
Bila dah jadi mak mentua, tolonglah jangan bandingkan cara kita dengan menantu. Sudah menjadi lumrah, sebelum seseorang wanita bergelar mentua, dia sukar memahami kenapa sering wujud jurang antara mentua dan menantu.
Bila Dah Jadi Mak Mentua, Tolonglah Jangan Bandingkan Cara Kita Dengan Menantu
Adakah puncanya daripada mentua? Atau kesalahan menantu? Atau sebenarnya, si suami yang gagal memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara dua insan penting dalam hidupnya?
Inilah yang cuba ditekankan oleh saudara Firdaus Shakirin bahawa apabila seseorang wanita menjadi mentua, dia perlu bijak menyelami kehidupan dan dunia menantunya.
Apabila Bergelar Mentua…
Sampai masa, anak kita akan mendirikan rumah tangga dan kita bakal menerima orang baru dalam keluarga iaitu menantu. Suka atau tidak, kita perlu menerima kenyataan bahawa anak akan melalui fasa hidup yang berbeza.
Fasa yang melibatkan pasangan hidupnya dan juga zuriat-zuriat mereka.
Sebagai mentua, apa peranan kita? Elakkan daripada terlalu mencampuri urusan rumah tangga mereka selagi tidak timbul sebarang masalah besar. Beri ruang untuk mereka merasai sendiri pahit manis kehidupan berumahtangga.
Biar mereka belajar sendiri kesan daripada setiap keputusan yang diambil. Serahkan kepada mereka untuk menentukan arah tuju rumah tangga mereka.
Jangan jadikan pengalaman kita sebagai kayu ukur untuk menilai menantu. Tak perlu ungkit atau bandingkan dari segi mengandung, berpantang atau cara mendidik anak.
Contohnya, elakkan berkata:
“Dulu masa mak mengandung, mak tak manja pun. Hari ketiga berpantang dah boleh buat kerja rumah. Anak-anak mak makan macam-macam, tak sakit pun.”
Zaman Dah Berubah
Kita kena sedar, masa berubah. Dulu dan sekarang tak sama.
Gaya hidup, kekuatan fizikal, mental, rutin harian, semuanya berbeza. Apa yang kita mampu harungi dulu, mungkin tidak mampu dihadapi oleh menantu hari ini.
Menantu kita bukanlah lemah, tetapi mungkin cara dan ketahanannya tidak sama dengan kita. Maka tidak wajar untuk kita mempersoalkan atau memperlekeh caranya.
Jangan pula terasa hati atau cemburu bila anak lebih meluangkan masa dengan keluarganya. Jangan sekali-kali meletakkan dia dalam keadaan terpaksa memilih antara kita dan isterinya. Hakikatnya, dia kini punya tanggungjawab lain sebagai suami dan ayah.
Selagi tiada keperluan, biarlah dia menguruskan keluarganya sendiri. Tak perlu berkias, menyindir atau mengungkit bahawa dia kononnya sudah lupa ibu bapa.

Anak Kita Juga Akan Mempunyai Dunianya
Jangan membuatkan dia berada dalam dilema…
Lapangkan hati untuk menerima bahawa suatu hari nanti, anak kita akan melalui kehidupannya sendiri. Masa dan tenaganya perlu dibahagi antara keluarga yang dibina dan ibu bapanya. Ini adalah kitaran kehidupan yang kita sendiri pernah tempuhi dahulu.
Nak bina hubungan mentua dan menantu yang harmoni perlukan kefahaman, empati, dan keikhlasan daripada kedua-dua pihak. Tapi peranan mentua dalam mencorakkan suasana itu sangat besar jika kita betul-betul mahu jadi sebahagian daripada kehidupan anak dan menantu.
Sumber: Firdaus Shakirin
Baca artikel lain juga: Mengapa Mak Mentua Dan Menantu Perempuan Susah Nak Ngam
Suami Tak Boleh Paksa Isteri Rapat Dengan Mak Mentua, Ipar Dan Biras
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI