Uncategorized

Biar Berat Diuji, Ardell Aryana Kuat & Redha Demi Ibunya

Share

Pelakon Tak Ada Cinta Seperti Mu, pernah bertindak mengasingkan diri dalam satu tempoh yang agak lama. Malahan dirinya juga seakan-akan cuba berahsia tentang apa yang dilalui dalam hidupnya.

Tentu ramai di kalangan anda pernah membaca kisahnya yang dikatakan menghidap penyakit kanser. Namun hingga ke saat ini, Ardell Aryana atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd. Amin, 29, tidak pernah mengakuinya.

Sebaliknya hanya selesa berkongsi bahawa pernah mengalami sakit tenat sekitar bulan Mei tahun lalu. Dirinya lebih selesa untuk menyimpan seorang diri tentang penyakit yang dialami itu..

Bagi Ardell, dia enggan berkongsi mengenai perkara-perkara peribadi dengan semua orang sebaliknya memadailah dengan ahli keluarga dan kawan-kawan terdekat sahaja. Melihat semangat Ardell, ternyatalah dia seorang wanita yang cukup kuat dan tabah, walaupun mengalami dugaan yang cukup hebat, tapi dia tidak mahu mengalah.

MW: Apa yang Ardell lalui bukan sesuatu yang mudah, apakah sumber kekuatan anda?

Ardell: Sebenarnya kekuatan tersebut diperoleh menerusi mama. Sekuat mana pun ujian melanda, saya sentiasa meletakkan wanita yang mengandung dan melahirkan diri ini sebagai penguat semangat.

Setiap kali saya sedih dan lemah, saya akan lihat wajah mama. Dari saya kecil sehingga sekarang banyak dugaan yang dilalui ibu. Mama adalah sumber kekuatan selain adik-beradik lain.

MW: Menurut Ardell, kehidupan kecil suatu masa dahulu bukan sesuatu yang mudah, bagaimana anda laluinya?

Ardell: Mama saya seorang mualaf, kehidupan kami sekeluarga juga susah. Kami tinggal di sebuah pondok di ladang kelapa sawit. Dek kerana miskin, kami terpaksa berpisah kerana mama terpaksa berikan adik-beradik pada orang lain. Hanya saya sahaja yang tinggal dengan mama waktu itu.

Ibu mana yang sanggup berpisah dan berikan anak pada orang lain. Tapi demi mahukan yang terbaik untuk anak-anak, dia redha. Namun, Allah berikan rezeki kami untuk bersatu kembali.

MW: Pernah anda menyalahkan takdir atas apa yang dilalui ketiak suatu ketika dahulu?

Ardell: Saya merupakan anak ke lima dari enam beradik, tapi ibarat saya ini anak sulung. Malah, saya tak pernah salahkan takdir walaupun sudah mula buat kerja sampingan sejak tingkatan tiga lagi.

Niat saya ketika itu tiada lain hanya mahu membantu mama yang hanya bekerja di restoran untuk besarkan kami semua. Berapa sajalah gaji ditambah pula mama ibu tunggal. Tetapi Allah berikan kelebihan saya dalam industri seni.

Mungkin rezeki saya dalam bidang ini tetapi kena tahan fizikal dan mental. Tapi itu pun saya lakukan on off sebab mama tak restu. Tapi saya terangkan tujuan saya masuk bidang ini, hanyalah untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

MW: Bagaimana anda memujuk ibu agar merestui anda dalam bidang seni?

Ardell: Saya mahu bantu keluarga tak nak hanya duit sekadar cukup sahaja. Perlu ada simpanan untuk waktu kecemasan. Jadi mama restu, saya pikul tanggung jawab seorang ayah sebenarnya kerana saya ada adik yang masih kecil. Bayangkan dulu kami hanya pakai apa yang diberikan oleh pihak zakat dan juga di sedekah oleh orang lain.

Kami memang susah sangat waktu itu. Jadi, saya rasa adik-beradik yang teringin nak guna benda baru seperti kanak-kanak lain. Saya tahu nun jauh di sudut hati mama, dia rasa sedih kerana tak mampu nak bagi apa yang anak ingini.

Saya pujuk mama dan beritahu tak perlu sedih kerana mama dah tua dan banyak berkorban sejak dulu lagi. Jadi, setiap kali dapat gaJi, saya lebihkan pada keluarga. Mujurlah saya ni bukan jenis kaki shopping.

Bayaran pertama filem saya simpan dan hantar mama pergi umrah. Walaupun ketika itu saya hanya tinggal RM50 untuk sampai hujung bulan. Tetapi saya nekad. Mama pulang dari umrah, rezeki yang saya peroleh semakin melimpah ruah.

MW: Setelah melalui kesusahan sewaktu, kini Ardell diuji lagi. Apakah rasanya?

Ardell: Saya mempersoalkan kenapa ia boleh berlaku lagi. Biar pun orang cakap berdosa jika mempersoalkan apa yang berlaku, tetapi sebagai manusia biasa saya tidak lari untuk melakukan perkara sebegini.

Saya juga percaya bahawa jika ingin tahu tentang sesuatu, bertanyalah pada-Nya dan Allah akan beri petunjuk. Insyallah.

MW: Ketika Ardell kesusahan, siapakah yang hulurkan bantuan dan sentiasa dekat dengan anda?

Ardell: Alhamdulillah sepanjang saya di uji pada tahun lalu, mama sentiasa berada di sisi. Dialah yang selalu memberi dorongan dan membawa saya keluar untuk ambil angin. Jadi buat apa saya nak sia-siakan apa yang mama lakukan.

Dari situlah, saya mula mengorak langkah dan boleh melakukan semua kerja saya semula termasuklah menerima tawaran berlakon. Saya kuat demi mama.

 

Published by
Syazwani Mehat