Bila Isteri Dah Tak Macam Dulu, Jangan Terus Cari Silap Dia

Share

Kebanyakan lelaki suka cari kesalahan isteri bila dah berubah hati, katanya isteri dah tak macam dulu.

Tak macam dulu itu dari sudut mana, entah lah. Lebih parah, sampai ada yang sanggup cari yang baru tanpa memikir nasib anak-anak.

Kalau perempuan sanggup bermadu, mujur. Bagaimana pula yang tak sanggup berkongsi kasih? Adakah berpisah itu cara yang paling mudah?

Tolonglah wahai kaum lelaki, sebelum mencari kesilapan isteri waktu umurnya makin meningkat, bacalah perkongsian Puan Farizal Radzali dengan berlapang dada.

Moga hubungan yang mula berpalit kelat akan bertukar jadi manis.

Nampak Isteri Tak Macam Dulu

Ada beberapa kes penceraian yang berpunca dari hal yang sangat kecil, yang adakala kita ketawa mendengarnya, macam tak percaya sebab terlalu kecil. Sebenarnya bukan hal remeh itu puncanya, tapi kerana HATI DAH PENAT.

Maka hati akan mudah marah pada perkara yang sekecil-kecil lapik meja, silap warna, masak kurang masin dan sebagainya. Lagi sedih bila perceraian tak mendatangkan perasaan sedih tapi seolah rasa terlepas dari sesuatu yang berat untuk ditanggung.

Egonya seorang suami bila berkata mahu menceraikan isterinya kerana tak mahu menanggung dosa si isteri yang tak mendengar kata, dah berubah dan makin degil. Sedangkan anak berderet memeluk ibu, bukan memeluk bapa. Tiada setitis air mata yang keluar dari mata si isteri menandakan hatinya dah keras dan kini pasrah.

Wahai suami…

Bila isteri dah tak macam dulu, dah tak pandai senyum, dah tak boleh cakap baik-baik, dah tak pedulikan penampilan dirinya, dah selalu jadi singa dan dah tak secantik wanita lain diluar sana, jangan terus cari silap dia.

Tapi carilah kekurangan dalam keluarga hasil pimpinanmu…

? Berapa kali kau peluk isterimu dalam seminggu?
?Berapa kali kau tanya khabarnya minggu ni?
?Berapa kali kau mengimamkan solat fardhunya?
?Berapa banyak nafkah yang kau beri peribadi untuknya, bukan untuk keluargamu? Samada dia bekerja atau tidak?
? Berapa kali kau bantunya buat kerja rumah?
?Berapa kali kau berterima kasih kepadanya disepanjang perkahwinanmu kerna menjadi penemanmu?
?Siapa yang jagakan anak-anak mu?
?Kemanakah pandanganmu dikala dia berbicara denganmu?
?Berapa kali kau bangun malam, bertahajjud sambil menangis, mendoakan kesejahteraan dalam keluarga mu?
?Apa beza dirinya sebelum dan selepas berkahwin dan punyai anak bersamamu?
?Sudahkah kau lakukan segala yang Allah suruh?

Bila isteri buat perangai, bukan kerana dia nak melawanmu tapi dia nakkan perhatianmu. Bukan dia tak tahu, Rasulullah saw bersabda,

“Andai seorang manusia boleh sujud kepada manusia lain, nescaya akan aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya.”

Seorang isteri, dosanya ditanggung oleh suami selagi suami tak menegur kesilapannya. Tapi setelah ditegur masih si isteri itu tak mengikut kata, tugasmu tak tamat begitu saja, tegurlah ia berlandaskan islam.

Pertama : Tegurlah dgn lisan.
Kedua : Pukullah dengan selembut-lembut kain di bahagian yang tak sensitif.
Ketiga : Asingkan tempat tidur.

Andai kesemuanya tak berjaya, janganlah kata tugasmu dah selesai selagi kau belum mendoakan kebaikan untuknya tanpa henti. Selagi dia tidak nusyuz dalam hukum Islam.

Wanita itu dicipta dari tulang rusuk yg bengkok. Perbetulkanlah ia dengan cara yang baik, jangan sampai patah sebab jika patah, ia takkan sama seperti yang asal.

Wanita itu dicipta dari tulang rusuk di sisimu, kerana itu yg rapat dgn hatimu untuk kau cintai dan sayangi. Bukan di kepala untuk kau junjung dan bukan juga di kakimu untuk dipijak.

Suami yang baik ialah yang sentiasa berusaha membawa keluarganya membina istana di Syurga.

Tiada isteri sengaja nak menderhaka,
Tiada isteri suka-suka nak masuk neraka,
Islam itu dah cukup sempurna,
Rasulullah panduan berguna,
Ayuh kita tempah syurga bersama-sama.

Published by
Nadia