Masa anak kecil dah tentulah dia akan tidur dengan kita. Apatah lagi anak yang menyusu badan. Kadang-kadang sampai lupa anak semakin membesar dan lupa untuk asingkan tempat tidur. Hinggakan anak sudah jadi terbiasa tidur dalam bilik mak ayah.
Sebenarnya, bila anak membesar, memang wajib untuk pisahkan bilik tidur. Takkan sampai besar masih tidur dengan mak ayah. Jangan begitu.
Memanglah pada awal maka ayah ajar anak tidur di bilik masing-masing akan timbul rasa risau, hinggakan waktu tengah malam pun mak akan tersedar dan meninjau anak mampu tidur lena atau tidak. Namun, bila dah biasa mak ayah tak perlu risau. Mereka pun seronok bila mempunyai bilik sendiri.
Kalau mak ayah rasa risau untuk asingkan tempat tidur anak-anak, bolehlah cuba praktikkan apa yang disarankan oleh Wan Nur Syakira ini. Memang betul, ada munasabah kita sebagai mak ayah kena buat begini.
Tip Mudah Dan Praktikal Asingkan Tempat Tidur Anak
Mengasingkan tempat tidur ibu bapa dan anak sangat penting. Kenapa perlu asingkan tempat tidur anak dan ibu ayah?
1. Terlalu banyak kes pornografi, ketagihan seks, sumbang mahram, rogol berlaku disebabkan tempat tidur ibu ayah dan anak-anak tidak diasingkan.
2. Menjaga pandangan anak dan menjaga aurat ibu bapa dan anak.
Ads
3. Besar kemungkinan anak melihat apa yang berlaku antara kedua ibu bapa mereka. Ibu bapa sangka mereka tidur. Lalu anak ada rasa ingin tahu dan mencuba lalu akhirnya terjebak. Memang ada kes begini! Bahkan memberi kesan buruk pada emosi anak tersebut.
4. Mengajar anak tentang konsep privasi, rasa malu dan had antara ibu bapa dan anak-anak.
5. Menjaga keharmonian dan maruah setiap ahli keluarga. Islam sendiri memberi panduan tentang pengasingan bilik tidur ibu bapa dan anak.
“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur 7 tahun, jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, juga pisahkan di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Daud).
Begitu juga perintah menjaga dan menundukkan pandangan. “Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang boleh dilihat….”(Surah An-nur, ayat 30-31)
Ads
Tak Boleh Biasakan
Pandangan anak perlu dijaga dan dielak daripada terlihat aurat dan hubungan kelamin ibu bapa. Kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas tidak boleh dibiasakan selesa tidur dengan ibu bapa.
Ramai ibu bapa rasa tidak sampai hati dan kasihan serta merasakan waktu tidur adalah waktu yang mampu merapatkan hubungan anak dan ibu bapa.
Menurut pakar psikologi, hubungan antara ibu ayah dan anak-anak akan lebih terjalin erat dan rapat ketika waktu jaga, iaitu waktu bermain dan meluangkan masa bersama serta berkomunikasi dua hala.
Jadi, tidak ada isu hubungan jadi renggang apabila berpisah tempat tidur. Setelah kanak-kanak bercerai susu, kanak-kanak ini sudah boleh disediakan dan dilatih untuk tidur di bilik sendiri secara berperingkat. Bermula berpisah tilam meskipun di bilik yang sama sehinggalah berpisah bilik tidur dengan ibu bapa.
Memisahkan tempat tidur adalah proses yang agak memenatkan dan meletihkan kerana ianya proses, bukan buat sekali, terus jadi.
Proses yang mengambil masa dan komitmen ibu bapa serta anak itu sendiri. Tidak mengapa, bersusah dahulu, bersenang kemudian. Emosi dan fizikal anak perlu disediakan dengan baik agar proses ini menjadi lancar tidak menimbulkan gangguan emosi dan trauma kepada anak.
Ads
Ia sangat berkait dengan persediaan emosi (boleh berdikari), kognitif (boleh memahami konsep perasaan malu dan ruang privasi) dan fizikal anak ( sudah lulus toilet training). Banyak manfaatnya jika anak diasingkan tempat tidur dari ibu ayah dari usia awal, antaranya anak menjadi lebih berdikari, bergantung pada diri sendiri dan berani.
Anak juga akan mempunyai rasa tanggungjawab apabila mempunyai ruang peribadi dari segi kebersihan, penjagaan dan disiplin.
Jika ibu bapa tidak mampu menyediakan rumah yang mempunyai 3 bilik tidur , sekurang-kurangnya kita mengehadkan ruang ibu bapa kepada anak-anak dalam 3 masa berikut; iaitu sebelum Subuh, tengahari, dan selepas Isya seperti saranan dalam firman Allah SWT dalam Surah an-Nur: 58 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta izin (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya…”)
Ajar Adab Minta Izin Masuk Bilik Mak Ayah
Setelah anak-anak sudah diasingkan tempat tidur, mereka perlu diajar tentang adab minta izin masuk bilik ibu bapa.
Mak ayah harus tunjukkan satu persatu apa perlu dibuat dan beritahu anak caranya.
a) Ketuk pintu bilik ahli keluarga dengan ketukan sederhana. Mak ayah tunjukkan macam mana cara ketuk. Jangan diketuk terlalu kuat, mak ayah berikan bantuan fizikal ketika mengajar. Pegang tangan anak-anak, kepalkan dan ketuk. Pesan kepada anak-anak, jangan pukul pintu ini, nanti terkejut orang dalam bilik.
b) Berikan salam meskipun nak masuk bilik sahaja. Tanya ‘boleh saya nak masuk’. Bila ahli keluarga memberi keizinan, barulah anak-anak boleh masuk ke dalam bilik tersebut. Jaga dan didik anak-anak kita dari sekarang.
Jom sama-sama cakna mak ayah!
MW: Memang awla-awla mak ayah rasa risau, tapi lama-kelamaan ia menjadi biasa dan anak pun seronok bila dah ada bilik sendiri.
Sumber: Wan Nur Syakira
#pendidikanseksualitibermuladarirumah
Bila anak sudah berkahwin, mak-mak kena belajar lepaskan anak hidup berdikari untuk uruskan rumah tangga ikut cara sendiri.
Jangan sesekali campur tangan dan bandingkan cara anak uruskan rumah tangga dengan cara mak-mak. Sudah tentu acuannya berbeza biarpun anak-beranak.
Lepaskan mereka ikut cara mereka sendiri, paling penting anak-menantu bahagia dengan cara mereka. Kadang-kadang campur tangan keluarga dalam rumah tangga tidak kiralah daripada mak sendiri atau menantu mampu meretakkan hubungan rumah tangga dalam diam.
Bila Anak Kahwin Biar Berdikari
Ikuti perkongsian Puan Kamalia Kamal ini dan hadam sebaiknya:
Kak Kay rasa sudah sampai masa emak-emak harus jadi emak dan membenarkan anak gadis mereka menjadi isteri kepada suami mereka sendiri.
Maaf ya Kak Kay terpaksa tulis di sini.
Dari 300 kes yang datang pada Kak Kay sejak awal tahun 2020 hingga kini, 10 peratus konflik yang berlaku melibatkan campur tangan emak.
Mak-mak Kena Belajar Lepaskan Anak
Dari 300, 30 bercerai atas isu mak.
1. Menantu masak nasi goreng untuk dinner, mak cakap
“Kesian anak lelaki aku makan nasi goreng je malam-malam”.
2. Suami dekat rumah tolong sidai baju , mak datang “Kau ini dari anak dara pemalas. Dah kahwin pun menyusahkan lelaki kau. Mak dulu tak pernah tau suruh laki sidai baju, buat malu je! Kalau keluarga dia nampak nanti macam mana”.
3. Waktu malam mak tetiba ketuk pintu cakap.
“Mak masak lauk sedap ini, kesian korang tiap malam makan nasi lauk sayur ikan goreng saja. Kurus cucu mak cenggini”.
4. Si anak lelaki naik pangkat, mak cakap.
“Nasiblah abang dapat bini selekeh macam ini, kalau kahwin dengan Suria dulu mesti sepadan bini pandai melawa”.
5. Isteri belikan hadiah baju untuk suami, mak cakap…
“Manjakanlah laki kau itu, esok dia skandal dengan perempuan lain baru padan muka kau!”
6. Tangan anak kosong saja lepas kahwin, mak cakap…
“Laki kau ini tak mampu ke beli gelang nipis pun untuk kau? Apalah pemalas sungguh laki kau ni”.
7. Isteri balik kerja order food panda…
“Nasiblah abang dapat bini pemalas, hari-hari order je lah jawabnya”
8. Suami memasak di dapur, mak cakap
“Bini sudahlah pemalas, suami jadi kuli. Esok laki kau cari lain baru padan muka kau, sudahlah rupa kau lepas bersalin ini makin hitam aku tengok”. Allahu.
Mungkin sudah sampai masa mak harus terima yang mereka juga sudah jadi mak.
Kata-kata mak begini boleh buatkan
Pasangan tak bergaduh jadi gaduh
Isteri mula bersangka-sangka
Suami mula kecil hati
Isteri takut nak balik rumah
Suami malas nak keluar bilik
Waktu makan bersama jadi hambar
Suasana rumah jadi tegang…
Dan yang paling sedih ialah bila hilangnya mawaddah dan rahmat dalam keluarga. Nikmat kebahagiaan, ketenangan, keindahan berkasih sayang bagai di tarik hingga tiada ertinya kehidupan berkeluarga begini.
Jemput share moga manfaat.
Kak
Kamalia Kamal
menulis kisah relationship dan kehidupan setiap hari.
MW: Biar pun sejak kecil mak-mak membesarkan anak dengan cara yang tersendiri, jangan dibebankan anak untuk mengikut cara yang menjadi ikutan anda selama ini. Biarlah anak berdikari dan membina hidup berkeluarga dengan cara mereka. Mak, ayah sebaiknya berdoa yang baik-baik untuk anak dan menantu.
Bila bersembang dengan mak ayah lain, jangan bandingkan bab anak orang lambat membaca dengan anak kita. Nanti ada yang teguris dalam, kita bukan tahu.
Lagi pun, setiap anak ada kelebihannya sendiri. Kadang bukan tak pandai cuma lambat sikit.
Tapi kalau nak bagi orang yang suka ”cakap-cakap” pasal anak lambat membaca ni, bagi dia baca perkongsian saudara Firdaus Shakirinni. In shaa Allah, orang tu akan sedar sendiri.
Bila Anak Orang Lambat Membaca
“Anak Su dah boleh membaca ke belum?”
Belum lagi… baru sikit-sikit, baru kenal-kenal huruf.
“Ye ker? Puteri dah pandai membaca dah, cakap dalam English pun dah boleh.”
Aaaa… baguslah.
“Anak Su sama umur dengan Puteri kan, kenapa anak Su lambat bleh membaca?”
Hallluuuuu puuuuliiiss….!!!
Anak orang lambat membaca, anak orang lambat mengira, anak orang lambat bercakap, anak orang lambat berjalan, anak orang lambat merangkak, semua nak compared dengan anak sendiri eh?
Anak kita advance dari anak orang, one step ahead of anak orang lain, terus diagung-agungkan. Terus dijadikan satu penanda aras yang setiap anak itu kena capai macam mana yang anak kita capai.
Perkembangan, tahap kebolehan dan kemampuan berfikir setiap anak itu berlainan, kita sesama adik beradik kita pun lain-lain kebolehan dan kemampuannya, apatah lagi anak kita dengan anak orang lain.
Jaga Hati Orang, Jangan Sampai Tersasul
Bukan tak boleh buat perbandingan, cumanya kata-kata kita tu boleh menyebabkan ibu bapanya terasa, kata-kata kita tu menyakitkan hati ibubapa nya. Ibubapa mana nak anak dia lambat membaca, mengira dan sebagainya? Semua ibubapa nak anak dia sama macam anak orang lain.
Kita rasa macam tak ada apa-apa, biasa ja percakapan kita, walhal ‘makan dalam’ bagi ibubapa yang mendengar especially si ibunya… 9 bulan 10 ari dia mengandung, then bila dah lahir, anaknya pulak dibanding-bandingkan.
Ubah cara kita bertanya tu… bagi harapan, dan doakan anak tu. “Lama-lama nanti boleh la tu, lama-lama nanti, dia pandai la tu, InsyaAllah” and stop judge anak orang lain dengan pencapaian anak sendiri.
Anak awak, anak awak… anak dia, anak dia.
Perangai-perangai kuno yang tak bertamadun tu, tinggal-tinggalkan la. Mungkin hari ini dia lambat membaca, lambat mengira, tapi once dia dah boleh, dia yang selalu score dalam exam, dia yang selalu dapat no 1. Anak kita yang cepat membaca tu pulak, dapat biasa-biasa ja.
Masa tu, kita pulak yang nak meroyan, kita pulak yang nak meletakkan tekanan kepada anak kita.
“Puteri, ko tengok anak makcik Su ko tu, si Aleesya… dulu dia lambat membaca dari ko, tapi kenapa sekarang dia yang selalu dapat no 1 dalam kelas?”
Berlapang dada lah dengan setiap perkembangan anak-anak yang ada disekeliling kita tak kisah lah anak ipar ke, anak kawan-kawan ke, anak rakan sepejabat ke atau anak sapa-sapa pun dan tak payah rasa nak membanggakan sesuatu yang belum pasti lagi apa hasilnya kelak bila dia besar nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
PESAN 1: Ikat Hati Pada Allah SWT
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
PESAN 2 : Jangan Sekadar Berpelajaran Tapi Tak Berilmu
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
PESAN 3: Bersandar Pada Kebolehan Diri Bukan orang Lain
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
PESAN 4: Taat Pada Pasangan
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
PESAN 6: Belajar Memberi Dan Menerima
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
PESAN 7: Jangan Takut Buat Silap
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...