Ramai wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin memberikan tumpuan pada keluarga. Namun, apakah ada terselit rasa ‘tak ikhlas’ bila terlalu dibebani dengan hal rumah tangga? Bahkan ada yang rasa benci bergelar suri rumah.
Ikuti kupasan daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-undang Keluarga Islam, juga kolumnis ruangan Keluarga Sakinah di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Bosan hidup sebagai suri rumah? Mahu lari daripada keserabutan kerja-kerja rumah yang tak ada habis-habisnya? Benci dengan persekitaran yang seolah-olah menenggelamkan bakat dan kebolehan anda?
Hati sentiasa merungut: “Kalaulah aku tak berhenti kerja… kalaulah aku boleh kumpul duit gaji selama sepuluh tahun ini, mesti dapat beli sebuah rumah. Orang lain senang-senang pergi melancong, shopping online sebab duit sendiri. Aku pulak menadah simpati, tak habis-habis kena jeling suami!”
Di sudut hati seorang isteri sebenarnya masih ada keikhlasan yang disimpan bahkan ketika orang lain tidak menghargai dia masih setia menjaga rumah tangga. Namun bukanlah manusia jika hatinya selalu bersih, suci, ikhlas, taat, ada kalanya seorang isteri mengalami kemurungan.
Apakah nasihat-nasihat yang boleh kita kutip dan lekatkan dalam hati menjadi hiasan keindahan budi pekerti seorang suri?
Bila hati rasa malas, suka marah-marah, tiba-tiba rasa nak nangis, cuba ingat saat itu Allah SWT sedang memandangmu dengan pandangan kasihan. Allah SWT juga mendengar dan membanggakanmu di hadapan malaikat-malaikat-Nya jika kamu bersabar dan mengharap pahala.
Allah SWT pasti memberi apa saja doa yang kamu minta, jika kamu yakin. Bacalah ayat Allah ini dalam hati: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja keras, kelak pasti kamu akan bertemu Tuhanmu kemudian kamu mendapat balasan dari apa yang kamu telah usahakan itu.” (Surah Al-Insyiqaq ayat: 6)
Jangan dianggap suri rumah itu bukan kerjaya, Allah SWT mengiktiraf para suri rumah sebagai pekerja-pekerja-Nya, kita kerja untuk bos di atas langit, upahnya tidak terhitung banyak, berapalah gaji budak pejabat dibandingkan kerja dengan Tuhan? Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan balasan syurga.” (Surah al-Taubah ayat: 111)
Ramai muslimah yang mengeluh, semasa buat solat sunat anak merengek minta susu, ketika mengaji anak kacau, nak menuntut ilmu akhirat dengan ustazah tapi anak-anak tiada orang jaga, nak sedekah tapi keperluan anak lagi banyak, sedih sebab tak dapat cari duit buat sedekah.
Sudahlah amal sedikit, ibadah rasa tak sempurna, ini yang menyebabkan ramai muslimah stres. Rasa kosong, jahil, lemah iman. Hakikatnya, kerja-kerja rumahtangga seorang isteri itu adalah amal solehnya bahkan dia layak mendapat kecintaan Allah SWT.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling memberikan manfaat pada orang lain. Adapun amalan yang paling dicintai Allah adalah membuat orang lain bahagia, mengangkat kesusahan orang, membayar hutangnya atau menghilangkan laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku untuk menolong hajatnya lebih aku cintai daripada iktikaf di masjid ini (masjid Nabawi) sebulan penuh.” (Hadis al-Tabrani dinyatakan hadis ini Hasan oleh Syaikh al-Albany)
Bukankah kerja-kerja ini adalah yang dilakukan seorang suri rumah? Betapa selama ini kita jahil dan tidak menghargai nikmat sebagai isteri dan ibu.
Ramai isteri suka ungkit jasanya kepada suami, kononnya dia nak ajar orang yang tak pandai bersyukur. Biar suami tahu betapa besar pengorbanan isteri, bila suami ungkit pula mesti kita sakit hati, bukankah saling ungkit itu boleh hanguskan pahala?
Kalau isteri sudah naik geram sampai tak sedar apa yang diucapkan lidahnya: “Awak beringatlah, kalau tak ada saya awak tak akan dapat pangkat tinggi, saya korbankan kerjaya saya untuk jaga anak-anak awak, jadi bibik kat rumah ini, awak dapat gaji besar, saya dapat apa? Kenapa awak kedekut sangat
?”Bila sebut perkataan mengungkit sebegini memang sudah pasti jawapan Allah SWT adalah amal soleh kita tertolak, sebagaimana firman-Nya: ”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu rosakkan pahala sedekah kamu dengan perkataan yang mengungkit-ungkit dan perbuatan yang menyakiti seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk (riak) dan dia tidak pula beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (Surah al-Baqarah ayat: 264)
Jika isteri benci jadi suri rumah sepenuh masa, mungkin dia telah membuka pintu rumahnya untuk syaitan. Ditiupkan rasa benci itu, dihilangkan reda dan ikhlas dari hati isteri.
Berhentilah membenci apa yang Allah cintai, syurgamu adalah rumahmu, tempat turunnya rahmat Allah.
Rumah itu ‘bank’ pahalamu yang tidak pernah kosong, setiap kali kamu bekerja menjaganya sesungguhnya kamu sedang memenuhi buku akaun pahalamu. Wahai isteri jagalah syurga rumah tanggamu untuk mendapat syurga akhiratmu!