Apa jadi bila kepercayaan dalam hubungan keluarga diserahkan kepada orang luar. Mungkinkah akan jadi eksploitasi ‘orang ketiga’ yang suka-suka ambil kesempatan dalam rumah anda?
Siapa ‘orang ketiga’ yang dimaksudkan ini? Jangan fikir macam-macam mak-mak, tak lain tentulah pembantu rumah atau orang gaji yang kita amanahkan untuk menjaga keluarga semasa ketiadaan kita.
Sebab itu jangan sembarang kongsikan rahsia keluarga dengan sesiapa pun. Baik pembantu itu rapat dengan kita. Sebab itu bila suami isteri yang menggunakan khidmat pembantu rumah, kenalah amalkan guideline ini.
Jadi tidak timbul masalah kehadiran ‘orang ketiga’ yang kita percaya selama ini membantu, rupa-rupanya terpesong lain niatnya. Prof Masya Dr Hj Mohd Nor Mamat berkongsi panduan menarik ini
Tidak dinafikan, ada sesetengah orang gaji mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak elok. Contohnya skandal dengan tuan rumah.
Kita sebagai tuan rumah, perlu ada batasan dan limit dalam hubungan orang gaji dengan keluarga kita. Jangan biarkan semua urusan dilakukan oleh orang gaji.
Waktu-waktu tertentu, disiplinkan agar kita sendiri melaksanakan tugas hakiki kita sebagai isteri ataupun ibu bapa. Contohnya:
• Bilik tidur mungkin tidak perlu diuruskan oleh orang gaji.
• Waktu makan umpamanya, hanya anda dengan keluarga sahaja.
• Sebaiknya anda menghidangkan untuk suami.
• Elakkan pakaian dalam diuruskan oleh orang gaji kerana mungkin boleh menimbulkan menimbulkan perasaan dan tindakan yang negatif.
Skandal tidak berlaku sekiranya tidak disuburkan keadaan yang mendorong kepadanya. Tentukan urusan-urusan umum sahaja dilakukan oleh orang gaji. Jangan sampai suami anda juga diuruskan oleh orang gaji!
Ada orang berseloroh, kalau nak ambil orang gaji biarlah yang kuat dan rajin tetapi hodoh dan tua. Kalau ini keadaannya, mungkin tidak banyak urusan dalam rumah yang mampu dilaksanakan. Bagi lelaki atau suami pula, mungkin bersetuju jika orang yang bekerja di rumah itu sedap mata memandang.
Sebaiknya, anda perlu mengutamakan pemilihan orang gaji yang baik-baik, menepati tuntutan
dan berpegang kuat kepada agama. Sedikit sebanyak, ia mengurangkan pengaruh negatif terhadap suami.
Pastikan suami isteri atau ibu bapa mempraktikkan amalan agama terutamanya solat bersama-sama, imarahkan rumah dengan bacaan Al-Quran setiap hari dan mengamalkan cara hidup dengan batasan hubungan yang dituntut oleh agama.
Ini amat mujarab untuk menjadi pelindung kepada kita daripada terjadi sesuatu yang tidak diinginkan, apatah lagi rahmat dan sakinah.
Elakkan wujud situasi-situasi yang mendorong perkara negatif seperti meninggalkan suami bersama orang gaji atau membiarkan orang gaji ke sana sini bersama suami dan sebagainya. Urusan yang berbentuk peribadi, isteri haruslah menguruskannya sendiri.
Optimumkan masa untuk lebih mesra dan memenuhi keperluan suami anda. Apabila sebahagian kerja rumah dilaksanakan oleh orang gaji, seharusnya anda lebih banyak masa untuk menjaga kecantikan, lebih seksi untuk suami anda, lebih banyak masa untuk bermanja dan lebih mudah mengikut kata suami.
Isteri perlulah lebih berterima kasih dengan penghormatan dan ketaatan kepada suami. Jika ini berlaku, suami akan lebih berasa bahagia dengan kewujudan isteri yang cantik, hormat, manja, seksi dan sebagainya menjadikannya tidak mudah terpengaruh dengan kewujudan orang gaji.
Begitu juga dengan anak-anak, hendaklah anda mengoptimumkan masa sebagai ibu bapa yang prihatin dan penyayang, sahabat mereka yang memahami, sebagai guru yang mendidik mereka malah sentiasa ada untuk mereka. Elakkan anak-anak lebih cenderung dan rapat dengan orang gaji, berbanding ibu bapa.
Pastikan tempat tinggal dan keluar masuk orang gaji dalam rumah terkawal tanpa pergaulan bebas seperti yang dilarang dalam agama.
Jangan Sekat Kemesraan Suami Isteri
Kehadiran orang gaji sudah tentu menjadi penghalang buat suami isteri dalam menunjukkan kasih sayang dan sikap romantik. Tidak mustahil, sedikit sebanyak, ia pasti mengganggu hubungan mesra suami isteri, jika orang gaji yang ada dalam rumah bukanlah saudara dekat ataupun mahram suami anda.
Walau bagaimanapun, anda hendaklah bijak mengoptimumkan penggunaan masa keluarga
sebaiknya. Contohnya, perlu ada masa-masa keluarga yang tidak disertai oleh orang gaji, walaupun bukanlah sehingga mengetepikan orang gaji seperti orang asing.
Layani orang gaji dengan mesra tetapi perlulah dibezakan waktu intim suami isteri, waktu kekeluargaan dengan anak-anak dengan waktu biasa di rumah dengan kehadiran orang gaji.
Terlalu mesra sehingga menganggap sebahagian daripada ahli keluarga sendiri menyebabkan mudah tersilap faham dan tersilap jalin hubungan yang kemudiannya lebih sukar untuk menghilangkannya. Berwaspada itu lebih baik, namun janganlah sampai berprasangka kepada suami ataupun orang gaji.. orang ketiga yang menguruskan rumah anda.
Temuramah Bersama : Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM).