Bila Diuji Pasangan Sakit, Jangan Anggap Sebagai “Kiamat” Rumah Tangga

Share

Melayari bahtera rumah tangga sudah pasti ada dugaan dan cabaran. Dugaan dan cabaran paling hebat adalah apabila pasangan hidup diduga dengan masalah kesihatan sehingga menyebabkan diri kehilangan upaya.

Persoalannya sekarang, sudah pasti beban untuk menguruskan pasangan yang sakit itu di atas diri pasangan yang masih sihat. Apakah tindakan selanjutnya yang boleh dibuat?

Dalam segmen Cerita Dalam Kain, Mingguan Wanita Talkshow yang bersiaran di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD 121 dari pukul 12.00 hingga 1.00 petang Khamis 30 Januari 2020 telah mengupas topik Senang Bersama, Susah Sendiri.

Kaunselor Rumah Tangga, Normaliza Mahadi

Kaunselor Rumah Tangga, Puan Normaliza Mahadi menjelaskan mengikut Islam tanggungjawab seorang isteri adalah menjaga suami, menjaga harta benda suami bila suami tidak ada, tidak benarkan orang asing masuk ke rumah tanpa kebenaran suami, dan meminta izin suami bila hendak keluar dari rumah.

Kesimpulannya, isteri itu perlu menjaga suami dan kebajikan suami dan anak-anak. Itulah tanggungjawab isteri.”

Namun begitu apabila berlakunya ujian dalam rumah tangga, apa yang boleh dilakukan. Apabila suami sakit, ada isteri yang setia menjaga suami mereka. Dan masih juga ada suami yang masih setia dengan isteri tidak kira isterinya berada dalam keadaan apa sekalipun.

Jelas Puan Normaliza, secara asasnya dalam rumah tangga, susah patut bersama.

Setiap individu tidak sama. Tidak dapat dinafikan ada yang berkahwin disebabkan kemewahan dan ada yang berkahwin disebabkan kecantikan.

Tetapi ada juga yang berkahwin secara ikhlas demi mahu membina kehidupan rumah tangga.

Saya rasa tujuan seseorang itu berkahwin itu akan memberi jawapan kepada persoalan itu.”

Baca sini : Bila isteri sakit, inilah masa servis bertukar tangan

Pendapatan Isteri Lebih Besar. Boleh Atau Tidak Dominan Dalam Keluarga?

Puan Normaliza berpendapat isteri itu lagi cantik berada di bawan lindungan suami. Tetapi di bawah lindungan suami ini jika suami itu tahu apa tanggungjawabnya.

Perkara sebegini susah hendak berlaku. Saya selalu percaya isteri perlu hidup di bawah kemampuan suami. Bukan suami duduk di bawah pangkuan isteri walau pangkat isteri lebih besar. Saya fikir mereka yang menguruskan kewangan rumah tangga akan ‘rule’ rumah tangga itu.

Tetapi hidup ini penuh dengan pelbagai ujian. Ada isteri yang diuji apabila dia menyumbang kepada kewangan keluarga, isteri itu yang kena ‘rule’.”

Suami Jatuh Sakit, Isteri Perlu Jaga?

Jelas Puan Normaliza lagi, untuk menjaga suami yang gagah perkasa terutamanya apabila suami itu sakit memerlukan kekuatan yang besar buat seorang isteri.

Ia ibarat melawan fitrah. Yang patutnya kuat dalam rumah tangga adalah lelaki. Tiba-tiba wanita yang kena kuat. Melawan fitrah ini akan menyebabkan banyak isu berlaku selepas itu. Kita hendak salahkan dia 100 peratus pun tidak boleh. Kemungkinan besar dia tidak sokongan yang besar dari sekeliling untuk dia buat kerja-kerja berat sebegitu di rumah. Tetapi dosa tetap dosa.”

Tidak Adil Tinggal Suami Ketika Dia Sakit?

Hendak jaga orang sakit perlu ada dua perkara. Perkara pertama adalah beriman pada Allah dan perkara kedua adalah sayang kepada orang yang sakit. Apabila kita sayang pada orang yang sakit itu, tidak ada halangan untuk menjaganya.

“Tetapi cuba bayangkan kalau orang yang sakit ini ketika dia sihat, kita tidak berapa sayang dengan dia. Tetapi sebab tidak ada pilihan, masih lagi berkahwin dengannya. Sifat hormat kita pada dia pun ‘zero’. Mungkin disebabkan perbuatan atau percakapannya.

“Ada suami tidak mendera isteri dari segi fizikal tetapi dera isteri dari segi verbal. Jadi bayangkan orang-orang sebegini sakit, bagaimana hendak jaga dia dengan penuh kasih sayang?

Minta Perceraian?

Jelas Puan Normaliza, sebagai orang Islam yang percaya pada akhirat, apa sahaja yang kita buat akan meninggalkan kesan pada kita. Jika memiliki suami yang tidak baik dan Allah uji lelaki bergelar suami itu, mungkin ini cara yang wanita boleh buat.

“Memohon perceraian bukanlah sesuatu yang buruk terutamanya jika isteri tidak boleh menjaga suami itu lagi. Tetapi apa kata pohon kepada Allah untuk memberi istana yang besar di syurga atas sebab saya menjaga suami yang dahulunya tidak mampu menjaga saya. Tetapi untuk melakukan ini seseorang isteri itu perlu iman sebesar gunung Uhud.

“Apa-apa pun yang berlaku kita perlu berbalik semula kepada Allah. Kita boleh solat istikarah. Kita juga boleh tanya pakar-pakar apa yang boleh kita buat.

Sebagai pakar kaunseling, Puan Normaliza menjelaskan jika ada isteri yang mahukan perceraian kerana itulah jalan terakhir, apa yang boleh dia lakukan adalah tanya seseorang isteri itu apa yang mereka hendak. Selepas itu isteri itu akan dibimbing untuk mendapatkan apa yang isteri itu kehendaki.

Tetapi dalam masa yang sama kita akan membantu isteri untuk tidak meninggalkan orang yang sakit ini sehingga dianiayai.

Published by
julie roshana Shafee