Dalam hidup, rata-rata kita semua mempunyai kawan. Baik masa kecil, belajar atau di tempat kerja. Masing-masing ada perangai tersendiri yang kita sendiri pun faham. Tambah-tambah kalau dah lama mengenali antara satu sama lain.
Namun, tak mustahil ada berkawan yang hanya seketika. Bila tahu perangai dan rasa tak sesuai untuk dijadikan kawan, terus jarakkan pergaulan.
Tak kisah kawan sejak dari kecil, belajar mahupun di tempat kerja. Paling penting, inilah kawan yang mampu susah senang serta dapat tegur apa yang kurang pada diri. Adat dan rezeki berkawan.
Tapi ingat, kawan dengna sabahat adalah orang yang berbeza. Jangan fikir ini orang yang sama. Apa bezanya dan macma mana kita perlu berhati-hatu dalam berkawan. Ikuti apa yang dikatakan oleh Hanis Athirah Rosli.
Ada orang rezekinya ramai kawan, tapi nak setia belum tentu.
Ada orang orang rezekinya tak ramai kawan, tapi yang setianya satu.
Berkawan pun ada peringkatnya,
Bila mampu ada semasa senang susah, mampu tegur dan bimbing kawan bila salah itu namanya sahabat.
Ads
Bila hanya perlukan kita semasa senang, jumpa kesalahan tanpa menegur itu namanya kenalan.
Bila suka mencari kesalahan, mengata belakang dan wujudnya kebenciaan dalam diam itu namanya musuh dalam selimut.
Langsung dilupakan memori sepanjang perkenalan.
Kadangkala bila kita terlalu baik, naif dan jujur pun bahaya.
Bahaya bila kita akan dipergunakan tanpa sedar.
Bahaya bila kita akan dikhianati hingga membuatkan hati kita luluh hancur berkecai.
Sebab itu dalam berkawan perlunya hati hati dengan;
Ads
Kawan yang pura-pura baik depan kita, penting diri dan lupa diri, suka merungkit,
merampas hak kita, suka sindir dan lukakan hati kita, benci lihat kita lebih dari dia, penghasut terhebat dalam diam dan kawan yang jatuhkan kita dalam diam.
Tapi ada juga kawan yang kita tidak sedar merupakan sahabat kita. Selalu mendoakan kita walapun kita sendiri lupa dan kurang menghargainya kerana terlalu sibuk utamakan yang kita rasa lebih perlu. Ternyata kita manusia serba kekurangan, dalam persahabatan banyak kekhilafan yang kita tak sengaja lakukan.
Terima kasih semua kenalan, kawan dan sahabat yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada hidup ini. Maafkan mana kurang dari diri ini. Tegurlah dan bimbinglah.
Doakan kebahagiaan kawan, sahabat dunia akhirat.
Mingguan Wanita : Berkawan biar beribu tapi dalam beribu hanya berapa saja yang mampu susah senang bersama. Hargailah kawan dan sahabat yang dapat tegur dan bimbing diri kita.
Dalam fasa kehidupan, peringkat usia 30’an dianggap paling cantik dan menawan bagi seorang wanita . Masih kuat bertenaga, stabil dalam kehidupan, matang menghadapi dugaan dan sebagai. Pada peringkat usia ini, nikmatilah sebaik-baiknya kerana ia detik cukup istimewa.
Fahamkan mesej dan perkongsian yang disampaikan oleh Puan Norhayati Mohd Rasip ini sebagai rujukan;
Mesej ini khas untuk wanita berusia 30 an yang membaca status ini. Ya awak yang sedang baca ni. Akak nak bagitahu..
Apa yang special wanita 30’an?
Pada saat ini, awak berada di peringkat umur palinggg cantik dan menawan. Lelaki akan terpesona melihat tingkah lakumu kerana kau lebih matang berbanding wanita 20an. Keupayaanmu untuk melakukan sesuatu yang HEBAT amat mengujakan. Oleh kerana itu tidak hairanlah ramai wanita seusia denganmu yang berjaya ketika ini.
Namun seandainya rezeki masih belum sampai, jangan putus asa. Kerana pada waktu ini juga Allah sedang anugerahkan TENAGA kekuatan untuk berkerja paling TINGGI. Jika anda ingin berlari, maka berlarilah. Jika ingin melihat keindahan dunia, jelajahilah. Ingin membantu keluarga, silakan. Kerana pada usia ini anda palinggg bertenaga, present moment dan bisa menikmati hidup ini.
Jika anda belum berkahwin, bersabarlah. Kerana anda istimewa, tak layak rasanya anda setakat tangkap muat. Ingat. Bukan semua lelaki preloved itu hebat. Nikmati hidup anda sepuas-puasnya dan jangan sekali-kali berfikir yang kebahagiaan anda hanya akan sempurna kerana seorang lelaki.
Namun jangan berhenti berdoa. Jangan berhenti tingkatkan nilai atau value diri anda. Kerana apabila anda sudah bersedia, Allah akan menghantar seorang lelaki yang hebat sebagai pasangan anda. Dan jika tidak, maka teman-teman istimewa anda ada di Syurga nanti.Ingat. Stay happy. Stay positif.
Jangan sia-siakan sedekad keemasan ini. Kerana bila ia berlalu, ianya TAK AKAN kembali lagi.
Jangan layan keluh kesah, JIWA KACAU dan mengharap kasih yang tak pasti. NO NO. Please dont. Jika tidak anda bazirkan kecantikan anda sekarang. Be brave. Be confident.
I pray for all of you, wanita 30′ an di luar sana. Semoga anda MENIKMATI kehidupan anda. Terima apa adanya. Kerana kau wanita istimewa. Paling cantik. Paling bijak ketika ini.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat wanita yang sedang melalui usia 30an nikmatilah kehidupan sebenar.. Jadikan mesej penting ini sebagai panduan.
Penyakit kanser ini tak kenal pangkat, mahupun nama. Ia boleh dihidapi siapa saja tanpa amaran. Oktober 2018, kanser prostat mengubah kehidupan personal Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak. Daripada seorang yang terlalu fokus kerjaya, menjadi lelaki yang lebih memandang serius tahap kesihatan diri.
“Alhamdulillah, saya sangat bertuah kerana penyakit barah saya dikesan dengan awal. Tanpa alami sebarang simptom, saya mendapat tahu penyakit saya secara tidak sengaja.”
Waktu itu, beliau yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak harus menjalani pemeriksaan prostat sebagai syarat awal pembelian insurans. “Saya menjalankan ujian saya di London dan memberitahu doktor saya ketika itu untuk menjadualkan pembedahan saya selepas saya pulang dari bercuti.”
Betapa sihatlah saya rasa pada masa itu sehingga boleh bercuti dengan keluarga! Abang-abang saya, Nizam dan Johari serta keluarga mereka melawat saya di London.”
Beliau juga menerima kunjungan rakan-rakan yang lain seperti Tan Sri Tony Fernandes, Datuk David Chua, Datuk Haris Onn dan Datuk Kamaluddin Badawi.
“Mereka telah menjadi sumber semangat pada saya dalam proses pemulihan.”
Kerana Kanser, Nazir Razak Berhenti Merokok
Ternyata kanser prostat ini memberi impak dari segi gaya hidup ahli lembaga Tabung Amanah Kanser Urologi, di bawah naungan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya ini.
“Saya mengambil keputusan berhenti merokok dan lebih kerap bersenam.
Sebelum ini, saya telah mengabagikan kesihatan saya kerana terlalu fokus dengan kerjaya di CIMB. Sekarang, saya lebih memandang serius kesihatan saya.
Malah, saya cuba meluangkan lebih banyak masa bersama mereka yang tersayang. Pengalaman ini membuatkan saya sedar akan kepentingan orang di sekeliling saya seperti keluarga dan juga kawan-kawan rapat.”
Kempen ’To Combat Against Prostate Cancer’
Pengalaman peribadi yang dilalui Datuk Seri Nazir Razak, antara sebahagian daripada kisah-kisah kanser survivor di negara ini. Ramai lagi sebenarnya di luar sana yang senasib, tetapi mereka masih malu untuk mendapatkan rawatan mahupun bantuan.
‘Kesedaran mendapatkan rawatan awal’ inilah yang masih terus diperjuangkan. Kerana kanser sebegini masih boleh dirawat jika dikesan awal.
“Kempen ‘onlymencan’ memberi keyakinan kepada kaum lelaki, bahawa terdapat pelbagai perkara yang mereka boleh lakukam. Umpamanya bermain watak seperti Hang Tuah, namun kaum lelaki juga terdedah kepada masalah kesihatan yang secara eksklusif mempengaruhi mereka.
Khususnya, kami ingin menggariskan hanya lelaki yang boleh menghidap penyakit kanser prostat dan sembuh, sekiranya ia dikesan dan dirawat dengan awal.
Semoga dengan pendedahan ini, rakyat Malaysia dapat dididik dan disedarkan mengenai kanser prostat, risiko dan gejalanya.
Lebih daripada 60% kes kanser prostat di Malaysia didiagnosis lewat pada tahap-tahap terakhir, dan kami ingin mengurangkan peratusan itu kepada 30% menjelang 2025.” Jelas Datuk Seri Nazir lagi.
Menerusi kempen, secara amnya terdapat 2 kumpulan yang akan disasarkan,
Pertama adalah lelaki yang berusia 50 tahun ke atas kerana mereka adalah golongan
yang paling berisiko untuk mendapat barah prostat.
Kedua ialah ahli keluarga lelaki-lelaki tersebut seperti isteri serta anak-anak mereka kerana mereka dapat meyakinkan suami ataupun ayah mereka untuk menjalani ujian.
“Kempen ini merupakan kempen yang inklusif kerana walaupun bukan semua orang terdedah kepada penyakit itu, ada golongan yang memainkan peranan yang penting untuk membantu mengesan dan mencegah maka sangat penting untuk seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang mempunyai kesedaran mengenai ancaman penyakit kanser prostat.
Saya rasa memiliki kesedaran mengenai kanser prostat adalah sangat penting. Kanser prostat adalah salah satu kanser yang lebih mudah dirawat dan kadar pulih pesakit kanser prostat yang dirawat awal juga adalah tinggi, hanya jika dikesan awal.”
Awas! Lelaki Umur 50-an Ke Atas & Ada Simptom Ini
Jika seseorang lelaki yang berumur 50 tahun ke atas mempunyai gejala seperti perlu
membuang air kecil dengan kerap, sukar untuk membuang air kecil ataupun
mempunyai nafsu berahi (libido) yang rendah, mereka perlu berjumpa dengan doktor
yang berdekatan secepat mungkin untuk mengambil ujian “prostate specific antigen”
ataupun ujian PSA.
Dari ujian tersebut, doktor dapat menasihati pesakit untuk mendapat rawatan yang sepatutnya.
Semasa Ujian PSA, Ini Yang Anda Lalui
Ujian saringan kanser prostat yang pertama adalah melalui ujian PSA yang disebutkan
tadi, yang boleh didapati melalui ujian darah. Jika dapatan ujian PSA adalah tinggi
(lebih dari 4), doktor akan menasihati pesakit untuk melakukan MRI untuk
mengesahkan bahawa ada ketumbuhan. Kemudian, diikuti dengan biopsi untuk
mengesahkan jika ketumbuhan tersebut menjadi barah.
Pesakit tidak perlu terlampau risau kerana jika dikesan awal, pesakit juga boleh mendapati rawatan awal.
“Berdasarkan pengalaman saya, selepas prosedur biopsi tersebut mengesahkan bahawa ketumbuhan saya sudah menjadi barah, doktor cadangkan saya untuk menjalankan pembedahan secepat mungkin.
Selepas pembedahan tersebut, alhamdulillah saya pulih dengan sepenuhnya dalam beberapa bulan. Data menunjukkan bahawa kalau dirawat dengan awal, kadar ‘survival’ adalah setinggi 95%.” Ujar Datuk Seri Nazir lagi.
Jangan Malu! Berani Berdepan Dengan Kanser Prostat
Sebenarnya, tak perlu malu untuk membicarakan penyakit kanser prostat ini. Jelas beliau lagi, “salah satu cara adalah untuk mengetengahkan simptom-simptom kanser tersebut serta mengongsi pengalaman pesakit kanser prostat.
Terdapat stigma yang negatif bagi kanser prostat kerana ia berhubungkait dengan organ seksual, oleh itu ramai lelaki mungkin berasa malu untuk membincangkan simptom-simptom yang dihadapi. Kita harus menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan prostat.”
*Artikel diterbitkan dengan kerjasama Datuk Seri Nazri Razak sempena Kempen ’To Combat Against Prostate Cancer’
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KOTA TINGGI 16 Dis. – Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar di sini petang tadi.
Pelumba berasal dari Perak itu disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir kejuaran, kira-kira pukul 4 petang.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan memasuki pusingan terakhir daripada keseluruhan 15 pusingan perlumbaan itu.
Laporan berita seperti di atas yang terpampang di dada akhbar dan di laman web serta media sosial telah mengejutkan peminat sukan lumba motor dan rakyat Malaysia. Pemergian Mohd Hafiz memang tidak di sangka dan sehingga kini ahli keluarganya masih lagi bersedih dengan apa yang berlaku.
Ibu dan Bapa pelumba ini, Rohana binti Hamzah, 52, dan Nor Azman bin Mad Darus, 55, tidak mampu bercerita setiap kali ada yang bertanya mengenai kejadian yang berlaku. Keluarga pelumba motor ini menetap di Simpang Pulai, Ipoh.
Namun MW rasa berterima kasih kepada Nor Shaziela Binti Nor Azman, kakak sulung Allahyarham Mohd Hafiz yang sudi berkongsi cerita mengimbas kembali kenangan bersama adik tersayang. Berkali-kali wanita berusia 31 tahun ini memohon maaf kerana tidak dapat melayan permintaan penulis untuk ditemuramah sebelum ini.
Dua Kali Sehari Pergi Kubur Adik
Cerita Nor Shaziela tidak lama selepas adiknya meninggal dunia, dia dan ibu bapanya telah menunaikan umrah.
“ Sebenarnya setiap kali jika adik menang dan dapat berdiri di podium, dia akan belanja keluarga makan. Pada pertengahan tahun 2018, dia memang nekad setiap kali dia menang perlumbaan dia akan menyimpan duit untuk membawa ibu, ayah dan saya untuk menunaikan umrah.
” Segalanya sudah cukup. Malah sebelum dia pergi last race hari itu, memang dia ada beritahu saya yang dia akan buat bayaran ke umrah dan pergi menunaikan umrah selepas tamat perlumbaan. Tetapi impiannya itu tidak kesampaian.”
Dia dan keluarga masih bersedih dengan pemergian Mohd Hafiz, namun demi mahu menunaikan hasrat Allahyarham jugalah menyebabkan mereka meneruskan ziarah umrah tersebut.
“ Alhamdulillah, selepas kami menunaikan umrah, kami kuat sikit. Cuma kadang-kadang ini apabila teringat arwah adik, mesti kami akan sedih. Emak terutamanya, memang sedih. Sekarang ini dalam sehari dua kali kami pergi menziarah kubur adik.
” Emak sentiasa rindukan adik. Sebab itu dia masih menyimpan barang-barang lumba adik. Dia tidak bagi kami ubah sudut tempat meletak barang adik itu. Setiap kali dia rindu dia akan pergi ke sudut itu dan melihat dan memegang barang-barang lumba adik itu,” cerita Nor Shaziela dengan sayunya.
Mahu Ibu bapa Teman Ketika Berlumba
Mengimbas semula kejadian pada hari tersebut, Nor Shaziela dan adik-beradiknya yang lain menonton siaran langsung perlumbaan tersebut di rumah. Seperti biasa , ibu bapanya yang menemani Mohd Hafiz. Namun ketika kejadian, ibu bapanya duduk di lokasi lain dalam trek perlumbaan tersebut.
“ Setiap kali perlumbaan di dalam negara, adik memang mahukan ibu dan ayah pergi melihatnya berlumba. Sebab itu ibu dan ayah pergi. Kami adik-beradik melihat sahaja perlumbaan itu di televisyen.
” Pada hari Sabtu sehari sebelum kejadiaan, adik memang mencatat masa terpantas. Pada hari Ahad itu dia bermula di petak hadapan. Pada 2nd lap terakhir perlumbaan, ahli pasukannya terbabas dan melanggar papan tanda penaja.
” Adik tidak dapat mengelak dan melanggar kayu papan tanda yang telah dilanggar oleh ahli pasukannya itu.
” Setelah kemalangan adik dihantar terus ke hospital Kota Tinggi. Perjalanan dari trek ke hospital mengambil masa 1 jam. Saya dapat tahu semasa kejadian dia bernafas lagi. Tetapi tidak ada alat perubatan yang boleh diberi kepada dia.
” Jururawat yang Bersama dengan adik di dalam ambulan ada beritahu lebih kurang 20 minit lagi hendak sampai ke hospital barulah dia menghembuskan nafas terakhir.”
Nor Shaziela juga berkata ibu bapanya telah dibawa oleh pasukan adiknya menaiki kenderaan lain mengejar ambulan itu sehinggalah sampai di hospital. Namun sebaik sahaja adik sampai ke hospital doktor telah mengesahkan yang adiknya itu telah meninggal dunia.
“ Mak telah menelefon saya dalam pukul 6 petang beritahu adik sudah tidak ada. Ketika itu berada di rumah segera memberitahu saudara mara. Kami telah menguruskan apa yang perlu di rumah. Adik telah dikebumikan di tanah perkuburan Saidina Umar Al-Khatab, Simpang Pulai yang terletak berhampiran dengan rumah kami,” ujarnya sayu.
Ikut Minat Ayah Jadi Pelumba Motor
Mohd Hafiz anak ketiga dari 4 beradik. Cerita Nor Shaziela, adiknya memang minat bidang lumba motor kerana sebelum ini ayah mereka adalah pelumba cub prix era 90-an.
“ Adik bermula dengan pocket bike semasa umur 7 tahun. Selepas itu dia aktif dalam perlumbaan motocross dan seterusnya masuk dalam bidang cub prix pada tahun 2010. Kami sekeluarga memang menyokong minat dia itu. Kami juga sokong segala bidang yang dia ceburi.
” Hubungan kami memang rapat. Dia seorang adik yang baik, adik yang mengambil berat hal keluarga, dan sentiasa mahukan keluarga yang terbaik dalam apa pun.
” Kami tahu perlumbaaan motosikal ini memang berisiko tinggi. Sejak berkecimpung dalam bidang ini juga adik memang sudah banyak kali mengalami kecederaan akibat kemalangan tetapi kecederaan itu tidak teruk.
” Saya rasa walaupun dia sudah tidak ada, apa yang dibuatnya itu amat bermakna. Dia minat bidang ini. Kami sekeluarga sokong minat dia. Selain berlumba dia masih juga belajar di Politeknik Ungku Omar. Dia mengambil jurusan Kejuruteraan Mekanikal.
” Kami juga rasa kalau dia tidak minat lagi dalam bidang ini, mungkin dia akan berjaya satu hari nanti sebab pelajaran dia juga akan bagus,” ujarnya lagi.
Tiada Lagi Baju Raya Sedondon
Pada tahun sebelum keluarga ini menyambut Ramadan dan syawal dalam suasana yang meriah. Namun pada tahun ini suasara suram menyelubungi. Ini diakui sendiri oleh Nor Syaziela.
“ Sedih memang sedih pada tahun ini. Selalunya kami berenam. Pada tahun ini kami berlima. Baju raya sudah tidak sedondon lagi pada tahun ini. Tidak lengkap rasanya raya pada tahun ini.
” Bulan puasa ini, saya akan ingat saat kami bersahur. Adik suka sangat lauk ayam masak merah. Kalau ada lauk itu sudah pasti dia akan menambah nasi. Kami pasti akan gelak tengok dia berselera makan ketika bersahur.Tahun ini tidak ada lagi saat-saat begitu.”
Apa yang pasti Nor Shaziela pasti akan sentiasa merindui adiknya itu.
“ Adik seorang yang baik. Dia hormat ibu bapa dan orang tua. Dia tidak pernah tinggi suara. Dia juga suka menolong orang. Hafiz suka tengok orang lain gembira. Sibuk macam mana pun dia tidak akan tinggal solat. Itu sebab apabila dia sudah tidak ada sekarang ini kami rasa kehilangan yang amat sangat..
Saya pasti akan teringat gelak tawa dia. Ketika makan Bersama keluarga, kadan-kadang dia suka buat lawak. Saya juga rindu hendak tengok dia race,” luah Nor Shaziela mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!