Persoalan yang sangat cliché, namun berapa ramai yang menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan. Sememangnya, pasti mengatakan pada awal hubungan perkahwinan, pasangan akan sangat menjaga hati tetapi apabila sudah lama berkahwin, usaha ke arah itu semakin pudar.

Sifat untuk menjaga hati pasangan bukan lagi menjadi keutamaan kerana masing-masing saling mengharapkan agar difahami. Malah, saling mengharapkan dan tidak mengusahakan adalah antara punca berlakunya keretakan dalam rumah tangga. Inilah antara kupasan oleh Mohd Shariman Che Deris pada topik kali ini.

Berusahalah Jaga Hati Pasangan Walaupun Mungkin Pernah Terasa Hati Sepanjang Kahwin
.

Fasa Perkahwinan
Bagaimana untuk menjaga hati pasangan? Sebenarnya, ada empat fasa perkahwinan iaitu setiap satu fasa ini memerlukan kaedah yang berbeza.

Fasa Bulan Madu – Usia Perkahwinan Bawah Lima Tahun

IKLAN
  • Fasa ini segalanya indah dan masing-masing masih tenggelam dalam lautan membaranya cinta. Setiap satu bicaranya manis, tingkah lakunya terlindung tanpa tersadung, pasangan akan berusaha memperlihatkan dirinya sebagai perfect di mata suami/isteri.

Fasa Pasakan Cinta – Usia Perkahwinan Antara 6 Hingga 10 tahun

  • Mula menghidu kekurangan pasangan masing-masing, proses menyesuaikan dan pasakan cinta sangat penting pada fasa ini. Isteri mula tahu suaminya kaki pancing manakala suami mula tahu isterinya tidak suka bergaul dengan kawan-kawannya dan macam-macam lagi perkara mula terbongkar tentang pasangan.
  • Setiap pasangan perlu kembali belajar untuk menerima, hidup bersama dan meraikan kekurangan pasangan. Cinta wajib dipasak semula dalam fasa ini.

Fasa Cinta Sejati – Usia Perkahwinan Antara 11 Hingga 20 Tahun

  • Masing-masing mula mengenali hati budi kerana fasa ini semakin kritikal jadinya dan tidak mustahil perceraian boleh berlaku atas alasan tidak serasi, haluan berbeza dan pelbagai seribu satu macam alasan kononnya telah lama bersabar.
  • Fasa ini akan membentuk jati diri dalam rumah tangga, memperkuatkan rasa hati dan keteguhan cinta rumah tangga.
  • Tidak boleh diremehkan fasa ini dengan berkata “Kami sudah berkahwin 15 tahun, dia sudah kenal siapa aku. Tak perlu lagi aku nak menjaga hati isteri aku, dia dah faham aku” Ini antara kesilapan besar dalam fasa ini.

Fasa Syurga Cinta – Usia Perkahwinan Selepas 20 Tahun

IKLAN
  • Sepatutnya, ini adalah fasa yang sangat mendamaikan. Tempoh fasa ini mengatakan cinta itu wujud setiap kali melihat wajah pasangan. Fasa yang tidak lagi, hati mudah koyak, jiwa mudah sentap yang akhirnya membawa diri merajuk tanpa hala tujunya.
  • Fasa ini tidak lagi kita mencari cinta kerana kita sedang bercinta. Namun kita juga pernah mendengar tentang perceraian di usia 40 tahun perkahwinan, benar?
  • Inilah pentingnya cinta di belai dan di bajai sentiasa biar pun berapa usia perkahwinan kita kerana matlamatnya adalah masuk syurga Allah SWT atas asbab pintu reda dan bahagia pasangan.

Tip Jaga Hati Pasangan

1.Fahami Kemampuan Fizikal

IKLAN
  • Ramai terlepas pandang soal ini hingga menyebabkan pasangan berkecil hati. Fahami soal kemampuan kewangan pasangan, meminta-minta ada batasannya dan tidak boleh ditafsirkan sebagai kemanjaan semata.
  • Pasangan tetap akan mengusahakan apabila isteri @ suami meminta namun ia sudah jadi beban, hati akan calar kerana dianggap gagal memahami soal kemampuan pasangan.
  • Malah dalam aspek kekuatan fizikal pasangan juga satu perkara yang mesti difahami, suami tidak boleh mengharapkan isteri untuk tetap sibuk di dapur jika dirinya tidak sihat atau isteri mengharapkan suaminya mampu mengangkat barang berat dalam keadaan si suami lemah dan tidak berdaya, tiada kekuatan. Apabila wujud kefahaman bersama, kita akan melengkapi di mana ada kekurangan pasangan.

2.Hayati Jiwa Dan Semangat

  • Ada waktunya jiwa dan semangat pasangan ini tidak sama sebagaimana kita hayati dan terima dengan baik sebelum ini. Semangat untuk menghias rumah di kala menjelangnya hari raya, jiwa tersentuh dan menangis di waktu cerita Korea atau semangat berniaga untuk menampung perbelanjaan keluarga.
  • Selagi mana jiwa dan semangat ini adalah baik dan bukan mungkar, kita wajar menunjukkan semangat dan jiwa yang sama, berada dalam satu zon bersama pasangan. Inilah kata sesetengah orang muda sebagai ‘ada zing’ dengan pasangan.

3.Terima Dan Raikan Emosi

  • Jangan sesekali diperlekehkan, sebaliknya terima dan raikan emosi pasangan. Apabila isteri balik bekerja dan tiada mood kerana masalah di tempat kerja, suami patut bersama dengan isteri. Apabila suami di buang kerja dan risau akan keluarga, isteri perlu ada di samping. Apabila berlaku kekusutan dalam rumah tangga, pasangan perlu bertenang dan fahami emosi, tidak perlu cepat melatah.
  • Soal emosi adalah sangat subjektif dan sukar untuk ditafsirkan kerana itu setiap pasangan perlu banyak bercakap-cakap dan menyelami emosi.

4.Hadamkan Pemikiran

  • Betul, sangat sukar untuk kita menyamakan cara fikir dengan pasangan. Namun, tentunya tidak juga sukar untuk kita menahan diri daripada membantah pemikiran pasangan.
  • Pemikiran dan ideanya tidak sama, jadi apakah perlu dibantah ketika itu atau bertenang dahulu dan berikan pula pandangan kita tanpa mengusutkan keadaan.
  • Idea adalah hanya idea dan hanya datang seimbas lalu, kerukunan dalam rumah tangga adalah lebih penting. Lihat dalam sudut pemikiran pasangan dan simpan dulu ego ketat-ketat, sebagaimana kita melihat cawan daripada sudut pandang yang sama.

Apakah hati tidak akan terguris? Apakah di sepanjang usia perkahwinan, tidak sedikit pun hati tercalar? Berusahalah untuk menjaga hati pasangan dan insya-Allah ketidak sempurnaan kita akan juga diterima dengan sebaiknya oleh pasangan dan kebahagiaan rumah tangga.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI