Bila Anak Buat Perangai Pelik Pelik, Mungkin Dia Alami Gangguan Sensorik, Mak Ayah Ketahui 7 Ciri-cirinya

Share

Kanak-kanak lahir dengan deria perasa pada badan, namun ada kalanya fungsi deria tersebut mengalami gangguan. Ketahui lebih lanjut tentang ciri-ciri deria yang terganggu dalam perkembangan kanak-kanak.

Gangguan deria atau sensorik kanak-kanak sebenarnya boleh dikenal pasti seawal mungkin kerana kebanyakan kanak-kanak akan mengalami gangguan kecil pada masalah sensorik mereka ketika mereka membesar.

Gangguan ini juga sering berlaku kepada kanak-kanak autisme dan yang mengalami hipersensitif pada sistem penghadaman.

Ia turut berkait rapat dengan gangguan perilaku lain seperti anak menjadi kurang tumpuan, emosional dan ada beberapa keadaan menyebabkan gangguan pada proses mengunyah dan juga percakapan kanak-kanak.

Terdapat tujuh deria asas pada badan kanak-kanak, jika fungsi derianya mengalami gangguan, masing-masing akan menunjukkan gejala yang berbeza:

1. Deria sentuh

Deria sentuh mendapat rangsangan daripada sentuhan, suhu, rasa sakit atau geli. Gangguan pada deria ini boleh dikesan dengan:

√   Tidak suka disentuh

√    Tidak suka label pada baju

√    Geli dengan permainan yang berbulu

√    Tidak suka rambut disikat

√    Berjalan jinjit

2. Deria dengar

Deria pendengaran menangkap suara-suara dari luar. Gangguan pada sensorik ini boleh dikenal pasti dengan gejala:

√    Takut pada suara tertentu seperti pengering rambut, penyedut hampagas atau bunyi daripada mesin pengering tangan.

√    Menangis berlebihan jika mendengar suara yang tiba-tiba kuat.

√    Perhatian anak mudah beralih kepada suara yang disukainya.

3. Deria bau

√    Sukar untuk membezakan bau. Tidak sukakan makanan dengan bau yang tertentu.

4. Deria penglihatan

Deria penglihatan dapat menangkap cahaya, warna dan gerakan. Jika deria penglihatan si kecil anda terganggu, ia boleh dilihat dengan:

√    Mudah silau

√    Suka bermain dalam suasana gelap dan redup

√    Tidak boleh menulis dalam satu garisan yang lurus pada kertas kosong

√    Sukar membezakan warna, bentuk dan ukuran.

5. Deria rasa

√    Suka memilih makanan

√    Sering memasukkan barang ke dalam mulut

√    Mengalami kesukaran dalam mengunyah, menelan dan menghisap

6. Deria Propioseptif

√    Suka merempuh diri ke badan orang lain

√    Suka gemeretuk gigi

√    Tidak dapat mengawal kekuatan ketika melakukan sesuatu (selalunya melakukan dengan kekuatan penuh)

7. Deria vestibular (keseimbangan)

√    Takut dengan ketinggian

√    Tidak suka naik buaian atau gelongsor

√    Takut naik tangga eskalator

 

Pada Sesetengah Keadaan, Gangguan Deria Ini Akan Hilang

Pada beberapa keadaan, gangguan pada deria kanak-kanak biasanya akan hilang secara semula jadi dengan bertambahnya usia mereka. Namun ada beberapa terapi yang boleh dilakukan untuk mengatasi gangguan ini.

Mengusap pada bahagian kepala, bahu, tangan, pinggang, paha, kaki, telapak kaki yang bertujuan untuk menenangkan otot-otot anak yang tegang.

Mengusap di bahagian kaki khususnya untuk anak yang suka berjalan jinjit. Tidur mengiring dan mengusap perut anak. Ini bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan kanan dan kiri.

Walaupun begitu, selain terapi di rumah, jika permasalahan ini anda kesan pada peringkat awal dan berlanjutan sebaiknya anda mendapatkan nasihat daripada pakar kanak-kanak dan dapatkan rawatan yang sewajarnya buat si kecil anda.

Published by
Shahrina Azlin