Mengetahui pasangan berlaku curang memang satu perkara yang menyakitkan hati. Hati mana yang tidak terluka dan rasa tertipu bila mengetahui kepercayaan dan kesetiaan yang diberikan dibalas dengan kecurangan. Amarah rasa meluap-luap dan geram hingga ada yang bertindak menyerang pasangan dan rasa hilang hormat padanya.
Namun begitu, usah bertindak seperti orang hilang pertimbangan. Kelak diri sendiri akan dipandang rendah. Sebaliknya, sebagai wanita matang dan bijak, ini yang perlu dilakukan saat mengetahui pasangan berlaku curang.
Kenyataan tetap kenyataan.Tetap perlu berhadapan dengan kecurangan yang dilakukan. Ketika mendapat tahu berita kecurangan pasangan, mungkin merasa begitu lemah sekali, sakit hati, terasa dikhianati, marah dan ingin membalas dendam. Ini adalah respon normal setelah mengetahui ketidakjujuran dilakukan pasangan. Sebab memang layak untuk rasa marah dan juga berasa sakit hati.
Apa yang paling utama, jangan terlalu ikutkan hati dan terus ingin meninggalkannya. Berfikirlah tentang baik dan buruk tindakan sebelum melakukannya. Sesungguhnya memang sukar tapi inilah realiti yang perlu diterima. Belajar untuk terima kenyataan walaupun pahit.
Kecurangan adalah petanda besar bahawa sesebuah perkahwinan itu bermasalah. Oleh itu adalah penting tidak menyalahkan diri sendiri dalam hal ini. Sudah tentu ia bukan berpunca daripada diri kita seorang. Bahkan jika pasangan berasa tidak gembira dengan perkahwinannya kecurangan bukanlah jalan keluar atau penyelesaiannya. Masih banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk memperbaiki rumah tangga dan bukannya dengan mencari pasangan lain.
Dalam hal ini rakan dan keluarga selalunya menjadi tempat mengadu nasib. Tapi sebelum berbuat demikian, hati-hati rakan yang diajak untuk berbicara tentang kecurangan pasangan. Kesilapan memilih rakan kadang kala memakan diri sendiri. Apatah lagi jika rakan itu jenis suka membawa mulut dan membesar-besarkan cerita yang ada.
Carilah sokongan daripada orang yang boleh percayai dan kenali luar dan dalam. Selain itu pastikan juga rakan yang dipilih adalah seseorang yang dapat memberi sokongan dan pendengar yang baik. Bukannya memperdebatkan kembali apa yang dikatakan. Selain itu, boleh juga dapatkan nasihat dan pandangan daripada orang-orang yang berpengalaman seperti ibu bapa, kaunselor atau pakar dalam masalah rumah tangga.
Kecurangan pasangan sememangnya sesuatu yang cukup menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati yang marah dan sakit anda tentu mahu memutuskan saja hubungan. Biar hidup sendiri dari terus memakan hati. Tapi ingat jangan membuat keputusan mengikut emosi marah. Berikan masa untuk perasaan kembali tenteram.
Selepas itu fikirkanlah pilihan yang ada. Mahu cuba kembali, bermadu ataupun berpisah? Namun begitu, perpisahan seharusnya menjadi perkara terakhir dalam fikiran terutama sekali jika telah dikurniakan anak-anak.
Perkahwinan adalah suatu ikatan yang mulia. Berusahalah untuk terus menggapai erat ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pada Ilahi bukan pada manusia semata-mata. Perbanyakan mendekatkan diri pada tuhan, sentiasa berfikiran positif dan berusaha memaafkan pasangan dengan ikhlas. Meskipun rasa sukar, anggaplah kecurangan pasangan itu sebagai salah satu ujian dan gerhana di dalam perkahwinan. Walaupun pada suatu ketika keadaannya gelap dan sukar, namun sinar bahagian pasti akan menerangi kembali.
Menurut laporan Lembaga Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (LPPKN) sejak Januari hingga Julai 2016 mendapati bahawa sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam telah direkodkan dalam masa tujuh bulan.
Kajian yang cukup membimbangkan ini, mendapati kebanyakan penceraian berlaku kalangan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang dari lima tahun. Sikap curang, tidak bertanggungjawab dan tiada persefahaman antara satu sama lain merupakan punca utama penceraian dalam tempoh ini.