“Biar apa pun terjadi, saya tetap bersama sayang.” Setia isteri hingga hujung nyawa. Rumah tangga yang tidak diuji, pasang surut dalam hubungan suami isteri itu lumrah.
Diuji sakit bukanlah ujian yang mudah, apatah lagi ketua keluarga yang sepatutnya menjadi tempat bergantung harap, sakit terlantar tak berdaya. Harap pasangan ini tabah berdepan ujian ini.
Bagi pasangan suami isteri ini, kemanisan dalam melayari bahtera rumah tangga sejak 12 tahun lalu bagaikan diragut apabila ketua keluarga mereka diuji masalah kesihatan.
11 Julai lalu merupakan Tarikh keramat dan bakal diingati sampai bila-bila. Tarikh ini menjadi satu memori yang tidak dapat dilupakan Nurain Rozman, 28, apabila suaminya, Sabri Mohamed Khairi, 36, disahkan menghidap strok.
Jelas Nurain yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, suaminya mula jatuh sakit ketika dia mahu mandi waktu tengah hari untuk solat zuhur.
“Ketika kejadian, saya baru tiga bulan melahirkan anak keempat kami yang lahir pada Mei lalu. Masa itu suami nak mandi, dia keluar dari bilik air tiba-tiba tak boleh bercakap.
“Dia minta nak minum air tetapi menggunakan isyarat tangan, mulut sudah tidak dapat keluar kata-kata sebelum rebah dan pengsan,” katanya.
Panik dengan apa yang berlaku ke atas suami, Nurain dengan bantuan jiran dan ibunya membawa Sabri ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Menurut ibu empat cahaya mata itu, doktor menasihatkan agar suaminya dibedah dengan kadar segera selepas didapati berlaku pendarahan di dalam kepalanya.
“Sebelum masuk dewan bedah, suami sudah kritikal dan saya bisik di telinganya, biar apa pun terjadi, saya akan tetap bersama sayang (suami) sampai hujung nyawa,” katanya.
Nurain berkata, selepas selesai dibedah, suaminya koma selama lima hari sebelum hari keenam doktor memohon kebenaran untuk menebuk leher bagi memasang alat bantuan pernafasan serta tiub untuk susu.
“Sebelum ini suami kerja sebagai operator sebuah kilang sebelum memilih untuk berhenti kerja selepas sering mengambil cuti sakit sebab sakit kepala dan masa itu juga saya turut kerja operator, tetapi Rabu lalu tarikh akhir saya bekerja,” katanya.
Baca Juga Di Sini :
Setia Seorang Suami, Sanggup Hantar & Jemput Isteri Selama 28 Tahun Menaiki Basikal
Suami Tak Perlu Terkejar Wanita Cantik, Cantikkan Dulu Isteri Yang Setia, Sayang Kita
Katanya, sekarang dirinya buntu memikir nasib keluarganya pada masa akan datang terutamanya melibatkan kewangan apabila kos untuk menguruskan suaminya sahaja sudah mencecah RM2,000 tanpa mengambil kira makan minum anak-anak.
Kepada mereka yang ingin membantu keluarga Nurain boleh menghubunginya di talian 014-2271 536 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0110-7411-0003-1412.
Mingguan Wanita : Semoga Nurain sekeluarga kuat berdepan dengan ujian ini dan suaminya kembali pulih seperti sediakala. Pasti ada hikmah di setiap apa yang berlaku.
Sumber/Foto : Kosmo Online