Bertenang & Bersabar Walaupun Sudah “Blue Tick” Ok! Jaga Adab, Hormati Waktu Privasi Orang Lain

Share

Bertenang & bersabar walaupun sudah “blue tick” ok! Jaga adab, hormati waktu privasi orang lain. Janganlah marah atau bersedih bila dapat bluetick di Whatsapp dan orang yang anda sampaikan pesanan ringkas itu tak balas langsung.

Dalam zaman teknologi maklumat canggih ini, telefon bimbit  merupakan medium penting sebagai alat perhubungan.

Tidak kira masa dan di mana mereka berada boleh berkomunikasi hanya dengan menggunakan telefon bimbit. Bukan sahaja dengan membuat panggilan tetapi juga boleh berkomunikasi dengan menggunakan pelbagai aplikasi dan paling popular sudah tentu aplikasi Whatsapp.

Bertenang & Bersabar Walaupun Sudah “Blue Tick” Ok!

Namun dalam menghubungi seseorang kawallah bicara dan paling penting anda perlu bersabar terutama apabila anda menghantar pesanan namun orang tersebut tidak membalas walaupun sudah bluetick.

Menerusi perkongsian Puan Dzuriasikim Dzulkifli berbicara mengenai adab ketika menghantar pesanan ringkas atau membuat panggilan. Ternyata perkongsian ini memberi manfaat buat kita.

10 ADAB KETIKA MENGHANTAR PESANAN RINGKAS ATAU MEMBUAT PANGGILAN TELEFON

  1. Dulu-dulu arwah ibu saya selalu berpesan, jika hendak menelefon orang jangan telefon waktu Maghrib atau lewat malam. Sehingga ke hari ini saya masih mengamalkan perbuatan yang sama dan ajarkan hal yang sama buat anak-anak. Melainkan dengan orang yang sangat rapat dengan kita contohnya pasangan suami isteri, anak-anak atau jika kita bertugas dalam bidang yang memerlukan kita untuk berinteraksi serta merta, 24 jam sehari.

 

  1. Jadi, elakkan dari menghantar mesej atau membuat panggilan pada waktu Maghrib, terlalu awal pagi atau tanpa mengira waktu seperti jam 2, 3 pagi. Bersabarlah dan tunggu waktu yang sesuai sebelum menghantar mesej atau membuat panggilan. Hormati waktu privasi orang lain.
  1. Penting untuk menghormati waktu orang lain. Mereka perlu beribadah, berehat, bersama keluarga. Menghormati privasi orang lain akan mencerminkan keperibadian diri kita serta kematangan kita berfikir.

 

  1. Apabila menghantar mesej atau membuat panggilan dan ianya tidak dijawab dengan segera, beri masa. Sabar dan tunggu sehingga ianya dibalas. Melainkan jika ianya hal kecemasan, barangkali anda boleh menulis dengan jelas dan penuh hormat seperti “Selamat Pagi, mohon maaf kerana mengganggu…. “, dan tulislah mesej yang anda rasakan perlu.  Nyatakan apa yang ingin disampikan dalam pesanan paling ringkas dan mudah difahami.  Elakkan dari menggunakan bahasa singkatan atau ejaan pendek yang memeningkan.  Ejaan dalam tulisan juga mencerminkan keperibadian penghantar.

 

  1. Memberi ruang untuk orang lain menjawab pesanan ringkas kita juga bermakna kita menghormati dan memahami penerima mesej perlu waktu untuk membalas pesanan. Barangkali bukan mesej kita seorang yang perlu dibalas. Barangkali dia sedang memandu. Barangkali dia perlu melakukan semakan sebelum membalas. Barangkali dia perlu waktu untuk berfikir.  Barangkali dia di tempat kematian.  Dan banyak kemungkinan lain.  Bertenang walaupun sudah “Blue tick” ok!

 

  1. Elakkan dari menghantar mesej bertalu-talu apabila mesej anda tidak dijawab. Ianya sangat merimaskan penerima.

 

  1. Elakkan dari menggunakan pelbagai medium bagi menghantar pesanan setelah mesej pertama dihantar. Contohnya melalui What’sApp, Telegram, DM di Instagram, BiP, Signal hanya kerana mahu mesej anda dibalas dengan segera.

 

  1. Ianya akan menjadikan anda kelihatan tidak tenang, terlalu terdesak dan berharap. Orang yang berasa dalam keadaan “desperate” begini adalah dalam vibrasi yang rendah. Berada dalam vibrasi yang rendah (“Low vibration”) seperti ini boleh membuatkan orang menjauhi anda dan tidak selesa untuk berurusan dengan anda.

 

  1. Melainkan untuk hal kecemasan seperti kematian, kebakaran, urusan kerja yang sangat penting dan tidak dapat anda tunggu hari esok contohnya. Cubalah belajar untuk bertenang dan bersabar.

 

  1. Respect is earned and not given. Penting untuk mengurus emosi diri termasuk dalam sekecil-kecil hal seperti membuat panggilan telefon dan menghantar pesanan ringkas begini. Ianya memberikan impak yang besar kepada apa sahaja urusan anda.  Jika anda berniaga, pelanggan mungkin tidak akan mahu berurusan dengan anda lagi.

Mingguan Wanita : Benar tu jagalah adab walaupun semasa menjawab pesanan ringkas mahupun panggilan telefon. 

Sumber : Facebook Dzuriasikim Dzulkefli

Sumber Foto: CANVA

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita

Published by
Norhayati Suboh