Siapa yang ada anak-anak lelaki, dia punya kekalutan itu cuma mak-mak saja yang faham. Bila datang angin ribut, anak lelaki bergaduh memang seakan boleh runtuh rumah.
Sampai satu tahap, mak-mak dah tak kuasa lagi nak beri amaran keras, melainkan denda cara HALUS lagi tegas. Inilah yang dipraktikkan Bonda Nor ketika berdepan situasi anak-anak lelaki bergaduh lagi.
Mama tengah kalut fikir nak bersiap untuk fly hari ini, terdengar dentam dentum bunyi di tingkat atas. Jerit pekik kedua-duanya memekakkan telinga.
Huh. Imran dan Izhan bergaduh lagi!
Memang selalu macam ni. Masa baik bukan main baik. Bila bertekak, memang rumah rasa nak terbalik. Debush, debush! Tendang itu ini. Masing-masing akan histeria!
Dak abah dah berlari ke atas, marah-marah. Soal siasat, cuba mencari punca. Makin riuh jadinya. Huh. Mama dah tahu sangat. Kedua-dua hero ini takkan ada yang nak mengaku bersalah. Lagi ditanya, lagi kuat berbalah. Makin kuat tangisannya.
“Mari sini! Dua-dua berdiri kat sini. Berdiri tegak saja. Jangan buat apa-apa. Jangan cakap apa-apa. Berdiri saja!”
Akhirnya mama terpaksa masuk campur.
Kedua-duanya diam. Airmata masih berjuraian. Tapi diam.
Lalu, begitulah. Masing-masing tercegat berdiri. Mula-mula tegap. Lama-lama dah tergoyang-goyang. Lenguh.
Saya biarkan saja. Memang ini antara pendekatan saya dalam mendiamkan anak-anak bila mereka bergaduh. Kita jadi pengadil, kena kawal emosi kita dulu, baru boleh kawal situasi yang berlaku.
Masa mereka kecil, bila bergaduh, saya akan suruh mereka berpeluk sesama sendiri. Kaedah ni memang menjadi sejak zaman Najla dan Najdah lagi.
“Peluk lagi! Peluk kuat-kuat!”
Dan biasanya kemarahan mereka akan berakhir dengan ketawa. Memang pelukan menghasilkan lega.
Tapi bila mereka sudah semakin besar, kaedah peluk mungkin sudah kurang berkesan. Mereka sudah mula ada ego. Selagi kekusutan tidak dihuraikan, mereka takkan puas hati.
Tapi masalahnya, kekusutan tak boleh dileraikan ketika masing-masing sedang mengamuk. Jadi, apa yang saya buat ialah beri mereka tempoh bertenang.
√ Berdiri tegak. Pandang dinding yang kosong. Terlebih baik jika ianya dilakukan di mihrab. Iaitu ruang khas dalam rumah yang selalu digunakan untuk solat.
√ Ambil tempoh bertenang. 10 minit, 15 minit. Perhatikan mereka. Jika masing-masing sudah mula tampak lenguh, panggil mereka mengadap kita.
Masa ni, baru tanya punca. Baru adili keadaan sebaik-baiknya. Dan akhiri dengan sesi bermaaf-maafan.
Anak-anak sedang memberontak, mak ayah jangan sama turut terpekik. Kadang diam kita, suara perlahan dan tegas kita adalah lebih baik. Pandangan tajam kita kadang lebih mampu mengawal mereka berbanding teriakan kita.
Kawal emosi sendiri, insya-Allah, kita boleh kawal situasi.
“So, apa cerita? Kenapa bergaduh tadi
?”“Abang Im pukul Hadif, lepas tu Hanis nak lari beritahu mama. Dia marah. Tutup pintu. Dia tangkap Hanis tak bagi pergi.”
“Bang Im bukan pukul Hadif kuat pun, ma. Bang Im nak gurau je. Sebab tu Bang Im tak bagi Hanis bagitau mama.”
Huh, itu je?
“……..”
“……..”
“……..”
Dan bermulalah ceramah percuma mama di pagi Ahad nan indah.
“Dah, salam. Minta maaf.”
Mereka bersalaman. Berpelukan.
2 minit kemudian, terdengar jerit pekik mereka ketawa menuruni tangga.
Hmmm.. gasak! Namanya pun budak-budak. Memang boleh giler kalau take serious semua perbalahan mereka.
Sumber/Foto : Nor (Bonda Nor)