Kerohanian

Besar Pahala, Anak-Anak Jom Bantu “Kirim” Saham Akhirat Untuk Ibu Bapa Yang Telah Meninggal Dunia

Share

Dalam kehidupan ini, setiap anak pasti menginginkan yang terbaik untuk ibu bapa mereka, sama ada semasa mereka masih hidup ataupun setelah mereka meninggal dunia.

Salah satu cara paling bermakna dan penuh dengan keberkatan untuk menunjukkan kasih sayang dan penghormatan kepada ibu bapa yang telah pergi adalah dengan mengirimkan saham akhirat kepada mereka melalui amalan wakaf.

Sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan wakaf? Wakaf merujuk kepada tindakan menderma harta, seperti tanah, bangunan, atau wang, untuk manfaat awam secara berterusan, di mana manfaat dari harta tersebut akan digunakan untuk tujuan kebajikan selagi harta tersebut kekal. Amalan ini memberikan banyak kebaikan, baik dari segi agama, sosial, mahupun ekonomi.

Wakaf juga dikatakan sebagai ‘ladang untuk mengumpul saham akhirat’. Bayangkan jika kita mewakafkan sebidang tanah untuk pembinaan masjid atau sekolah. Setiap kali masjid itu digunakan untuk solat atau sekolah itu digunakan untuk mendidik anak-anak, pahala akan terus mengalir kepada kita, selagi manfaatnya dirasai oleh orang lain.

Wakaf adalah satu bentuk pelaburan yang tiada bandingannya di dunia, kerana ia berterusan memberikan pulangan pahala walaupun kita sudah tidak lagi berada di dunia ini.

Hadiah Paling Berharga

Wakaf juga merupakan hadiah paling berharga yang boleh kita berikan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Ramai di antara kita mungkin merasa kehilangan apabila orang yang kita sayangi meninggalkan dunia. Salah satu cara untuk terus memberi manfaat kepada mereka adalah dengan mewakafkan sesuatu atas nama mereka.

Sebagai contoh, jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, kita boleh mewakafkan sebidang tanah, sebuah telaga, atau sebahagian harta yang kita miliki dengan niat supaya pahala yang diperoleh daripada wakaf tersebut disedekahkan kepada mereka. Ini adalah salah satu cara, tanda kita terus menghormati dan menyayangi mereka, walaupun mereka sudah tiada.

Juga baca: https://www.mingguanwanita.my/saya-tak-sampai-hati-lihat-mereka-menderita-tukang-cuci-wakaf-mesin-dialisis-rm80000/

https://www.mingguanwanita.my/wakafkan-van-jenazah-tak-sangka-jadi-kenderaan-terakhir-kawan-baik-sendiri/

https://www.mingguanwanita.my/datuk-rosyam-pesan-jangan-buat-wakaf-dosa-menfitnah-kalau-netizen-nak-buli-memang-tak-kisah-pun-ia-tak-jadi-kudis/

Salah satu kelebihan terbesar wakaf adalah ganjaran pahala yang berterusan. Nabi Muhammad SAW bersabda,

“Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, atau doa anak yang soleh.” (Hadis Riwayat Muslim).

Ini bermakna, wakaf adalah satu amalan yang akan terus memberikan pahala kepada pewakaf walaupun setelah mereka meninggal dunia. Harta yang diwakafkan akan terus memberi manfaat kepada orang lain, dan selagi manfaat itu diterima, pahala akan terus mengalir kepada pewakaf.

Wakaf secara umumnya mendidik umat Islam tentang pentingnya tanggungjawab sosial. Dengan mewakafkan harta, individu diajar untuk berfikir tentang kepentingan jangka panjang dan bagaimana mereka dapat memberi sumbangan yang berterusan kepada masyarakat. Ini memupuk nilai-nilai kemanusiaan seperti keprihatinan, kedermawanan, dan kesedaran sosial, yang merupakan inti pati ajaran Islam.

Susah ke nak berwakaf?

Persoalan ini sememangnya menjadi pertanyaan di kalangan masyarakat yang masih ‘hijau’ dalam soal wakaf ini. Terdapat pelbagai cara untuk berwakaf, antaranya melalui kaunter-kaunter PPZ-MAIWP, potongan wakaf bulanan, ejen-ejen yang dilantik atau lebih mudah, layari wakafppz.com.my

Pembelian peralatan hospital juga boleh diinfak sebagai zakat yang membantu lebih ramai pesakit mendapatkan manfaatnya.

Melalui laman web tersebut, akan diberikan pilihan untuk memilih jenis wakaf yang ingin ditunaikan. Antara jenis wakaf yang biasanya ditawarkan termasuk wakaf tunai, wakaf hartanah atau wakaf projek tertentu seperti pembinaan masjid, sekolah, atau hospital. Pilih jenis wakaf yang diinginkan untuk memahami tujuan dan manfaat wakaf tersebut.

Lebih istimewa, setiap jumlah wakaf yang ditunaikan oleh individu atau syarikat juga berpeluang menikmati potongan cukai sehingga 10% daripada pendapatan agregat yang diperakui LHDN!

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Rosmah Idayu