Berusaha Beri Duit Belanja Kepada Keluarga, Itu Tanggungjawab Suami!

Share

Bertuahnya seorang isteri, apabila mempunyai suami yang benar-benar faham dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mencukupkan urusan nafkah dan duit belanja untuk isteri serta perbelanjaan keluarga.

Duit belanja juga merupakan satu keperluan dan nilainya mengikut kemampuan namun sering dipandang remeh oleh pihak suami. Apatah lagi, sekiranya isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

Pesanan buat para suami, berusahalah beri duit belanja kepada isteri dan keluarga.Jemput baca perkongsian mengenai duit belanja daripada Dr Ahmad Zakimi Abdullah ini sebagai panduan;

“Nanti Ita check atas meja. Kot ada apa-apa rezeki ya. Love you.”

Biasanya aku akan menghantar whatsapp begitu jika aku siap dulu ke tempat kerja setiap pagi. Jika isteri pergi dulu, biasanya dia akan periksa sendiri atas meja apa yang ada sambil-sambil dia sediakan sarapan pagi untuk kami.

Jika sempat, aku kongsikan sepotong ayat Alquran atau hadis pada nota. Kalau tak sempat aku hanya tinggalkan nota ringkas atau hanya duit saja.

Tanggungjawab Suami

Setiap hari aku akan bagi duit belanja makan minum untuk kami sekeluarga. Bermula dari 18 tahun lepas lagi. Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.

Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Almaklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi.

“Abang, takyah lah bagi duit belanja banyak sangat. Ita pun kerja. Ada gaji,” ujar isteri.

“Eh mana boleh. Belanja makan dan pakai keluarga mesti abang. Itu kan nafkah. Tanggungjawab abang. Jangan sesekali guna duit ita,” balas aku.

Duit Isteri Belanja Diri Sendiri

Duit isteri adalah untuk belanja diri dia sendiri. Bukan untuk keluarga.

Setiap kali aku memberi, isteri akan tanya, “Eh abang! Banyak sangat ni. Nanti abang tak cukup duit lak.”

“Alah tak banyak mana pun. Abang ada lagi ni,” balasku. Itu selalu akan aku jawab.

Tak ternilai dengan wang ringgit pun pengorbanan seorang isteri kepada kita dan keluarga.

Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan.

“Alah, takde duit. Benda boleh settle lah. Kita kan anak jantan” – aku bermonolog kadang-kadang.

Beri Ikut Kemampuan

Rezeki sikit, sikit lah. Jika banyak maka banyak lah. Ikut kemampuan. Alhamdulillah, masih cukup untuk kami sekeluarga.

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa’ : Ayat 31)

Segala makan minum, pakaian, rumah, kereta, pendidikan anak-anak dan lain-lain keperluan rumahtangga aku yang bertanggungjawab. Itu kewajipan. Itu juga prinsip aku.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
(Surah al-Nisa’ ayat 34)

Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai Allah.

Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami.

Semoga si suami seluruhnya dimurahkan rezeki. Amin.

Dr Zek

Baca Lagi disini: Tunaikan Apa Anak Isteri Inginkan, Balasannya Berlipat Ganda Dari Nilai Dikeluarkan

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan dan rujukan. Pesanan buat para suami, jika ingin rezeki melimpah ruah, berusahalah tunaikan nafkah dan keperluan buat isteri serta anak-anak. Jangan abaikan kepentingan beri duit belanja, tak kiralah berapa pun jumlahnya mengikut kemampuan diri.

Sumber: Ahmad Zakimi Abdullah

Published by
Suhaidah Abd Wahab