
Isi Kandungan
ToggleAnak zaman sekarang dengan dahulu sangat berbeza. Kalau dahulu, mereka telah diajar dengan pelbagai kerja rumah. Tak kira anak lelaki mahupun anak perempuan. Masing-masing sudah ada kerja yang telah ditetapkan oleh mak ayah.
Berbanding dengan anak sekarang, mereka lebih terdedah kepada gajet yang sentiasa melekat pada tangan terutamanya pada hujung minggu. Tapi rasanya tidaklah semua anak.
Baik anak lelaki atau anak permpuan, mak ayah kena ajar anak bekerja atau lebih tepat lagi kerja rumah. Bukan untuk meng’hamba’kan mereka tetapi ajar mereka erti tanggungjawab. Bukan pada keluarga tetapi mungkin tahu erti tanggungjawab pada keluarga mereka bila sudah mendirikan rumah tangga.
Jangan nak bezakan kerja rumah sama ada anak lelaki atau peremnpuan, mak ayah kena ajar dua-duanya kena ada tugas kerja di rumah. Tak perlu nak harapkan pada anak perempuan sahaja sebab anak lelaki pun kena tahu kerja rumah dan perlu tolong keluarga.
Kalau anak sudah dijadikan raja pada waktu kecil, risau ia akan terbawa sehingga besar. Itulah antara perkongsian daripada Intan Salwani tentang didik anak sejak kecil.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Walau Tak Kaya, Anak Sihat Dan Suami Bertanggungjawab Juga REZEKI
JANGAN Anggap Kerja Rumah URUSAN Perempuan, Anak Lelaki Perlu Diajar Supaya Jadi Kebiasaan
Info Lebih Menarik DI SINI
Didik Anak Bekerja Sejak Kecil
Hassan ni suka buat aktiviti. Tenaganya pun banyak. Kalau tak tidur, memang asyik bergerak je. Lari sana sini, lompat sana sini, panjat sana sini.
Jadi, rugilah kalau tenaga Hassan yang banyak tu Mummy tak gunakan sebaiknya. Daripada dia menyepah mainan, baik Mummy minta Hassan bantu kerja-kerja Mummy.
Anak-anak kecil ni, jangan disangkakan tak mampu bantu kita. Walaupun tubuhnya kecil, tapi ada tugas-tugas mudah yang mereka boleh buat. Kalau mereka dah biasa buat, mereka takkan canggung untuk buat sampailah mereka besar.
Peranan Mak Ayah
Peranan kita sebagai ibu bapa pula ialah untuk menerapkannya dengan konsisten dan secara menyeronokkan supaya mereka suka. Yang penting, beri reward kepada mereka setelah selesai tugasannya.
Tak sukar pun, kalau yang kecil macam Hassan ni, kita berikan tanda ‘good’, puji-pujian, atau pelukan pun mereka dah suka sangat. Kalau anak yang besar sikit, bolehlah ‘reward’ mereka dengan kasih sayang dan ilmu.

Anak-anak yang sudah biasa bekerja sejak kecil, Insya Allah sampai besar pun akan rajin membantu. Tapi kalau dari kecil sudah dijadikan seperti Raja, dikhuatiri terbiasa pula bersikap sedemikian sampai besar.
Tiada istilah terlalu kecil untuk mula membantu. Macam kata orang dulu-dulu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Jadi ibu semua, jom kita ajak anak-anak bantu kita. Tugasan kita pun jadi ringan, anak-anak pun dapat manfaatnya.
MW: Bagi kerja pada anak, kerja yang senang dan mudah. Kenalah tengok kepada usia dan kemampuannya.
Sumber: Intan Salwani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Renung Wajah Letih Isteri, Suami Sebak Hargai Pengorbanannya Jaga Anak 8

Isi Kandungan
ToggleMenguruskan anak ramai menuntut pengorbanan yang besar baik dari suami mahupun isteri. Lelaki ini, Muhd Nur Syafiq dikurniakan 8 orang anak. Dan sentiasa meletakkan dirinya agar belajar menghargai pengorbanannya.
Walau ketika sukar, isterinya malah anak-anak tidak pernah meminta lebih daripada kemampuan suami. Malah, menghulur bantuan wang ringgit walau suami tidak minta.
Isteri juga tak harapkan balasan untuk pengorbanannya itu. Seharusnya suami memahami dan tahu bagaimana untuk menghargainya.
Hadamkan kisahnya,
Buka Dompet Ada RM50 Sekeping
Bulan ni ada rezeki lebih sikit. Tayar belakang kereta dah lama botak. Takda bunga langsung. Setiap kali nak kemana-mana, kena isi angin. Bulan Mac yang lepas dah tukar tayar depan. Lepas tolak komitmen bulanan, cukupkan stok barang dapur, masih ada baki ngam-ngam untuk tukar tayar.
So plannya esok nak pergi tukar tayar. Tanya kedai, sebiji tayar pun dah cecah RM200. Dua biji dah RM400. Dah lama sangat tangguh, kali ni dah tak boleh tangguh. Bahaya nyawa.
Tadi masa on the way balik kerja, call Zaisya Shukor. Minta dia tanyakan anak-anak, ada teringin nak makan apa-apa ke? Sebelum duit habis, terfikir gaji bulan 8 belum belanja anak-anak makan.
“Bang, anak-anak cakap tak payahlah beli apa-apa. Depa kenyang lagi makan nasi tadi. Abang balik rumah teruslah.” Balas Zaisya. Aku sebak. Baik anak, baik bini kerap mudahkan urusan aku. Jarang minta itu ini. Kadang, bila teringin apa-apa anak-anak sebut sekali je. Lepas tu kalau tak dapat aku belikan, depa tak ulang dah minta.
Aku lalu depan gerai jual satay. Buka dompet, ada RM50 je sekeping. Teringat haritu, anak-anak berebut capai secucuk demi secucuk satay yang masih panas. Aku pun singgahlah, beli satay 45 cucuk. Tambah nasi impit 4 ketul. Total semua RM39.
Sampai rumah, nampak anak-anak tengah siap-siap nak mengaji. Melompat-lompat depa tengok aku bawa balik seplastik satay. Terhibur aku.
Isteri Minta Izin Mengurut Kawan Lepas Bersalin
Semalam Zaisya minta izin aku, nak pergi mengurut kawan dia yang baru lepas bersalin. Katanya ilmu dah ada. Tapi dah lama tak praktikkan. Rugi. Tambahnya lagi, “abang ingat apa pesan Bonda Nor?
Setiap hari gunakan apa yang kita ada dan apa yang kita mampu untuk buat kebaikan dan beri manfaat pada orang.”
Ya, 7 – 8 tahun lepas memang Zaisya pernah belajar mengurut. Pernah kehulu kehilir jadi confinement lady jaga orang dalam pantang. Jadi semalam bila kawan dia bersalin, dan perlukan tukang urut Zaisya minta izin dari aku.
Katanya dah lengkap dua dos vaksin dan kedua-dua mereka pernah positif Covid. Jadi risiko tu agak rendah.
Aku izinkan. Aku mahu Zaisya bebas buat apa yang dia suka. Tak mahu dia rasa terkurung, dan kelebihan yang dia ada terbiar. Masa aku sampai rumah petang tadi, dia baru siap mandi. Happy dia tak perlu masak sebab aku dah belikan satay.
“Lepas Maghrib anak-anak hidang satay. Macam biasa, berebut-rebut depa makan. Durrah pun tumpang sekaki. Menyelit-nyelit nak capai apa yang ada depan mata.” Serius, aku sebak sangat. Bagi orang lain, RM39 tu mungkin kecil nilainya. Satay je. Bukan special mana.
Nak beli bila masa pun boleh, tak perlu tunggu gaji. Tapi bagi keluarga besar kami, ia bukan satu keperluan. Nak makan fastfood, nak beli makanan di luar belanjanya tinggi. Jadi perlu tunggu bila ada rezeki lebih. Anak-anak tak pernah merungut. Alhamdulillah. Kefahaman yang Allah campakkan dalam diri depa ni pun dah cukup besar rahmatnya bagi aku sebagai ketua keluarga.
Tiba-Tiba Dapat Notification Duit Masuk
Settle makan malam, phone aku bunyi. Dapat notification, ada duit masuk dalam akaun aku. Aku tengok nama pengirim. Nama bini aku. Aku pun tanya dia. “Duit apa ni yang? Kenapa masukkan dalam akaun abang?”
“Duit komisyen Fitrah bang. Sya ganti semula duit gaji abang yang abang bayarkan deposit beli buku pagi tadi.”
“Ya Allah, tak payahlah! Abang tak berkira pun. Tu duit komisyen ayang, gunalah. Ayang penat buat itu ini nak tolong abang, simpanlah duit tu.”
Dia senyum. “Ambiklah. Sya belanja. Esok nak tukar tayar, tadi dah belikan anak-anak satay, berapa je balance gaji abang.”
“Abang, dah bagi mak duit bulan ni? Kalau tak ada banyak, beri sikit. Janji berkat gaji tu.” Dia sambung.
Aku diam. Pandang wanita yang tampak biasa ini dengan pandangan yang tajam.
Dia pernah jadi mak bidan, dia usaha jadi product consultant, jual jamu, jadi dropshipper jual baju. Dia pernah buat dan jual ikan tenggiri pekasam, pernah jual apam. Pernah buka kelas membaca ekspress-i, join dropshipper Bonda Nor.
Sekarang beralih jadi mentor nak bimbing penulis baharu, sampai ke subuh gigih baca manuskrip mentee satu persatu. Sambil-sambil jadi pengguna pati bunga Fitrah dalam diam dia buat jualan.
Dia pernah untung ribuan. Pernah juga tak dapat komisyen berbulan-bulan. Dia jatuh, kemudian bangun. Dia bergelut dengan turun naik emosi. Uruskan anak-anak berlapan.Aku tahu, aku sedar, wanita inilah punca rezeki aku tak pernah putus. Kadang aku rasa, aku kejam.
Baca juga : Hadiahkan emas tanda kasih suami hargai pengorbanan isteri, pasti rezeki mencurah-curah

Isteri Kita Memang Takkan Sempurna Sampai Bila-bila
Entahlah, malam ni aku sebak sangat. Semalam, aku menulis pasal dia, hari ini perasaan ini masih sama. Mahu menitip sesuatu berkisar dia. Merenung wajah letihnya yang sedang menyusukan Durrah, membawa aku hanyut dalam emosi tak bertepi.
Isteri kita memang tak sempurna. Dan tak kan jadi sempurna sampai bila-bila. Tapi sejauh mana kita sebagai suami menghargai seorang isteri. Kadang yang kita nampak hanya kekurangan kecil isteri, sedangkan pengorbanan-pengorbanannya yang besar, tak pernah kita endahkan.
Walau Sedikit Pengorbanannya, Tetap Raikan
Hargai isteri semampu kita. Walau sedikit pengorbanannya, tetap raikannya. Doa dari isteri yang mahal sebenarnya. Cuba nilai semula, hidup kita sebagai lelaki dan suami bererti atau tak tanpa dia yang kita nikahi?
Petang tadi aku belanjakan RM39, dan malam ni Allah rezekikan aku dapat pulangan sekali ganda. Tak besar nilainya. Tetapi telah Allah hantar rezeki ini melalui seorang isteri yang ikhlas berkongsi.
Allah, andai mati asbab terhenti jodoh kami, tolong jagakan dia. Tolong muliakan dia di dunia, dan hantar juga dia ke syurga. Kerana dia kerap menabur bakti kepadaku tanpa syarat. Bakti seorang suri . Bakti seorang isteri.
Ucap Terima Kasih Terhadap Pengorbanannya
Sudah tanya pada isteri kalian, awak okey? Ucapkan terima kasih pada isteri ya. Kadang hidup kita ni jadi bermakna pun sebab menumpang rezeki dia. Sedar diri!
Dan seandainya ada sahabat-sahabat yang tak dapat penghargaan dari suami, pesan aku jangan putus doa. Jangan bandingkan suami kalian dengan suami orang lain. Kadang yang nampak sempurna itu juga ada derita di hati mereka. Kasut kita tak sama. Tak kan pernah sama. Macam kisah makan satay, korang mungkin boleh beli satay hari-hari tapi kami ni cuma dua bulan sekali.
Bahagia cara kita. Saling mendoa. Andai kita tak dapat doa dari seorang isteri, moh kita jadi suami yang sering mengutus doa buat isteri. Jangan tunggu orang buat baik dengan kita, kita dulu buat baik dengan depa. Haaa. Tudia.
#kembaraanaklapan
Mingguan Wanita : Isteri sememangnya jarang merungut walaupun letih. Adalah lebih baik bagi suami yang hargai pengorbanannya. Dan itulah juga hadirnya ketenangan, bahagia dalam rumah tangga.
Sumber/Foto : Muhd Nur Syafiq
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dulu Kuat Melenting & Panas Baran, Sekarang Lebih Bijak Kawal Emosi

Isi Kandungan
ToggleMeskipun lebih sinonim dengan lelaki, namun wanita juga tidak terkecuali memiliki sifat kuat melenting dan panas baran ini. Perasaan amarah dan emosi yang tidak terkawal ini boleh mengakibatkan hati dan perasaan orang yang kita sayang terluka. Lebih-lebih lagi apabila telah bergelar isteri dan ibu.
Seringkali, selepas amarah dilepaskan tanpa atau separa sedar pada anak-anak mahupun suami, seribu sesalan bertakhta dihati. Jika terus dibiarkan memang boleh membawa parah dan mampu menggugat kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang dibina.
Menarik perkongsian daripada Puan Adlil Rajiah ini. Beliau berkongsi tip bagi mengatasi sifat panas baran dan bagaimana dia perlahan-lahan berjaya membuat emosi agar menjadi lebih terkawal.
Berikut antara perkongsiannya…
Seorang ibu mesej saya..
“Ji, tolong akak Ji. Akak terlalu panas baran. Cepat naik tangan kat anak-anak. Setiap hari akak tampar pukul rotan anak. Susah nak explain. Tapi akak memang tak boleh kawal. Mungkin akak warisi dari mak akak. Cara didikan yang garang dan keras. Kadang-kadang cakap suami pun akak berani lawan. Bila malam tengok anak-anak tidur, baru akak menyesal dan menangis sorang-sorang. Akak risau perangai akak ni. Takut anak-anak makin tak sayang akak. Tolong akak Ji.”
Hmm.
Mesej ni betul-betul menyentak saya.Sebab saya percaya,akak ni tak keseorangan.Ramai lagi kat luar sana yang sebenarnya bersikap begini. Kan?
Betapa lemahnya kita dalam mengawal emosi. Betapa lemahnya kita dalam soal empathy dan perasaan.Betapa lemahnya kita dalam melawan hasutan syaitan.Lemahnya kita.Walaupun yang dipukul dibelasah itu adalah sebenarnya orang-orang yang paling kita sayang.Macam mana kita boleh tergamak kan?
Semua orang suruh SABAR. Tapi macam mana nak sabar?Macam tak relevan pulak “sabar” ni dalam rutin harian kita.Anak-anak semua degil!
Dear parents… Please.
Saya faham. Kita semua stress.Kita semua sedang bergelut.Kita semua diuji.Because this is dunya.Pentas ujian.
Lupakah kita anak itu datang dengan rezeki yang dah tertulis buatnya? Sayangnya kalau kita tak jaga mereka dengan baik, takut-takut Allah tarik balik mereka daripada kita, dan semua rezeki yang dah tertulis itu.
Lupakah kita anak itu datang sebagai tiket untuk mudah kita ke syurga Allah?Sayangnya kalau kita rosakkan tiket tu dan sia-siakannya.Takut-takut Allah tukarkan anak itu sebagai tiket kita ke neraka pula. Na’uzubillah.
Satu ketika dulu, saya pun seorang yang panas baran.Langsung tak sukakan budak. Bagi saya, anak-anak ni hanya menyusahkan. Datang nak tumpang rezeki kita semata-mata.
But as time goes by, Alhamdulillah. Challenges in parenthood changed me.Ilmu yang betul mendorong saya semula ke track yang betul.Saya percaya,semua orang boleh berubah dan semua orang layak dapat peluang kedua. Allah itu tak zalim.Malah Dia kaya dengan kemaafan dan peluang.
Saya nak kongsi beberapa perkara yang saya belajar,untuk bantu kita yang panas baran ni, supaya perlahan-lahan berubah menjadi lebih penyayang.
Saya dah amalkan benda ni selama 6 tahun. Yes, saya belum sempurna.Tapi Alhamdulillah semakin baik dalam kawalan emosi.Allah takkan ubah nasib kita kalau kita sendiri tak sanggup berubah. Kan?Yang penting konsisten dan paksa diri berubah. Dan Allah akan permudahkan prosesnya.
Tip Atasi Panas Baran & Kawal Emosi;
1) Setiap kali rasa nak marah, isolate yourself
Asingkan diri sekejap dari situasi kemarahan itu, as soon as possible.Kalau terpaksa lari dalam bilik air sekalipun, silakan. Asalkan diri terasing sekejap, untuk cool down.
2) Kalau berdiri masih marah, duduk
Kalau duduk masih marah, baring.Kalau baring masih marah, ambil wudhu’. Dah alang-alang ada wudhu’, solat la 2 rakaat.
3) Berdiri atau duduk dalam posture “superhero”
Dongakkan muka, tegakkan bahu, tangan di sisi, dabikkan dada, dan tarik nafas dalam-dalam.
Menurut kajian, posture ini membantu untuk rationalise otak dan supaya kita boleh berfikir dengan waras.
4) Panas baran itu SYAITAN
Macam mana nak lawan?
Baca Doa Ini
Allahumaghfirli zambi wazhib ghoizho qolbi wa ajirni minash syaitonirrojim.
Maksudnya: Ya Allah. Ampuni dosaku, hilangkan kepanasan hatiku, dan lepaskan aku dari syaitan yang terkutuk.
5) Bayangkan kita berada di tempat anak-anak, feel what they feel dan bayangkan ibu bapa macam mana yang kita mahukan ketika kecil dulu.
Reset our mind, cuba jadi ibu bapa itu and react like you already are.
6) Mind over body.Always.
Ini pesan ayah saya.Orang yang panas baran adalah orang yang lemah mindanya. Sebab tu most of the time, badan yang menguasai minda. Cepat naik tangan dan gunakan kekuatan fizikal. Dan kenapa Allah lebih suka orang yang sabar dan mampu tahan marah? Sebab orang-orang ini lah sebenarnya orang yang kuat.Mampu kawal minda dan kuasai keseluruhan jasadnya.
So macam mana nak kuatkan minda dan jadi salah seorang yang Allah sayang?
Ada dua cara;
1. Bersyukur

Setiap pagi, saya akan ambil my “Gratitude Book” dan tulis sekurang-kurangnya 10 perkara yang saya syukuri dalam hidup.
Dengan cara ni, saya akan lebih “aware” dengan nikmat Allah, lebih menghargai, dan saya tahu semua yang saya ada ni hanya dipinjamkan sementara. Termasuklah anak-anak.
2. Penuhkan minda dengan ilmu
You are what you read. You are what you watch and listen to. You are what kind of people and conversations you engage in.
Minda kita terbentuk atas semua faktor di atas. Dan apa yang ada dalam minda, akan terzahir dalam sikap dan perbuatan.
Kita tak faham kenapa kita panas baran. Kita tak faham kenapa kita banyak hasad dengki. Lihat semula aktiviti kita setiap hari. Semua yang negatif, ubah.
Dear parents.Jom sama-sama paksa diri jadi lebih baik. Penuhi jiwa dengan kasih sayang.
We can never pour from an empty glass. Kan?Kita semua tak sempurna.Tapi Allah tahu kita sentiasa mencuba.
Sentiasa ingat,yang tenang Allah sayang,yang cepat marah syaitan sayang.So cuba. Cuba sabar. Kalau satu hari nanti, anak-anak kita jadi panas baran. Jangan salahkan orang lain.Because it’s YOU.
Dan ketika itu, tahulah kita bahawa tiket ke syurga mungkin dah bertukar halatujunya.
Na’uzubillahi min zalik.
Semoga perkongsian hari ni bermanfaat.
Sumber: Adlil Rajiah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tidak Pernah Rancang Berkahwin Lain, Tinggalkan Dia”. Pemandu Lori Berhenti Kerja Uruskan Isteri

Isi Kandungan
Toggle“Tidak pernah rancang berkahwin lain, tinggalkan dia”. Pemandu lori berhenti kerja uruskan isteri. Inilah dinamakan pasangan yang setia, sanggup hadapi segalanya dikala sihat atau sakit.
Pengorbanan yang dilakukan suami ini bukanlah sedikit kerana sanggup melepaskan kerjanya dan memberi fokus sepenuh masa kepada keperluan isteri.
Pemandu Lori
Sudah lebih tiga tahun Fauziah Tajudin terlantar selepas menjalani pembedahan akibat sakit tumor otak, namun dia tidak berseorangan menanggung ujian itu kerana suami, Kamaruddin Ahmad masih setia di sisinya sehingga kini.
Kamaruddin, 47, juga sanggup berhenti kerja sebagai pemandu lori tiga tahun lalu demi menjaga dan menguruskan Fauziah, 46, yang sudah tidak berdaya makan, mandi mahupun bergerak sendiri.
Bercerita lanjut, jelas Kamaruddin yang juga bapa tiga anak itu, Fauziah dulunya suri rumah dan sihat tubuh badan namun segala-galanya berubah selepas disahkan doktor menghidap tumor otak pada April 2016.
Berhenti Kerja Uruskan Isteri
“Pada 1 April 2016, mulutnya (isteri) senget dan saya kemudian membawanya ke klinik untuk pemeriksaan.
“Doktor memaklumkan isteri kemungkinan ada tumor otak dan dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk pengesahan lanjut.
“Doktor di hospital mengesahkannya kemudian pihak hospital beri pilihan untuk saya rujuk isteri ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun saya pilih ke Kuala Lumpur,” katanya.
Baca Di Sini: Setia Seorang Suami, Sanggup Hantar & Jemput Isteri Selama 28 Tahun Menaiki Basikal
Tidak Pernah Rancang
Menurut Kamaruddin, penyakit isterinya kini berada tahap empat dan sudah tiga kali Fauziah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.
“Kali pertama pada 3 Jun 2016 kemudian 9 Disember 2017 dan yang terakhir 28 Februari 2019.
“Awalnya isteri masih boleh berjalan cuma tidak kuat namun kesihatannya semakin merosot hingga terlantar selepas pembedahan kali ketiga.
“Keadaannya membuatkan saya nekad ambil keputusan berhenti kerja untuk menjaganya. Memang berat untuk buat keputusan itu namun saya lakukan demi isteri,” katanya.
Kamaruddin berkata, buat masa ini, dia bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal yang diterima sejak 2017.
“Saya terima bantuan sebanyak RM800 sebulan, RM500 disalurkan JKM manakala RM300 lagi daripada Baitulmal.
“Ikutkan memang tidak cukup malah pernah kami sekeluarga pernah ikat perut ketika isteri mula jatuh sakit dulu namun cuba biasakan diri hidup sederhana dengan makan apa yang ada saja.
“Ini kerana saya masih perlu menanggung anak bongsu yang masih bersekolah di tingkatan dua manakala anak sulung sudah berkahwin dan ikut suaminya ke Sabah dan anak kedua sudah berdikari dengan ambil upah sebagai buruh binaan,” katanya.
Menarik Di Sini : 18 Tahun Usia Perkahwinan, Edika Yusof Setia Disisi Isteri “Saya Suami Bertuah Miliki Awak”
Berkahwin Lain
Tambah Kamaruddin, dia tiada masalah melakukan kerja rumah kerana sudah terbiasa dengan rutin itu sebelum isterinya terlantar lagi.
Bagaimanapun, dia akui berdepan kesukaran menguruskan isteri pada peringkat awal hingga ada ketika ia menguji emosi serta tahap kesabarannya.
“Rutin harian saya bermula selepas solat subuh dengan memberi isteri minum susu pada jam 6 pagi dan perlu ulangi rutin sama setiap 3 jam sekali.
“Jam 3 petang pula, saya beri isteri makan bubur dan begitulah rutin setiap hari selain membawanya ke tandas untuk mandi serta buang najis.
“Jujurnya memang menguji kesabaran terutama ketika mula-mula dulu kerana pernah beberapa kali isteri buang najis pada badan saya ketika mengangkatnya ke tandas namun kini sudah lali dengan semua itu,” katanya.
Menarik: 23 Tahun Tak Pernah Mengeluh “Abang Mus Suami Yang Baik, Dikurniakan Isteri Taat Setia”
Tinggalkan Dia
Kamaruddin mengakui ada yang mencadangkannya untuk berkahwin lagi namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berbuat demikian.
“Tumpuan saya kini hanya pada isteri dan anak jadi tidak pernah rancang untuk berkahwin lagi jauh sekali meninggalkan isteri.

“Jika ada sedikit waktu terluang pun, saya akan main permainan video supaya tidak fikirkan hal selain keluarga.
“Lagipun, isteri perlukan perhatian saya kerana dia juga bergantung dengan ubat darah tinggi dan sawan,” katanya yang turut mendapat bantuan anak bongsunya, Mohd Minzan Shah, 14, untuk menjaga isteri.
Mingguan Wanita : Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Kamaruddin di talian 019-6364188.
Sumber : myMetro
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Klik link ini untuk daftar penyertaan: https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-aura-wanita-pantang-dicabar/ atau whatsapp : http://www.wasap.my/60196328758/DaftarAura
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI