Kalau anda perasan, memang berbeza sangat ayah zaman dulu-dulu dengan sekarang. Bab makan pun kena tunggu kaum ayah duduk semeja. Apa lagi bab uruskan hal rumah tangga. Semua mak-mak yang buat.
Larat tak larat itu nombor dua. Yang pastinya kebanyakan mak-mak dulu duduk rumah jaga anak, dan suami keluar cari rezeki. Jadi bila suami pulang, makanan dah elok terhidang di atas meja. Tetapi zaman 2018?
Menerusi perkongsian Puan Nieza Termizi inilah salah satu perbezaan yang ketara boleh kita lihat dari sudut kaum ayah, dah pandai uruskan anak-anak dan ada yang siap rajin masak untuk isteri walau penat bekerja pun masih tak hilang.
Pendek kata, sama-sama penat dan saling tolong menolong siapkan hal rumah tangga. Nah, jemput baca.
“Budak sekarang memang pandai sayangkan bapak”
Kata opah pada satu hari. Masa tu dia tengok cucunya berebut-rebut nak pada abahnya.
“Kenapa pulak opah?
Tanya saya hairan.
“Orang dulu-dulu takutkan bapak.”
Kemudian barulah saya faham. Orang dulu-dulu, ayah keluar cari rezeki. Keluar pagi pulang petang. Masa lebih banyak di luar daripada di rumah.
Mak pula suri rumah sepenuh masa. Jaga anak dan uruskan rumahtangga. Anak-anak lebih rapat dengan mak. Dengan ayah pula takut. Ayah garang bermuka bengis. Sekali ayah mendengus, lari jauh-jauh.
Kalau makan, yang lain tak boleh duduk sekali. Ayah lapar baru balik kerja. Bagi ayah makan dengan tenang dulu. Kemudian baru mak makan dengan anak-anak.
Bila ayah ada di rumah, anak-anak jangan sesekali buat bising. Ayah penat nak berehat. Masa ayah banyak di luar, biarkan ayah tenangkan fikiran tanpa gangguan suara anak-anak. Kalau banyak bunyi, siaplah!
Begitulah gambarannya ayah-ayah dulu-dulu. Ya, berbeza dengan ayah-ayah sekarang.
Berapa ramai ayah muda yang pandai ‘sayang’ dan bermesra dengan anak-anak. Ramai yang pandai mandikan dan salinkan pampers anak tanpa kekok. Tak kurang juga yang ringan tulang basuhkan berak anak tanpa rasa geli.
Ayah sekarang sudah rajin tolong isteri buat kerja rumah. Tambah-tambah bila kedua-duanya bekerja. Bila isteri sarungkan apron di dapur, ayah tolong tengokkan anak-anak supaya tak ganggu ibu. Walaupun ada yang sambil main game di telefon, itupun dah rasa syukur.
Ayah sekarang tolong isteri suapkan makan anak. Makan mesti bersama. Selesai makan, ayah bersihkan pula meja. Mulut dan baju anak habis comot sebab yang kecik tu nak makan sendiri. Belum lagi lantai yang kotor kerana tertumpah nasi dan air. Ayah tolong ibu bersihkan semuanya. Takpe..ibu dah penat memasak.
Ayah sekarang malam-malam ajar anak mengaji selepas solat. Kemudian tengokkan pelajarannya. Ayah latih si kakak menghafal sifir dan buat latihan kira-kira. Tiba masa tidur, anak-anak nak ayah tidurkan. Ayah buat bedtime story dan tepuk-tepuk anak sambil tertidur.
Ayah sekarang pagi-pagi tolong isteri buangkan sampah di luar bila tiba hari giliran lori sampah datang kutip. Kemudian menyidai pula pakaian di luar. Walaupun ibu yang minta tolong, sebab ibu bagi alasan, nak keluar kene tutup aurat dan bertudung. Tapi sebenarnya ibu nak latih ayah jadi pasangan yang suka tolong-menolong. Alhamdulillah ibu bersyukur.
Paling istimewa, ayah sekarang pandai jagakan anak-anak. Ibu nak tinggalkan sekejap sebab ibu nak ME TIME. Ibu nak masa sendiri. Ibu nak membaca, ibu nak main FB, ibu nak keluar shopping, ibu nak minum kopi dengan kawan-kawan, ibu nak pergi usrah dan ibu nak drive sorang-sorang. Ayah kata,
“No problem, sayang. Pergilah..abang tolong jagakan anak-anak”
Subhanallah..inilah sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumah tangga. Sering bertolak-ansur, sering tolong-menolong, bekerjasama dan saling melengkapi.
Tiada istilah,
Itu tugas seorang isteri
Itu tugas seorang ibu
Sebab ayah tahu, semua tugas tu adalah tugas KITA BERSAMA
TERIMA KASIH semua yang bernama AYAH dan SUAMI
TAG dan SHARE untuk ucapkan penghargaan kepada ayah.