Situasi biasa yang agak membimbangkan kaum ibu bekerja adalah setiap tahun banyak mendengar pelbagai kes dan kemalangan yang berlaku sama ada di taska atau rumah pengasuh.
Sudah lah masuk saja tahun baru, macam-macam yang nak difikirkan oleh kaum ibu. Jam berapa kena bangun pagi untuk siapkan sarapan dan bekal anak-anak ke sekolah. Kalau terlewat bangun, kelam kabut dan huru-haralah keadaan pagi tu.
Sebaik anak-anak ke sekolah, baru boleh bernafas lega. Masa inilah time kita siapkan diri untuk ke pejabat pula. Kadang-kadang dalam kereta pun, ibu-ibu dok fikir, macam mana keadaan anak kat sekolah. Ini baru ke sekolah, belum lagi kepala dok fikir tentang anak di rumah pengasuh atau taska pula.
Bercerita tentang pilihan taska atau rumah pengasuh untuk ibu-ibu bekerja memang boleh dilema. Kata orang, kalu ibu-ibu cerewet, baik dok rumah, jaga sendiri anak. Tapi, demi mencari rezeki untuk anak dan keluarga, ibu-ibu kena redha dan tawakal. Moga baik-baik untuk anak kita.
Taska atau rumah pengasuh. Dua-dua mempunyai cara tersendiri. Bagi saya, bersyukur kerana dari anak sulung yang kini sudah berusia 12 tahun hinggalah anak no 5 yang berusia 8 bulan berada di bawah pengasuh yang sama. Itulah ibu dan rumah kedua bagi anak-anak.
Taska, mungkin sesetengah ibu memilih taska supaya dapat melatih anak-anak berdikari, dapat bergaul dan bermain bersama-sama. Lagipun, kalu lambat balik kerja tidak menjadi masalah, sebab ibu hanya perlu bayar OT.
Dua-dua mempunyai kelebihan masing-masing dan ibu-ibu tidak perlu risau untuk meletakkan anak-anak di rumah pengasuh atau taska. Tapi, ingat, sebelum menghantar anak ke tempat itu, cubalah kenal pasti dan minta komen pada ibu lain yang hantar di tempat yang sama. Mungkin ia boleh memberi gambaran tentang taska atau pengasuh yang bakal anak kita tinggal nanti.
1. Kalau anak masih kecil, berusia antara 2 bulan hingga 2 tahun, rasanya sesuai diletakkan rumah pengasuh, kiranya pengasuh dapat fokus pada anak dengan lebih rapi. Kalau di taska, takut ada taska yang terlepas pandang dan tak cukup tangan nak jaga (sesetengah taska memperuntukkan seorang untuk menjaga 3 orang bayi- mungkin)
2. Anak-anak yang punya antibodi lemah, mudah menghadapi masalah kesihatan. Maklum sahaja, bila di taska, macam-macam pembawa. Kadang-kadang selesema, batuk atau demam. Berbanding pengasuh yang hanya anak kita dan mungkin dua lagi anak asuhan yang lain (jika pengasuh tidak mengambil ramai anak asuhan)
3. Bila anak makin besar dan bersekolah, inilah masanya kita hantar anak ke taska. Di sinilah bermulanya untuk ibu mengajar anak berdikari. Sebab anak-anak sudah tahu dan pandai untuk mendengar arahan dan sebagainya.
4. Ada banyak lagi kelebihan dan tidak kurang juga kekurangan pada taska dan pengasuh. Bergantung pada ibu untuk yakin dan istiqamah.
Paling penting, sebagai ibu jangan terlalu cerewet. Yakin dan tawakal supaya anak-anak kita dilindungi olehNya sepanjang kita mencari rezeki untuk keluarga.