut anda tak berhenti merungut, siapa boleh sabar. Jadi, sila kawal sikit ye.
Luahan Perasaan
Wanita memang gemar mempamerkan perasaan mereka dengan tindakan, termasuklah merungut itu dan ini. Mungkin ada sesuatu yang membuatkan anda tak puas hati dan rasa perlu luahkan perkara itu. Jadi anda merungut untuk mengurangkan perasaan itu. Kadangkala rungutan itu bukan meminta penyelesaian daripada suami pun. Sekadar nak puaskan hati anda saja. Kalau itu alasan yang diberikan, mungkin suami masih boleh ‘pekakkan’ telinga mendengar rungutan anda itu. Tapi hati-hati ye, jangan keterlaluan. Ingat, sabar suami ada batasnya.
Cara Untuk Minta Sesuatu
Ada yang cakap, biasalah wanita memang kuat merungut. Tapi kena tengok juga apa yang asyik jadi bahan rungutan itu. Misalnya kalau anda merungut tentang kepayahan hidup yang perlu melakukan segala kerja rumah tanpa pembantu rumah sedangkan anda sedar suami tak mampu untuk sediakan pembantu rumah, agak-agak suami akan marah tak? Atau anda merungut tentang perabot rumah yang dah bertahun tak bertukar dan membandingkan dengan rumah jiran sebelah. Itu umpama ‘cara halus’ meluahkan keinginan pada suami.
Awas, rungutan sebegitu boleh porak-peranda rumah tangga. Bayangkan perasaan suami yang pasti rasa serba salah kerana sedar dia tak mampu menyediakan apa yang anda ingini.
Tak Mampu Ubah Apa-apa, Hentikan Saja
Katakan pada diri anda, kalau rungutan itu tak mampu mengubah apa-apa keadaan, tak ada gunanya asyik merungut saja. Daripada merungut, lebih baik cari jalan penyelesaian terhadap perkara yang membangkitkan rasa tak puas hati itu. Kalau anak sepahkan mainan, biarkan saja jika tak larat nak kemas. Tapi dalam masa sama, ajar dan didik anak-anak untuk kemas semula permainan selepas bermain.
Belajar Bersyukur
Tak elok jika asyik merungut dan mengeluh. Seolah-olah menyalahkan orang atau perkara lain sehingga terjadinya sesuatu yang tak kena di mata anda. Ia juga umpama tak tahu bersyukur. Bukankah Allah dah kata, jika kita bersyukur dan bertakwa, Allah akan tambahkan rezeki kita?
Adalah sangat penting bagi kita orang Islam untuk menjaga perkataan yang keluar daripada mulut kita kerana ia akan memberi kesan pada hati kita sendiri. Peliharalah hati kita daripada kerosakan kata-kata sendiri.
Dengan merungut, seolah-olah menunjukkan seseorang itu tidak bersyukur dan tidak dapat menerima masalah atau kesulitan yang dihadapinya walau pun perkara kecil dan remeh sahaja. Maka, ajar diri untuk sentiasa bersyukur.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekali pun sibuk main handphone, janganlah sampai anak jadi mangsa kena marah-marah dan terabai. Ini satu penyakit orang sekarang, bukan kat rumah sahaja diumpankan si kecil gajet, masa nak makan pun sama.
Ya, faham… ada mak ayah rasa cara itu paling mudah nak diamkan anak daripada terus berlari-lari. Tetapi kalau dah macam situasi Puan Nurul Kasmadillawati Zakaria kongsikan ini, agak-agak siap yang bersalah. Mak ayah atau anak?
Kesan Main Handphone Depan Anak-anak
Handphone vs anak. Handphone lebih penting. Layan anak macam pengemis.
Benda ni jadi jumaat malam hari tu. Dah banyak hari tapi acik asyik dok teringat je. Aksi meja sebelah. “ Tengok apa? Dari tadi tak lepas pandang? “ Tanya encik hensem kat acik.
Sebenarnya dari awal sampai, duduk kat meja, acik dah tertarik tengok meja sebelah ni. Sepasang suami isteri. 2 orang anak perempuan, dalam lingkungan 1 & 4 tahun. Yang besar duduk sebelah ayah, yang kecik sebelah emaknya.
Dari awal acik sampai, handphone macam kena gam kat tangan mak ayahnya. Si kakak buat hal sendiri tengok keliling, tengok mak ayah yang tak angkat muka langsung daripada pandang handphone. Si kakak bercakap-cakap minta perhatian, tak dilayan. Tiba-tiba, gedegang. Si kakak dah jatuh kerusi, kasut basah masuk dalam longkang cetek laluan air.
Akhirnya Anak Kena Marah
Kemain kuat suara si ayah marahkan si kakak. Kenapa tak reti nak duduk diam? Orang lain duduk atas kerusi dia berdiri sebab tu jatuh. Acik tengok muka emaknya, mencuka. Si ayah angkat kerusi semula, anak dibiarkan bangun sendiri. Sikit pun tak tanya anak tu ok ke tak. Anak 4 tahun kot, jatuh. Tak risau langsung ke? Dua-dua mengadap handphone semula. Bila makanan sampai, si emak bagi youtube kat si kecik suruh diam. Mak ayah makan, si kakak terkebil-kebil sorang-sorang. Boring sangat agaknya, dia turun kerusi.
Pergi kat ayah, tak layan. Pergi kat emak, nak tau apa mak dia buat? Mak dia jerit kuat “ Eh apa masalah dia ni? Pergi duduk sana lah “. Muka macam singa, tangan tolak anak yang baru datang dekat nak pegang lengan emaknya. Waktu ni memang acik dah rasa macam nak pergi tendang mak dia. Budak ni anak angkat ke apa? Kalau anak angkat sekali pun tak boleh ke layan macam manusia? Pelayan kat food court pun dah start pandang-pandang. Bisik-bisik sesama sendiri.
Akhirnya budak perempuan 4 tahun tu tawaf meja makan dorang. Entah berapa kali tawaf, mak ayah dia buat tak tau. Sesekali dia berhenti, macam nak datang ke meja kitaorang. Acik senyum, tapi dia takut. Bulat mata dia tengok je Balqis & Aina makan sama-sama. Acik suap Aina. Balqis suap acik. Encik hensem suap acik. Bulat mata dia. Serius waktu ni acik dah nak menangis tengok budak tu. Mak ayahnya dah siap makan. Mata melekat kat handphone semula. Bila nak balik, si mak turunkan adik dari highchair, si ayah bangun menonong.
Si anak 4 tahun pergi kat ayah agaknya minta dipimpin tapi tak dilayan. Bila pergi kat mak, maknya sibuk dengan siadik. Acik dengar budak 4 tahun tu bercakap dengan maknya tapi tak dilayan. Akhirnya si ayah jalan depan. Si mak ikut sambil pegang si adik. Budak 4 tahun tu? Jalan sendiri kena tinggal kat belakang. Waktu ni lah encik hensem tanya acik pandang apa?
Berkaca dah mata acik waktu ni.
“Anak angkat ke budak tu? Layan sampai macam tu sekali “
“Mak dia datang bulan kot” kata encik hensem.
“Dah tu, kalau emaknya datang bulan, ayahnya period sekali? “
“Mungkin ayah dia memang jenis tak guna, tak peduli pasal anak “ Simple jawapan encik hensem.
Diam. Tak lama lepas tu encik hensem bersuara lagi “ Orang biasanya keluar makan sedap-sedap sebab nak bagi anak makan best kan? Bukannya sebab kita sendiri yang nak makan sedap. Tapi nak bagi anak-anak “ Bingo. Ayat dia general, tak merujuk pada siapa-siapa tapi acik boleh tangkap maksudnya. Rupanya encik hensem pun perhatikan dorang suami isteri yang makan tak ingat dunia tapi sikit pun tak suap anak-anak.
Korang yang membaca mungkin tak boleh nak imagine macam mana desperate nya anak kecik umur 4 tahun tu nak tarik perhatian mak ayah dia. Demi Allah, ni first time acik tengok depan mata sendiri. Dah macam pengemis minta sedekah. Kena tolak. Kena herdik. Dibuat macam takde perasaan.
Berubahlah, Letak Tepi Kejap
Mak ayah, tolonglah. Handphone tu sila letak ke tepi. Seharian pergi kerja tinggal anak dengan orang lain, lewat petang baru anak dapat tengok muka mak ayah. Anak-anak dahagakan kasih sayang. Anak-anak nak kan perhatian. Kenapa pilih untuk berhuha kat facebook, whatsapp group sedangkan depan mata anak sendiri diabaikan?
Orang kita ni sikit-sikit sebut pasal anak derhaka, kewajipan anak kepada ibu bapa. Tapi terlupa yang ibu bapa pun ada dosa dengan anak-anak. Peringatan untuk kita bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...