Ya Allah, sebaknya hati seorang ibu bila mengetahui anak gagal peperiksaan walau tahu anak dah cukup usaha sehabis mampu. Sedih dan kecewa bercampur-baur. Saya amat pasti inilah perasaan ibu dan ayah yang berdepan dengan situasi tersebut.
Tapi soalan saya, sampai bila nak bersedih? Kebanyakan ibu bapa bila anak gagal dalam peperiksaan, mereka larut dalam perasaan kecewa. Ada yang menghukum anak kerana kegagalan ini. Jadi tidak hairanlah anak-anak ada yang dirotan tak kurang juga didenda. Walaupun sudah dihukum, anak-anak ini tidak juga menunjukkan peningkatan dalam pelajaran.
Daripada terus menyalahkan anak, apa kata sebagai ibu dan ayah kita siasat kelemahan diri. Mungkin kegagalan anak sebenarnya berpunca daripada sikap kita sendiri.
1. Sediakan keperluan belajar anak secukupnya. Ramai ibu bapa yang tidak memeriksa keperluan belajar anak dari semasa ke semasa. Pastikan alat tulis anak lengkap, buku tambahan, baju sekolah dan beg sekolah. Paling penting, pastikan semuanya berada dalam keadaan baik. Kadang ibu bapa tak perasan baju sekolah anak sudah terkoyak, ia menyebabkan anak diejek rakan dan mereka menjadi malu serta tidak berkeyakinan.
2. Pantau kerja sekolah anak dan semak surat daripada pihak sekolah. Kita juga kena spotcheck beg anak supaya tiada barangan yang bukan-bukan. Dengan cara kita dapat pantau kerja sekolah anak dan pastikan anak berada di landasan yang betul.
3. Jangan pandang rendah pada anak, letakkan harapan yang tinggi dan sentiasa beri motivasi kepada anak untuk berjaya.
4. Jika anak gagal, jangan menyindir atau memperlekehkan anak. Beri dia semangat untuk berjaya.
5. Jangan dedahkan kekurangan anak di depan kawan-kawannya. Pendek kata, jangan malukan anak. Mereka juga ada perasaan jadi jaga maruah anak!
6. Buat jadual belajar. Ramai ibu bapa yang mengharapkan anak membahagi masa antara pelajaran dan aktiviti mereka seperti bermain. Dalam usia ini, anak belum mampu untuk melakukan semua itu sendiri. Bantu mereka mengatur masa.
7. Puji anak jika dia berjaya atau melakukan perkara yang baik. Perbuatan ini membakar semangat anak untuk lebih berjaya.
8. Beri ganjaran bila anak dapat keputusan yang bagus.
9. Lupakan junk food atau makanan segera. Makanan ini bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan malah membuatkan anak pelupa. Beri makanan sunah seperti kismis dan makanan berkhasiat agar membantu anak cergas.
10. DOA, DOA dan DOA! Selepas berusaha doalah kepada Allah agar anak kita berjaya di dunia dan akhirat. Doa ibu yang paling afdal, sebutkan nama penuh anak dan bermohon dengan sepenuh hati kepada Allah agar anak yang kita kandung menjadi anak yang hebat.