Cuti kemerdekaan bertukar tragedi, bapa lemas ketika selamatkan anak. Niat seorang bapa yang membawa keluarga bercuti di Pulau Pinang sempena cuti kemerdekaan bertukar menjadi igauan ngeri apabila dilaporkan lemas ketika cubaan menyelamatkan anak lelakinya yang dilihat tergapai-gapai ketika mandi di Pantai Miami, Jalan Batu Feringgi.
Dalam fb terakhirnya, Ustaz Haryadi Salleh dilihat sempat memuat naik gambar keluarga sebagai kenang-kenangan sempena cuti kemerdekaan sebelum terjadinya tragedi menyayat hati ini.
Bertukar Nyawa Di Hari Kemerdekaan
Gambar terakhir dimuat naik arwah di fbnya sebelum lemas dalam cubaan menyelamatkan anak keduanya yang dilihat hampir tenggelam ketika mandi manda di pantai Miami, Batu FeringgiInilah gambar kenangan akhir mereka bersama seisi keluarga
Memetik laporan Harian Metro, kegembiraan tiga beranak berkelah sempena cuti Hari Kebangsaan di tepi Pantai Miami di Jalan Batu Feringgi, di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa, Haryadi Salleh, 43, tenggelam sewaktu cuba menyelamatkan anaknya yang berusia 13 tahun yang hampir lemas.
Anak mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.
Bapa Lemas Ketika Cuba Selamatkan Anak
Dilaporkan arwah membawa keluarga bercuti untuk mengurangkan tekanan belajar dan memenangkan anak sulungnya yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini selain mahu menghantar anak keduanya ke asrama sebuah sekolah agama di Kedah.
Semua barangan juga sudah dibawa namun perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya apabila arwah yang juga guru agama mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Itam, Kedah.
Ads
Jenazah arwah akan disemadi berhampiran pusara anak mereka yang meninggal selepas dilahirkan 10 tahun lalu
Seorang rakan arwah, Nurul Husna yang juga kawan baik kepada isteri Ishafinaz Ismail yang ditemui di di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini berkata, jenazah arwah akan disemadi berhampiran pusara anak mereka yang meninggal selepas dilahirkan 10 tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Tanjung Bungah (PA) Leftenan Mohd Lili Ibrahim berkata, mangsa ditemukan kira-kira 70 meter dari menara tinjau Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan empat anggota penyelamat mengambil masa hampir 20 minit untuk membawanya ke pantai.
Beliau berkata, mangsa kemudian diberi rawatan awal dan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.
“Kes diserah kepada polis sebelum mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bagi tindakan lanjut,” katanya memaklumkan mangsa yang berasal dari Kedah dikatakan datang bercuti ke Pulau Pinang bersama isteri dan anaknya.
Dalam kes berasingan, Mohd Lili berkata, pihaknya turut menyelamatkan dua kanak-kanak berusia lima dan enam tahun yang hampir lemas di Pantai Bayu Senja di Batu Feringgi.
Ads
Kejadian berlaku jam 2.50 petang dengan kedua-dua mangsa kini berada di hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, lapan anggota termasuk dua dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba di lokasi sejurus menerima panggilan.
“Keadaan ombak ketika itu tidak bergelora walaupun selepas hujan dan pantai dipenuhi pengunjung yang berkelah serta mandi manda,” katanya.
Pasangan “Sugu Pavitra” yang dikenali ramai menerusi video masakan yang bersahaja, serba sederhana dan menggunakan bahasa Melayu dikatakan pasangan yang harus dijadikan contoh atau ikon dalam masyarakat.
Namun begitu, pasangan ini merasakan diri mereka belum layak digelar ikon. Sugu Pavitra juga seperti pasangan “biasa”yang lain. Mereka bukanlah pasangan yang sempurna dan masih banyak perlu belajar.
Hargai Pujian Masyarakat
Walaupun begitu, pasangan pengguna YouTube sensasi ‘Sugu Pavithra’ menghargai pujian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap mereka, sehingga ada yang melabelkan mereka sebagai duta perpaduan.
Malah, tidak kurang juga menyifatkan suami isteri itu wajar dijadikan ikon masyarakat.
Ini kerana, video masakan mereka yang dimuat naik di saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ dengan menggunakan Bahasa Melayu, diikuti rakyat pelbagai kaum daripada segenap lapisan umur termasuk pelanggan dari luar negara.
Bagaimanapun, S Pavithra, 28, dan suaminya M Sugu, 29, yang baharu berjinak-jinak sebagai pengguna YouTube pada akhir Januari lalu berasakan mereka belum layak untuk diangkat sebagai duta perpaduan atau ikon tertentu termasuk masakan.
Bukanlah Pasangan Sempurna & Tak Layak
Pavithra, ibu kepada dua anak berumur dua dan enam tahun yang fasih berbahasa Melayu juga menjelaskan, mereka bukanlah pasangan yang sempurna dan masih ‘mentah’ sebagai pengguna YouTube.
“Kami hanya rakyat biasa sahaja, nak jadikan ikon itu sesuatu benda yang besar bagi kami, sesuaikah untuk kami?
“Kami belum layak kerana untuk jadi ikon kena sempurna, tiada yang sempurna dekat kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pengikut Anggap Mereka Layak
Ramai pengikut saluran YouTube ‘Sugu Pavithra’ menyatakan pasangan itu layak dijadikan duta perpaduan kerana berjaya mengumpulkan rakyat pelbagai kaum dalam saluran mereka dan melontarkan pesanan positif.
Semakan Bernama juga mendapati, terdapat pengikut di luar negara yang turut meninggalkan komen positif antaranya berkongsi klip masakan dengan rakan lain serta memuji kelembutan Pavithra dalam mengendalikan video.
Pavithra turut berkongsi berita gembira menerima pendapatan bulan ketiga daripada YouTube dengan jumlah agak lumayan.
Katanya, wang itu akan digunakan sebaik mungkin kerana suaminya sudah berhenti kerja dengan sebuah syarikat perladangan di Sungai Siput, pada minggu lalu.
Nekad Lakukan Lebih Banyak Video Kerana Hilang Kerja
Positif terhadap apa yang berlaku, Pavithra berkata, dia dan suami nekad untuk terus menghasilkan klip video masakan yang menarik selain mencari idea lain untuk dikongsikan dengan pengikut yang ada.
“Sekarang suami tidak bekerja dan apa yang berlaku tidak dijangka (mempunyai ramai pengikut), pendapatan pun ok, maka kami nak fokus sebagai pengguna YouTube,” katanya yang turut berazam untuk memiliki rumah sendiri satu hari nanti.
Sementara itu, Sugu berkata, dia memilih untuk berhenti kerja atas dasar tanggungjawab kerana tidak mahu kerja hakikinya sebagai pekerja ladang terganggu disebabkan memberi tumpuan sebagai pengguna YouTube.
“Sebelum ini, kerap ambil cuti sebab bila ramai datang rumah saya kena tolong isteri jaga anak yang masih kecil.
“Jadi sekarang kami mahu fokus buat video menarik supaya dapat tingkatkan lagi pelanggan dan dapat gaji lebih,” katanya.
MW: Semoga pasangan Sugu Pavitra terus menghasilkan video masakan yang menarik dan menjadi inspirasi kepada pasangan lain untuk bekerjasama di dapur.
Sumber: Bernama
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kehidupan Norhakilah Ali, 46, diuji sebaik suami disahkan alami masalah mata. Hilanglah mata pencarian dari suami. Terpaksalah ibu tiga anak ini meneruskan pekerjaan sebagai tukang cuci di bilik bedah dekat sebuah hospital di Kedah.
Demi nak cari duit, Norhakilah yang membahasakan dirinya Kak Ilah ini bekerjalah siang dan malam. Membanting tulang empat kerat, tak kira siang atau malam.
“Segala perbelanjaan keluarga semua atas bahu saya. Suami yang tak dapat bekerja akibat masalah mata. Sejak itu, ekonomi keluarga kami mengalami masalah.”
Beban hutang dan perbelanjaan anak-anak sekolah buat Kak Ilah makin tak lena tidurnya.
“Hari-hari saya menungkan nasib keluarga. Lagi-lagi, sayalah tulang belakang keluarga sekarang. Memang tak ada orang lain yang boleh diharapkan.”
Kakak Takut Hendak Mulakan
Cerita kesusahan kakak cukup diketahui adiknya, Nurul Husna Ali, 31 tahun. Semasa kakaknya bersusah payah itu, dia masih lagi bekerja di Kuala Lumpur.
Husna juga tahu yang kakaknya ada membuat kerja sambilan membuat kerepek pisang demi menampung keluarga. Dah lebih 10 tahun pun kakaknya buat kerja sambilan itu. Tapi masih ditakuk yang sama.
“Kerepek pisang ini sudah lama saya usahakan, tetapi saya akan buat bila ada permintaan sahaja kerana waktu saya terbatas. Ada juga saya perlu tolak permintaan mereka.”
Husna tahu kakaknya boleh berjaya jika tahu cara bagaimana mahu menjadikan perniagaan kerepek pisangnya berjaya dan melebar luas pasarannya.
Jadi, dia beritahu pandangannya tentang apa yang kakak perlu lakukan. Kakak dengar saranannya tapi kakak tak mahu laksanakan.
“Dia takut kalau idea yang saya kongsikan itu nanti memakan diri. Tak berjaya. Mana nak bayar hutang.. mana nak sara hidup anak-anak. Sudahnya tak menjadi.”
Syukurlah Husna tak pernah berputus asa dan tetap dan berjaya memujuk kakak dengan bersyarat.
Ini Syarat Yang Adik Letak Dekat Kakak
Waktu itu, Husna masih lagi bekerja di Kuala Lumpur. Niat nak bantu kakak, Husna beritahu kakaknya yang dia mahu berhenti kerja dan fokuskan perniagaan kerepek yang dilakukan kakaknya secara sambilan.
“Saya yakinkan kakak. Beritahu yang saya tahu cara nak pasarkan selain secara tradisional. Akhirnya kakak setuju nak berhenti kerja.” Maka pada awal Mac 2018 kakaknya buat kerepek sepenuh masa.
“Masa itu, saya beri suntikan modal dan dalam masa yang sama sokongan moral. Mulalah saya buatkan perancangan supaya kakak nampak apa yang kena kami lakukan untuk lebih maju dan capai income untuk sebulan.”
Husna pun mulakan platform online dengan membuat fb page Maryam Golden Crunch. Diam tak diam, dari setandan pisang itu, hari ini adik beradik ini dah boleh hasilkan dekat 10 ke 20 KG kerepek pisang dipasar sekitar Kedah dan Selangor.
“Tugas emak mengupas kulit pisang, suami pula cari pisang di pelosok kampung. Ada juga guna pisang yang ayah tanam. Tapi masih belum cukup permintaan. Semuanya dihasilkan secara manual di rumah dekat Lorong Becah Harimau, Kg. Lanjut Malau, Kedah.”
Sabar.. Nanti Allah Permudahkan Segalanya
“Syukur ke hadrat ilahi kerana adik saya membuka minda dan banyak membantu untuk pasarkan, sekarang ini bukan sahaja saya dapat ringankan beban keluarga. Secara tidak langsung saya dapat membantu emak dan ayah saya melalui penghasilan kerepek pisang ini.
“Usaha ini dapat mengukir senyuman kami sekeluarga. Senyuman yang diukir dari hati yang tenang mahal harganya.
“Bagi saya dan untuk wanita di luar sana, jika kita dapat mengenali kemahiran yang di anugerahkan daripada Allah, kita jangan abaikan atau persiakan.
“Mana tahu itu adalah punca rezeki yang dah tertulis. Benar kata Rasullullah 9/10 adalah punca kekayaan daripada perniagaan. Biarpun pada permulaan secara kecil-kecilan. Berkat ilmu, kesabaran, InsyaAllah akan permudahkan segalanya.”
Mingguan Wanita akan mengadakan Webinar Bangkit Wanita secara PERCUMA. Anda yang berminat boleh pilih mendaftar di mana-mana webinar pilihan masing-masing. Klik link untuk info selanjutnya :
Masalah yang selalu berlaku bila pasangan nikah luar negara bila mempertikaikan tentang status hubungan suami isteri sah atau tidak. Lebih menyedihkan tentang status anak yang telah dilahirkan.
Mungkin nampak senang bila nikah luar negara tapi kita tak tahu kesan akan datang pada isteri dan anak-anak. Akan banyak timbul masalah yang berkaitan dengan pewarisan, harta pusaka dan sebagainya.
Walaupun ada sebab-sebab tertentu pasangan kena nikah luar negara. Tapi jangan ambil mudah dan tak tahu, kena daftarkan perkahwinan di negara asal. Apa yang dibimbangkan perkara berbangkit pada masa akan datang.
Inilah yang dikongsikan oleh Roslina Sabiyah tentang kes yang viral tentang status anak seorang selebriti yang berbin/binti kan Abdullah. Mungkin tak nampak sekarang tapi bila anak itu akan mendirikan rumahtangga, isu harta pusaka dan sebagainya
Fahami apa yang dkatakan dan kesannya pada pasangan dan anak bila berkahwin luar negara.
Secara biologinya, dia memang anak kepada Halim Othman. Tetapi secara undang-undangnya, dia tetap anak kepada “Abdullah”. Apa maksudnya?
Undang-undang tidak/belum mengiktiraf kedudukan mereka sebagai bapa dan anak kandung.
1. Isu Perwalian.
Kalau Myra nak kahwin nanti, bapanya tak boleh walikan dia. Kalau nak walikan dia kena ada bukti yang dia bapa kepada Myra, paling koman tunjukkan kad pengenalan dan sijil nikah ibu bapa. Sijil nikah tak ada memang kena mohon Wali Hakim kat mahkamah syariah lah jawabnya.
2. Isu Perwarisan dan Harta Pusaka
Kalau Halim meninggal nanti, Myra tak boleh tuntut harta pusaka dia. Asas tuntutan dalam harta pusaka ialah waris-waris mestilah yang sah di sisi undang-undang. Antara bukti untuk menunjukkan seseorang waris itu sah di sisi undang-undang ialah dengan memohon sijil faraid di mahkamah syariah. Nak mohon sijil faraid kena ada bukti surat beranak dan sijil nikah. Surat beranak bin/binti Abdullah. Sijil nikah pulak tak ada. Memang tak dapat nak tolong.
Apa Myra nak buat? Minta ayah dia buat wasiat atau hibah siap-siap. Kalau wasiat Myra layak dapat 1/3 (kerana Myra bukan waris). Tapi kalau Halim nak bagi lebih, dia kena bagi harta dia kepada Myra sekarang iaitu semasa dia masih hidup.
3. Isu Nasab dan Keturunan.
Apa status Myra sebenarnya. Anak yang dilahirkan di luar daripada pernikahan yang sah ada 2 kemungkinan sahaja iaitu anak tak sah taraf ataupun anak wati’ syubhah.
Anak wati’ syubhah ialah anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dari perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu iaitu sama hukumnya dengan nikah fasid.
Anak wati’ syubhah, jika berjaya disabitkan nasabnya di mahkamah syariah, maka dia boleh dibintikan kepada bapanya, boleh berwalikan bapanya dan berhak mendapat hak perwarisan daripada bapanya.
Namun beban pembuktian untuk menentukan status anak ialah terletak ke atas ibu bapanya. Mereka kena failkan permohonan pengesahan nasab anak di mahkamah syariah. Jika mereka mendakwa telah bernikah di luar negara, beban pembuktian untuk mengatakan pernikahan itu wujud ialah ke atas pasangan suami isteri tersebut. Mahkamah hanya perlu melihat kepada dokumen atau bukti-bukti pernikahan tersebut. Hanya ada 3 kemungkinan sahaja yang berlaku di Mahkamah :
a) Dokumen nikah luar negara ada. Rukun nikah semua lengkap dan sah. Maka mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sah dan boleh didaftarkan di pejabat agama malaysia. Nasab anak juga sabit anak sahtaraf. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah. . b) Dokumen nikah luar negara ada. Tapi ada rukun nikah yang diragui contohnya pernikahan dibuat oleh jurunikah tak bertauliah ataupun wali yang tak layak. Mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sebagai pernikahan yang fasid, mengarahkan untuk difaraqkan dan pasangan tersebut perlu bernikah semula di Malaysia. Nasab anak tersebut akan disabitkan sebagai wati’ syubhah. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah (anak wati’ syubhah sama statusnya dengan anak sahtaraf).
c) Dokumen nikah luar negara tiada. Kena tunjukkan usaha untuk cari. Buat carian di pejabat agama yang didakwa telah menjalankan pernikahan di luar negara tu, buat carian di pejabat konsulat atau datangkan saksi yang boleh bagi keterangan untuk menyokong dakwaan yang pernikahan tersebut memang telah dijalankan.
Mahkamah akan memeriksa semua keterangan dan kalau berjaya akan dapat perintah seperti 2 contoh di atas. Tapi jika tak ada langsung dokumen dan usaha? Maka, beban untuk menafikan bahawa pernikahan tersebut tak wujud/tak sah dan anak tersebut anak tak sah taraf adalah terletak ke atas ibu bapa anak tersebut.
Contoh Halim saya gunakan sebab memang dia dah terang-terangan declare 1 malaysia. Dan mungkin ada masyarakat yang keliru dengan kenyataan beliau untuk mengekalkan nama Abdullah sebagai binti anaknya.
Nak kekalkan nama Abdullah tu tak ada masalah langsung sebenarnya yang penting sabitkan dulu nasab anak tu di mahkamah syariah. Pihak JPN memang tak boleh buat apa-apa selagi tak ada perintah dari mahkamah syariah berkenaan isu tersebut.
Jika dah disabitkan nasabnya, walaupun berbintikan Abdullah, dia akan dapat semua hak-hak seorang anak untuk diwalikan oleh bapanya, dapat hak faraid dari bapa dan dapat nasab keturunan bapanya. Ini bukan isu tak kisah dan tak nak menyusahkan. Ini melibatkan isu penting tentang status anak dan hak.
Jangan Ambil Mudah Hukum Nasab
Nasihat saya pada halim, jangan mengalah dan putus asa. Cuba usahakan lagi, kesian Myra. Jangan kata kes dah terlalu lama sebab ada je kes yang dah berlaku 20 tahun dulu tapi masih boleh disahkan di mahkamah sebab pihak-pihak usaha juga bawa saksi.
Jangan ambil ringan dengan bab-bab nasab dan hukum ni. Ini bukan kes terpencil. Sebenarnya bukan nasihat untuk Halim sahaja tapi ramai lagi di luar sana yang ada masalah yang sama seperti ini sebenarnya. Tolonglah ambil cakna.
Pengajaran untuk yang belum terjebak, jangan buat keputusan singkat. Nikah luar negara memang cepat dan mudah. Tapi fikirkanlah kesan jangka masa panjangnya. Kalau terpaksa juga nikah di luar negara atas sebabsebab yang tak dapat dielakkan, bila dah balik malaysia cepatlah buat pengesahan di mahkamah syariah dan daftarkan pernikahan tersebut di pejabat agama. Kesannya tak nampak sangat kepada lelaki/suami. Tapi yang jadi mangsa ialah isteri/anak-anak.
Cuba bayangkan pula kesannya pada isteri? Nak kata dah nikah pun tak ada dokumen yang sah. Nak kata dah cerai pun, sijil nikah tak ada macamana nak cerai. Kalau nak berkahwin lain?
Satu sahaja cara, dia boleh declare yang dia belum pernah bernikah dan seolah pernikahan yang terdahulu tak wujud barulah dia boleh berkahwin lain. Lagipun memang tak ada dokumen langsung kan. Jadi apa status anak daripada perkahwinan terdahulu? Anak tu tak salah. Yang salah ialah mak ayah yang tak fikir panjang.
Ambik pengajaran. Yang baik jadikan tauladan yang buruk jadikan sempadan. Biar tahu jangan keliru.
Mingguan Wanita : Apa-apapun, kena daftarkan perkahwinan. Mungkin sekarang tak nampak kesannya, tapi akan datang lagi banyak masalah yang timbul. Jangan jadikan isteri dan anak mangsa.