Melihat pasangan ini sudah tentu terdetik di hati kita, bagaimanalah sang isteri menjalani kehidupannya bersama seorang lelaki yang hanya memiliki ketinggian 100 sentimeter.
Dari mata kasar, mungkin perbezaan ini terlalu ketara. Namun siapa kita untuk bersangka buruk kerana mereka juga makhluk Allah yang miliki naluri untuk merasa bahagia dan kasih sayang.
Kemesraan yang terpancar di wajah mereka dan kehadiran permata hati, Anas Wafiy, 10 bulan, melengkapkan keluarga kecil ini. Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun, yang berasal dari Sungai Udang, Melaka ini dilahirkan tidak normal seperti orang lain.
Perkara ini membuatkan Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun jadi rendah diri dan pemalu. Seringkali timbul rasa kurang yakin untuk berhadapan dengan orang luar. Tetapi persepsi itu mula berubah apabila melihat ibu ayahnya yang redha dengan ujian ini. Mereka juga tidak pernah jemu memberi dorongan kepada Sukur untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.
Jelas Wan Nurul Syazwani atau mesra dengan panggilan Wani, dirinya mula mengenali suaminya, Sukur, sejak di zaman universiti lagi. Ketika itu Wan Nurul Syazwani menuntut di Univeristi Putra Malaysia (UPM) manakala Sukur pula menuntut di UKM. Kala itu kenal atas dasar kawan dan hanya bertukar nombor telefon.
Sebenarnya ketika itu Wani bukanlah seorang yang gemar berkawan. Dirinya selesa menyendiri. Tetapi apabila melihat keyakinan dan keberanian Sukur, dia mula mengagumi Sukur dalam diam.
Keperibadian Sukur sangat berbeza. Sukur tidak bertindak seperti rakan senasib yang lain. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja yang dia mahukan tanpa batasan, malahan dia juga bijak membawa diri.
Kagum Dengan Sikap Sukur
Sikap berdikari itu membuatkan Wani mula selesa dan seronok untuk berkawan dengan Sukur. Pada mulanya memang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadikan Sukur sebagai teman hidup.
“Kami berkawan dalam tempoh yang agak lama, dari zaman belajar hinggalah Sukur mula menjalankan perniagaan. Wani memang melihat jatuh, bangun dan kegagalan Sukur dalam bidang perniagaan sejak awal lagi.
“Perniagaan dan perkhidmatan pemasangan karpet ini merupakan perniagaan ke-empat yang dicuba Sukur setelah tiga pernigaannya sebelum itu gagal. Ketika dia ingin memulakan perniagaan ini, dia mengajak Wani untuk menjadi rakan kongsinya.
“Saya memang serahkan segalanya pada Allah dan saya sama sekali tidak sangka bahawa Sukur adalah jodoh saya. Saya hanya mengikut aturan Allah dengan melalui perjalanan hidup yang telah ditentukan-Nya. Oleh sebab itu ketika Sukur mengajak saya menjadi rakan kongsinya, saya terima tawaran tersebut.
“Kami mulakan bisnes bersama-sama termasuklah mendaftar perniagaan, walaupun ketika itu, saya masih berkerja. Maklumlah modal Sukur telah habis untuk perniagaan sebelum ini, jadi sayalah menjadi penyumbang modal kerana masih memiliki pekerjaan tetap.
“Walaupun pelbagai ujian yang kami lalui pada peringkat awal perniagaan, tetapi Sukur tetap sabar. Kerajinan dan usaha Sukur tanpa jemu buatkan saya terfikir dialah orangnya iaitu lelaki yang mampu menjadi kawan dan suami yang baik.
“Pernah suatu hari dia keluar bekerja jam 9 pagi dan hanya pulang pada jam 5 pagi. Kemudian keluar semula pada 9 pagi hari berikutnya, dia macam tak kenal erti penat.Kadang-kadang saya rasakan Sukur boleh dapat lebih apa yang dia ada hari ini kerana usahanya itu,” kata Wani satu-persatu.
Lama-kelamaan apabila perniagaan mereka berdua stabil, Sukur meminta Wani untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuh masa kepada perniagaan. Peluang ini memang telah lama Wani nantikan, jadi dia bersetuju.
Jodoh Bersama
Setelah berkerja bersama tanpa disangka timbul beberapa isu kerana apabila ke mana-mana, mereka perlu berdua. Apabila menghantar Sukur, dia yang perlu masuk rumah terlebih membantu Sukur membuka suis lampu dan sebagainya kerana ketika itu mereka tidak mempunyai staf.
Begitu juga apabila Sukur telah mulai dapat jemputan sebagai penceramah, menjadi masalah buat mereka apabila ke luar daerah perlu menempah dua bilik. Perkara-perkara ini membuatkan hati Wani terdetik bahawa telah tiba masanya untuk mereka berkahwin. Perkahwinan mereka akan menyelesaikan banyak masalah.
Jelas Wani, tanpa sedar selama ini dia tidak pernah membuka pintu hatinya kepada lelaki lain. Saat itu, Wani rasakan sikap Sukur membuatkan dia sangat yakin Sukur adalah orangnya. Ketika itu juga Wani hanya terfikir, dirinya ingin menjaga Sukur dan Sukur menjaganya. Jadi masing-masing meluahkan rasa untuk bernikah sahaja.
Pada mulanya, Wani memberanikan diri meluahkan hasratnya pada ibu. Alhamdulillah ibunya bersetuju namun berbeza pula dengan ayahnya. Selama ini memang kedua ibu bapanya tahu bahawa Sukur adalah kawan kepada anak mereka. Sudah tentu ayahnya tidak menjangka hubungan itu lebih dari sekadar kawan.
Empat Tahun Memujuk
“Bukan sehari dua kami memujuk ayah saya untuk benarkan kami berkahwin tetapi hampir empat tahun. Dalam tempoh itu juga pelbagai usaha saya dan Sukur lakukan untuk tambat hati ayah. Ada juga rasa putus asa, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Sebenarnya bisnes yang menyatukan kami, bergaduh macam mana pun bisnes karpet ini akan temukan dan buatkan kami berbaik semula apabila ada klien yang ingin dapatkan perkhidmatan kami. Bisnes ini juga merupakan lambang kebangkitan Sukur.
“Kami memang tak mampu nak berpisah kerana sekiranya berpisah bagaimana perniagaan yang telah kami bina sama-sama ini. Jadi kami rasa perlu juga berusaha memujuk ayah saya. Walaupun banyak kali Sukur kecewa dengan sikap ayah saya, tetapi dia tetap juga ambil hati. Pernah Sukur datang, ayah saya tak balik-balik. Akhirnya Sukur balik begitu sahaja,” ceritanya satu-persatu.
Tambah Wani, hatinya cukup tersentuh apabila Sukur meluahkan rasa terharu apabila Wani mahu menerimanya sebagai suami. Sejujurnya Sukur tidak pernah memasang impian dan menyangka ada insan yang sudi berkahwin dengan keadaannya yang serba kekurangan. Oleh sebab itu dia tidak pernah putus asa untuk berusaha mendapatkan Wani dengan apa cara sekali pun.
“Sebenarnya apa yang Wani rasakan, ketika itu ayahnya bukanlah membenci Sukur cuba dia bimbang Sukur tidak mampu untuk menjaganya seterusnya menjaga keluarga yang bakal dibina kelak. Malahan ayahnya juga risau tentang persepsi orang sekeliling terhadap Sukur. Sudah pasti dia mahukan calon menantu terbaik untuk anak perempuannya.
“Allah Maha Besar, ketika Sukur menunaikan umrah dan meminta pendapat ustaz di sana yakni tentang cara terbaik untuk menambat hati bakal mentuanya, Allah mula membuka jalan-Nya. Malahan ketika itu Sukur juga meminta semua jemaah mendoakan dirinya agar jalannya untuk mendapatkan Wani menjadi lebih mudah,” kata Wani tentang pembuka jalan untuk mereka bersatu.
Ternyata hati ini milik Allah, ketika sambutan kelahiran Wani yang ke-28, ayahnya bersetuju dengan permintaannya. Setelah dia meluahkan rasa kecewa kerana tidak mampu bersatu dengan Sukur kerana ayahnya menghalang walaupun pelbagai cara telah dilakukan.
Sebulan selepas itu, setelah melalui empat hari orientasi, Sukur berjaya melayakkan dirinya untuk menjadi suami kepada Wani setelah dinilai. Melihat skill survive Sukur untuk uruskan hidup sendiri membuatkan keluarga Wani menerimanya. Kini pasangan ini bahagia hidup bersama.