“Bila Ada Rezeki & Ruang Masanya, Sebagai Suami Hargai Saja Isteri Sekadar Apa Yang Semampu Kita”

Share

Bagi seorang isteri, penghargaan daripada seorang suami amatlah bermakna pada dirinya. Tidak semestinya dengan limpahan kemewahan harta benda. Ia bergantung pada kemampuan dan rezeki suami juga. Apa yang penting adalah kesetiaan dalam melalui susah senang kehidupan bersama.Namun jika diberikan rezeki yang lebih, tidak salah juga para suami membahagiakan isteri dengan membelikan barangan yang disukai isteri.

Seronok membaca perkongsian nukilan Ikram Al-Banjari, bagaimana cara dia menghargai dan membahagiakan isterinya, sedikit pun ‘tidak berkira’ dengan rezeki yang diperolehi. Semoga ramai para suami yang dapat mencontohi seperti yang dilakukan oleh lelaki ini.

Berikut antara perkongsian tersebut;

Semalam aku bawa isteri masuk ke satu kedai kosmetik di Seoul. Aku cakap pada dia begini,

“ Ambillah apa yang awak mahu “

Dia senyum dan terus ambil beberapa keping facemask. Iya, aku tahu di Korea ini memang cukup terkenal dengan barang kosmetik dan wanita mana yang tak suka barang-barang kecantikan begini kan ?

“ Cukup ka ? Facemask saja ? Foundation, Lotion apa semua takmau ? “, soal aku bersungguh-sungguh.

Dia pun tersipu-sipu dan terus mencuba pelbagai lagi jenis barangan kosmetik di situ. Akhirnya ada juga benda lain yang dibelinya. Aku lega sangat.

“ Terima kasih oppa “, itu saja ucapnya sambil matanya berkelip-kelip yang hadir bersama senyuman manis. Aku sudah berasa amat bahagia.

Sengaja aku suruh dia pilih apa yang dia mahu. Aku tahu stok ‘mekap’ yang dia beli di Eropah dan Dubai haritu pun belum habis lagi. Bulan lepas aku belikan serum SKII di Jepun pun belum dia sentuh lagi. Aku tahu semua itu, tetapi aku juga tahu apa yang setiap wanita suka.

Hargai Isteri Ikut Kemampuan

Beginilah kawan, bila ada rezeki dan ruang masanya, kita sebagai suami hargai saja isteri sekadar apa yang semampu kita. Kalian tak usah melihat kebahagiaan kami sekarang. Tetapi kalian juga perlu tahu kesempitan kami sebelum ini.

Dulu, tak usah kata kosmetik Korea, nak pakai yang elok sikit yang dijual di Malaysia ini pun aku tak mampu belikan. Cukuplah isteri aku tampal-tampal bedak sejuk itu saja. Bersyukur saja dengan apa yang ada. Lawa juga aku tengok dia sampai sekarang. Nah puji selambak! ?

Dulu, tak usah kata nak bawa isteri travel ke seluruh dunia, aku nak bawa dia ke Langkawi pun belum cukup mampu. Cukuplah sekadar melancong ke pasar malam dan window shopping ke Giant, itupun sudah bahagia yakmat.

Aduh, malaslah aku nak cerita bab-bab sedih ni. Nanti jadi sinetron pula. Sempena tahun baru ini kita sembang hal sedap-sedap sajalah ya.

Cuma aku nak pesan kepada semua suami muda di luar sana, hargai orang rumah kita sebaiknya dalam setiap keadaan susah dan senang kita. Kerana dia tak pernah bosan mendoakan kita setiap masa.

Pesanan Buat Isteri

Dan kepada kaum isteri pula, kalian sokong sajalah usaha suami dalam susah dan senang. Tak usah kau membebel, merungut dan menjatuhkan semangatnya. Kerana Tuhan sudah berkata, “ Sesudah kesulitan pasti ada kemudahan “ ( Al Inshirah ).

Hidup kita ini tenang apabila kita tidak ikut-ikut orang dan memaksa diri. Buatlah sesuatu mengikut kemampuan kita sahaja. Berapa harga barang dan apa jenis barang itu cuma asbab untuk kita bahagia. Tuhan jualah yang memberi izin kepada kita semua.

Salam Hormat.
Selamat tahun baru 2018 woi!

Ikram Al-Banjari
Saudagar Jalanan Super
EST 1999

Sumber:Ikram Al-Banjari

Published by
Suhaidah Abd Wahab