Biduanita Uji Rashid, Dedah Penyakit Misteri & Kisah Malang Timpa Anak Kesayangan

Share

Sepanjang tiga tahun biduanita Uji Rashid mendedikasikan hidup untuk memastikan Cico sembuh, banyak perkara memilukan terjadi.

Rupanya wanita tabah ini menyimpan rapi rahsia penyakit misteri putera kesayangannya dan akhirnya membuat pendedahan mengenai kisah malang yang menimpa anaknya yang juga pelakon, Cico Harahap, 41.

Bersama anaknya Cico dan cucu kesayangan.

Biduanita Uji Rashid, Terpaksa Menjaga Cico

Begitu besar pengorbanan seorang ibu demi membesarkan anak-anak walaupun terpaksa menanggung derita. Malah Uji juga menyatakan kini Cico tidak lagi mampu bekerja dan Uji sendiri terpaksa menolak tawaran menyanyi kerana terpaksa menjaga Cico.

“Hidup kami memang susah, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Saya, Cico dan cucu, pernah di halau dari rumah sewa dalam keadaan sehelai sepinggang. Kami terpaksa menginap di hotel bajet selama berbulan-bulan.

“Namun ada seorang peminat yang baik hati memberi kami tempat berteduh. Bagaimanapun tahun lalu, atas bantuan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kami ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR),” luah Uji Rashid.

Pertama Kali Dedah Secara Terbuka Kisah Cico

Bersama Prof Muhaya

Baru-baru ini menerusi program Telekung Talk yang merungkai topik Jawapan atau Ujian?, yang bersiaran di platform Facebook Muhayya Momentum (Datuk Dr Prof Muhaya), Uji Rashid mendedahkan Cico bukanlah disihir, sebaliknya telah diracun oleh beberapa individu ketika menghadiri sebuah majlis hari jadi tidak lama dulu.

“Buat pertama kali saya mendedahkan perkara ini secara terbuka. Terdapat pelbagai versi cerita dan desas- desus mengenai keadaan anak saya.

“Sebenarnya Cico bukanlah disihir tetapi diracun oleh rakan-rakannya. Menurut doktor beberapa jenis racun telah dicampur ke dalam gelas minumannya.

“Racun yang diberi itu sebenarnya boleh membunuh dalam masa empat jam, tetapi dengan kuasa Allah SWT, Cico masih diberikan umur yang panjang sampai hari ini,” katanya.

Syukur Cico Semakin Sembuh

Tambah Uji lagi, melalui cerita yang disampaikan kepadanya, Cico rebah sebaik minum minuman itu dan ditinggalkan tanpa bantuan. Sehingga kini dia tidak tahu siapa yang menghantar anaknya pulang ke rumah.

“Saya masih ingat Cico muntah-muntah dan wajahnya dipenuhi darah. Berhari-hari dia terlantar sakit di atas katil. Masa itu saya hanya berserah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT. Satu hari Cico bangun tetapi dia hanya diam apabila ditanya. Dia tidak kenal saya mahupun anaknya sendiri. Bila ditanya doktor siapa nama, dia jawab Pikee.

“Saya difahamkan racun itu memberikan kesan terhadap otak, organ dalaman dan kotak suaranya. Walau apapun, saya bersyukur Cico sudah semakin pulih, meskipun dia kini mengalami masalah pertuturan, tidak lagi mampu membaca dan menulis dengan baik,” luahnya.

Baca Disini Juga:

Ujian Bertimpa, Makin Berusaha Makin Susah, Amalkan Doa GRED A Rasulullah SAW Baca

Prof. Muhaya Dan Anak Kedua, Berkongsi Persamaan Kehilangan Anak Lelaki Pertama

Buat Isteri, Hidup Jangan Terlalu “Bertuhankan” Suami – Nasihat Prof Dr Muhaya

Perkongsian Undang Sebak Prof Muhaya

Sewaktu pogram tersebut berlangsung, Datuk Dr Prof Muhaya kelihatan sebak mendengar pendedahan Uji. Malah Prof Muhaya juga menasihati agar orang ramai sentiasa positif dalam mengharungi dugaan hidup.

“Perkongsian dari seorang ahli sufi, pesanan daripada sorang wali Allah SWT, meminta kita melakukan dua perkara di mana setiap hari kita perlu membaca dan berkaca. Membaca maksudnya di sini melihat keluar kehidupan orang lain. Satu lagi berkaca, di mana ahli sufi mengatakan seorang mukmin itu cerminan kepada mukmin yang lain.

“Kita membaca melihat kehidupan orang lain dan berkaca melihat diri sendiri yang kita panggil introspeksi diri. Apabila kita ada masalah banyak orang akan membaca. Saya jadi macam begini sebab orang ini atau kita panggil mangsa kehidupan.

“Dari segi saintifiknya siapa berada dalam keadaan ini, mereka berada zon sengsara. Cara untuk kita naik ke zon yang atas, kita haruslah berkaca diri di mana kita menerima ujian ini kerana takdir Allah SWT yang sudah tertulis di dalam Luh Mahfuz.

“Kita diberi dua kelebihan boleh melihat dengan mata nafsu dan mata hati. Jika dengan mata nafsu, kita akan merungut dan menyalahkan keadaan. Mata hati pula MasyaAllah, kita berdoa bagaimana ujian ini membuatkan kita lebih dekat pada Allah SWT dan berakhlak baik kepadaNya,” katanya.

Dekatkan Diri Dengan Allah SWT – Prof Muhaya

Prof Muhaya menambah, apabila seseorang melangkah momen taubat, bersyukur, sabar, reda, mereka telah mencapai tahap lebih tinggi. Maka masa itu kita dapat mempertingkatkan garis sengsara kepada biasa, seterusnya produktif kepada luar biasa.

“Justeru itu bagi sesiapa yang menghadapi apa sahaja masalah anda perlu mengatasinya dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Sumber / Sumber Foto: Facebook Muhayya Momentum (Datuk Dr Prof Muhaya)

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Norhayati Binti Suboh