Urus rumah tangga bukan tanggungjawab isteri semata-mata sebaliknya suami juga perlu turut serta seperti mengemas, memasak dan sebagainya. Ini hujah Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie yang perlu suami faham.
Hujahnya
Diceritakan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi s.a.w kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” – hadis riwayat Al-Bukhari.
Hadis ini menjadi bukti bahawa kaum suami sewajarnya membantu para isteri melakukan kerja-kerja di rumah dan di dapur.
Bermaksud isteri tidak wajib menyelenggara atau mengurus rumah. Isteri juga tidak diwajibkan memasak. Bererti jika isteri tidak uruskan rumah tangga atau tidak memasak, si isteri bukan nusyuz.
Ads
Tapi, sememangnya menjadi fitrah kaum wanita untuk menguruskan rumah tangga, sejak sekian lama, sejak zaman manusia hidup dalam gua lagi tatkala si lelaki keluar berburu maka si wanitanya menunggu bersama anak-anak kemudian apabila si lelaki balik bersama hasil buruan, maka si wanita yang menyediakan makanan dari hasil buruan tadi.
Isu yang jelas, kebanyakan pasangan suami isteri sekarang ni, bukan hanya suami yang keluar mencari rezeki sebaliknya si isteri juga keluar mencari wang membantu suami menampung perbelanjaan keluarga.
Kalau Rasulullah s.a.w, seorang kekasih Allah, masih boleh membantu isteri-isteri baginda dengan kerja-kerja di rumah, hebat sangatkah lelaki akhir zaman kini hingga enggan membantu isteri sedangkan isteri dah membantu anda menguruskan pembiayaan nafkah keluarga?
Ads
Syarat Isteri Wajib Memasak
Sama juga dengan memasak, hanya menjadi wajib dilakukan oleh isteri jika disuruh oleh si suami dengan syarat suaminya telah menyediakan segala bahan yang diperlukan atau memberikan wang yang bersesuaian bagi menyediakan hidangan yang disuruh oleh si suami.
Andai disuruh sahaja tanpa menyediakan keperluannya atau tidak memberikan wang yang perlu, si isteri berhak untuk tidak memasak. Dia juga boleh tidak membeli hidangan untu suami kerana tanggungjawab menyediakan makanan bukan tertanggung di bahu isteri sebaliknya dibebankan ke bahu suami.
Diceritakan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” – hadis riwayat Abu Daud.
Ads
Ingatan Untuk Suami
Ramai isteri tidak kisah bila suami kurang mampu membiaya keperluan (pengalaman dari kes-kes yang dikendalikan). Mereka bersedia membantu seikhlas hati tetapi mengharapkan pengertian dan penghargaan daripada suami. Sebab itu bila suami tak pandai urus rumah tangga:
1. Ringankan lah tulang melayan anak agar isteri dapat lakukan kerja rumah dengan selesa.
2. Kalau tak rajin nak tolong memasak, sesekali nyatakanlah pujian atas usaha isteri menyediakan hidangan. Menyenangkan hati isteri termasuk layanan yang baik yang menjadi tanggungjawab suami juga.
Sumber/Foto: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Walaupun kita beraya dalam suasana PKPB, bersyukurlah suami isteri dapat meraikan bersama keluarga. Kecuali buat suami isteri yang terpaksa berpisah buat sementara waktu. Bersabarlah.
Namun, railah syawal ini dengan penuh keceriaan sebab Ramadan mengajar kita banyak erti sebuah pengorbanan, erti kesusahan, kesabaran dan kasih sayang antara manusia. Jadi, sambutlah dengan penuh kegembiraan.
Antara perkongsian yang diberikan oleh Abang Arjuna (Faizul Rohban) tentang syawal untuk pasAngan suami isteri kembali bercinta.
Berikan Kemaafan
Raya sebelum ini, kita banyak melakukan amalan silaturahim, mula mudik ke kampung halaman dan ke rumah sanak saudara. Peluang keemasan ini perlu dijadikan titik permulaan agar setiap orang tidak berasa janggal untuk meminta dan memberi kemaafan, lantaran semua melakukan amalan yang sama. Sifat ini bukan sahaja menonjolkan peribadi muslim yang berbudi pekerti mulia, malah ia mencerminkan keindahan Islam sebagai agama yang benar dan tinggi.
Rapatkan Hubungan Suami Isteri
Begitulah dengan hubungan suami isteri. Syawal bukan sahaja diraikan dengan gembira, malah ia sepatutnya boleh memulihkan serta merapatkan lagi hubungan suami isteri. Selain Syawal itu bulan kebebasan dan bulan kemaafan, Ramadan telah mendidik kita tentang erti sabar dalam melayani alam rumahtangga.
Oleh itu, apabila kita sudah melepasi fasal pertama iaitu sabar dalam membina atau melayari rumahtangga, Syawal dilihat fasal untuk kita memulihkan serta menjernihkan kembali hubungan keluarga kita kepada tahap semaksimun mungkin. Ini kerana apabila sabar sudah bertakhta di hati maka agak senang atau mudah untuk kebahagiaan menerobos ke dalam jiwa pasangan. Ia seolah-olah panahan yang tepat terkena pada hati dan sukar lagi untuk dileraikan.
Saat itu hanya nikmat bahagia yang kita kecapi, ia seolah-olah kita berada di dunia khayalan cinta yang sangat indah. Apa jua masalah yang datang dapat diatasi dengan mudah malah hubungan menjadi semakin erat.
Begitulah cinta dan kasih sayang dalam diri pasangan suami isteri. Cinta perlu dilihat dari sudut yang sangat berbeza, ia tidak boleh dinilai atau dibandingkan dengan hidup pasangan lain. Setiap cinta yang Allah SWT anugerahkan kepada setiap pasangan adalah berbeza-beza.
Corak Rumah Tangga Bersama
Cinta bukanlah untuk ditonjolkan di dalam Facebook, Instagram, atau mana-mana media sosial, tetapi ia untuk dirasai oleh pasangan kita. Ini kerana keluarga yang dibina atas dasar mawadah war-rahmah dan saling ta’awun (tolong-menolong) maka rezeki yang datang akan terasa manisnya dan jika ujian yang datang melanda, suami isteri tidak saling salah menyalah antara satu sama lain tetapi bermuafakat bersama untuk selesaikan masalah tersebut.
Begitulah dengan kita, Syawal yang datang pada tahun ini sepatutnya menjadi satu platform untuk kita menambahkan lagi kecintaan, ukhuwah, saling memahami antara pasangan hidup kita. Jangan biarkan Syawal ini berlalu pergi begitu sahaja tanpa kita dapat merasakan atau memulihkan hubungan kita suami isteri.
Niatkan di dalam hati bahawa Syawal ini adalah Syawal yang paling manis di dalam hidup kita suami isteri dan ia akan membawa kita ke arah satu dimensi baru. Tiada lagi pergaduhan, tiada lagi tunding jari tetapi saling suap menyuap saling bermanja dan saling kasih-mengasihi.
Lihatlah Syawal ini sebagai Syawal terakhir untuk kita bersama pasangan kita kerana belum tentu kita akan berjumpa dengan Syawal pada tahun akan datang. Jadi bertitik tolak dari sini kita berjanji untuk membahagiakan pasangan masing-masing dan ingin melalui setiap detik indah bersama.
Maka jadikan Syawal tahun ini sebagai Syawal untuk kita memperbaiki, menampal, memulihkan hubungan kita bersama yang tersayang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap isteri berdoa mengharapkan suami jatuh cinta hanya kepada dirinya sahaja, tetapi mungkin usahanya tidak sekuat doanya, ikhtiarnya tidak sebesar pengharapannya.
Pengorbanan isteri tiada siapa yang menafikan tetapi kadang kala isteri lupa cara dia melihat dirinya sendiri. Dia berasa terlalu sempurna dan tak terkalahkan, sentiasa hebat dan tak bersalah.
Penyelamat Hubungan
Sifat dan tabiat sebegini amat tidak elok dalam semua jenis perhubungan. Perhubungan antara kawan atau antara keluarga, apatah lagi antara suami isteri. Sungguh hati yang bertakwa dan akhlak yang mulia adalah penyelamat dalam setiap perhubungan manusia.
Allah SWT berfirman: “Setiap sahabat karib akan bermusuhan kelak di hari kiamat kecuali mereka yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf: 67)
Suami yang memilih isteri kerana rupa akan menemui kebosanan bila kecantikannya mula sirna. Begitu juga harta, pangkat dan kedudukan akan musnah akhirnya. Namun yang tidak pernah hilang dari jiwa seorang suami dan tetap indah di matanya hanyalah isteri yang kaya dengan amal kebaikan, akhlak mulia, takwa dan pengorbanan yang membuat suami tak boleh melupakannya.
Bergantung hanya kepada Allah SWT
Mustahil mata lelaki tidak tertarik apabila melihat kesempurnaan dan kecantikan wanita yang lebih hebat dari isterinya sendiri, namun tidak mustahil semua bagi Allah jika Dia mentakdirkan segala sesuatu tidak terjadi maka tidak akan terjadi.
Jika isteri yakin dengan kuasa Allah yang mampu menjaga hati suaminya dan dia amat sangat dekat hubungannya dengan Allah maka tidak mustahil doanya agar suami setia akan didengar Allah.
Doa terbaik Isteri
Doa isteri yang terbaik adalah doa yang telah dirakamkan dalam Al-Quran: “ Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami tertarik kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami dan Kurniakanlah kami Rahmat (kasih sayang) dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Karunia.” (Surah Al-Imran ayat: 8)
Namun begitu doa bukanlah angan-angan kosong bahkan perlu untuk diperjuangkan dan diusahakan menjadi nyata dengan ikhtiar yang sebenar-benarnya. Suami hanya akan jatuh cinta bila hatinya telah merasai ketenangan dalam rumah tangga. Jika belum maka dia akan terus mencari ketenangan di tempat lain, dalam pencarian cinta yang tak pernah selesai. Jangan biarkan suami jatuh cinta dengan wanita-wanita lain kerana dia tidak menemuinya dalam hati isterinya sendiri.
Zuhud dalam bercinta
Tidak dinafi, suami banyak kekurangan tapi begitulah sifat manusia yang hanya mementingkan diri, tidak pernah puas dan cepat tertarik hati pada yang lebih baik dari yang dia miliki. Dan sifat wanita pula amat sensitif dengan perasaannya yang apabila mencintai akan cuba menguasai.
Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat baginda, “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang apabila aku mengamalkannya Allah dan seluruh manusia akan mencintaiku. Rasulullah s.a.w bersabda: “Zuhudlah engkau di dunia nescaya Allah akan mencintaimu dan zuhudlah engkau terhadap apa-apa yang ada pada manusia nescaya manusiapun akan mencintaimu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah disahihkan ole Al-Albani).
Tak Susahkan Suami
Zuhud dengan harta suami bermakna tidak menyusahkannya dengan apa yang tidak mampu ditunaikannya. Ini adalah rahsia yang membuat suami jatuh cinta kepada isteri. Sifat isteri yang zuhud tidak mungkin memberi tekanan pada suami, apabila dia pulang yang dirasainya hanya ketenangan dalam pelukan isterinya.
Zuhud juga diperlukan dalam hal perasaan, jangan sesekali isteri menuntut apa yang suami tak mampu bagi dalam hal keperluan bathinnya kecuali apa yang menjadi hak isteri. Jangan mudah merajuk bila suami kurang memperhatikan, mudahkanlah jangan menyusahkan. Inilah ketenteraman yang amat diperlukan para suami apabila pulang ke rumah.
Rumah Di Syurga
Cinta sejati matlamat terakhirnya adalah syurga di akhirat. Apa-apa yang diusahakan isteri untuk membuat suaminya jatuh cinta adalah ibadah di sisi Allah. Indahnya syariah Allah, sehinggakan dalam bercintapun ada pahala. Syurga yang paling rendah tingkatnya umpama 10 kali dunia dan segala isinya, malangnya tiada siapa boleh melihat sekarang bagaimana kedudukannya nanti di akhirat. Isteri solehah rumahnya bukan hanya di dunia tetapi Allah telah bina untuknya di syurga.
Jibril telah turun membawa salam dari sisi Allah kepada Khadijah yang memuji layanan Khadijah yang amat zuhud dan ikhlasnya menghidangkan makanan setiap kali Rasulullah lapar.
Jibril berkata: “Wahai Rasulullah dialah Khadijah yang datang menghidangkanmu makanan dan minuman, jika dia datang kepadamu sampaikanlah salam dari Allah dan daripadaku juga. Beritahukan pula rumahnya di syurga terbuat dari emas dan perak yang di sana tiada kebisingan dan kepayahan.” (Hadis al-bukhari dan Muslim)
Sungguh isteri-isteri yang mengabaikan layanan kepada suaminya sungguh mereka telah lupa tentang rumah yang terbuat daripada emas dan perak itu, peliknya mereka boleh berangan-angan mendapat cinta sejati!
** Artikel ini telah dikongsi oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga penulis tetap ruangan Keluarga Sakinah di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Jodoh Terpisah Selepas Tiga Tahun
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Bahagia Hanya Sementara
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Tuntut Cerai
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Berkenalan
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Keluarga Soal Jodoh
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Selidik
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ambil masa Kenal Hati Budi
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Berbeza
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...