Bertekak Kerana Salah Faham, Titik Mula Aliaa Kenal Islam

Share

Lazimnya title ‘mualaf’ itu hadir sebaik menikahi pasangan Muslim ataupun memeluk Islam atas dasar cinta. Bezanya dengan wanita yang dilahirkan dengan nama Madonna Justin, gadis kacukan Melanau dan Iban ini kecintaannya terhadap Islam hadir secara tak sengaja.Ketika dibangku sekolah rendah dan menuntut di SK Sungai Sebintek, Sibu, Sarawak minatnya terhadap bahan bacaan menemukan dia dengan sesuatu yang memberi impak dalam kehidupannya hari ini. Tidak sekadar mengisi masa lapang dengan membaca, dua naskhah ini benar-benar memberi kesedaran buatnya mengenai agama dan kepercayaan yang dianuti.

“Nama saya Nur Hidayatul Aliaa Justin dan memeluk Islam secara rasmi pada 3 Jun 2007. Saya dilahirkan dengan nama Madonna Justin dan merupakan anak kacukan Melanau dan Iban. Di mana bapa dari kaum Melanau manakala ibu pula berbangsa Iban. Saya mempunyai dua orang adik perempuan berlainan bapa dan seorang adik lelaki berlainan ibu.

“Sebelum memeluk Islam, saya merupakan penganut agama Kristian…sama seperti ahli keluarga yang lain. Saya mendapat pendidikan awal di SK Sungai Sebintek, Sibu, Sarawak. Selaku anak jati Sibu persekitaran saya tidak memberikan saya info yang jelas berkenaan agama Islam. Kisah saya mengenali Islam hadir tanpa sengaja sebaik saya membaca dua buah buku yang berjudul Habil dan Qabil serta buku berkenaan Kisah 25 Rasul.

“Timbul di dalam hati persoalan berkenaan mengapa Jesus mati disalib sedangkan dia anak Tuhan, seperti yang dinyatakan dalam kuliah agama Krisitian ketika di gereja,”kongsi wanita yang dilahirkan pada 28 Jun 1989 kepada Mingguan Wanita ketika dihubungi menerusi emel.

Masih mencari jawapan

Usai tamat persekolah di peringkat rendah, Aliaa kemudian bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu, Sibu, Sarawak. Ketika di Tingkatan Dua, seperti cinta lama yang kembali berputik… Aliaa sekali lagi bertemu dengan sesuatu yang menarik perhatiannya dengan Islam ketika sedang mempelajari subjek Pendidikan Moral.

“Ketika itu guru ada menerangkan tentang nilai-nilai murni berkaitan agama Islam sewaktu kami sedang mengikuti kelas Pendidikan Moral. Persekitaran di sekolah dan juga tempat tinggal yang majoritinya hampir 90 peratus bukan Islam menjadikan keterujaan saya terhadap Islam terhalang akibat tiada tempat rujukan.

“Sewaktu di tingkatan lima, ketika di kantin…saya terdengar seorang pelajar memberi salam dan hati ini gembira tak terkata kerana akhirnya saya temui seorang pelajar yang boleh saya bertanyakan serba sedikit mengenai Islam. Pelajar tingkatan tiga itu ada menerangkan kepada saya perkara asas mengenai Islam dan Allah itu tuhan yang satu.

“Islam satu agama yang benar-benar boleh menyelamatkan saya. Ada juga perkara yang membuatkan kami berselisih pendapat sehingga berlakunya pertengkaran kecil antara kami berdua. Perselisihan faham itu membuatkan perasaan ingin mendalami Islam lebih lagi,”tutur Aliaa yang juga puteri kepada Justin Bin Benedict Rowney.

PLKN & insiden huruf “R”

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar tahun 2006 telah membawa Aliaa ke Banting, Selangor. Pertama kali mengikuti program seumpama itu dan berjumpa lebih ramai lagi pelajar seusia beragama Islam dari negeri lain di Malaysia membuka mata Aliaa terhadap Islam. Ketika melakukan aktiviti flying fox…pelajar yang tidak memakai tudung (tidak kira muslim atau tidak) digalakkan menggunakan tudung bagi melindungi rambut mereka dari berlaku kemalangan ketika melakukan aktiviti tersebut.

“Sebaik mengenakan tudung buat kali pertama, saya rasakan ia cukup selesa. Saya terus mengenakan tudung sepanjang program PLKN berlangsung dan membuatkan orang terkeliru dengan status agama saya. Kebetulan seorang cikgu di situ meminta saya menyebut huruf “R”, dan kegagalan saya menyempurnakan sebutan huruf itu membuatkan saya ditegur.

“Bagaimana nak baca Al-Quran kalau sebutan huruf “R” tebal. Saya menangis mendengar ulasan cikgu itu, dalam pada masa yang sama kawan-kawan saya kemudian memaklumkan saya bukan seorang Muslim. Kejadian itu akhirnya membawa saya kepada momen memeluk agama Islam secara rasmi pada 3 Jun 2007, sambil disaksikan seorang ustaz dari Kolej Komuniti, Banting, beberapa orang jurulatih dan juga sahabat saya ,”kongsinya yang memegang status baru, sebagai seorang Muslimah ketika menimba pengalaman menerusi program PLKN itu.

Gerak hati ibu

Tiga minggu sekembalinya dari program PLKN, Aliaa mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi di Labuan, Sabah. Urusan rasmi itu membuatkan ibunya, Isah Anak Meliw akhirnya mengetahui status agama barunya. Kecewa dan sedih, menurut Aliaa lagi ibunya menangis sebaik mengetahui status agama anaknya. Penerimaan keluarganya agak dingin sebaik isu pengislamannya diketahui.

“Ibu bertanya adakah kerana sesiapa atau saya sedang bercinta dengan seorang lelaki Muslim membuatkan saya menukar agama. Saya terangkan padanya, saya memilih untuk menjadi seorang Muslim kerana saya yakin Allah Tuhan Yang Satu dan Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan boleh menyelamatkan saya.

“Penerimaan keluarga pada awalnya pengislaman saya agak dingin. Orang disekeliling yang mengenali saya sejak kecil berasa hairan kerana saya memeluk Islam bukan kerana berkahwin. Alhamdulillah saya masih menerima sokongan positif dari rakan-rakan satu matrikulasi, pensyarah dan keluarga angkat.

“Lama kelamaan perlahan-lahan saya dapat melihat perubahan pada keluarga saya. Tiada lagi daging khinzir dibawa masuk ke rumah ataupun menjadi hidangan keluarga. Arak dan tuak hanya akan dihidangkan apabila ada upacara perayaan seperti Hari Gawai dan juga Tahun Baru Cina. Sesekali ibu juga akan hadir ke sesi ceramah di kampungnya apabila ada topik berkaitan agama Islam dikongsikan bersama masyarakat setempat,”kongsi Aliaa mengenai sisi positif keluarganya sebaik menerima keputusannya memeluk Islam.

Kesukaran kecil yang membawa bahagia

Antara cabaran awal menjadi seorang Muslim adalah menguasai bacaan ketika solat dan membaca jawi serta Al-Quran.

“Antara cabaran awal bagi saya ialah menghafal bacaan di dalam solat. Selepas syahadah, solat sudah menjadi wajib untuk didirikan. Pada awalnya hanya mengikut gerakan orang lain yang solat tapi saya berusaha untuk menghafal bacaan di dalam solat. Seterusnya cabaran ialah menyambungkan huruf-huruf jawi untuk membaca al-Quran. Pada tahun ketiga baru saya dapat membaca al -Quran dengan baik.

“Kehidupan selepas menjadi seorang Muslim, menjadi lebih bermakna sebenarnya. Sebab tahu apa tujuan saya berada di dunia ini. Selaku seorang Muslimah, harapan saya ialah agar saya terus istiqamah menjadi hamba Allah yang sentiasa mendalami Islam, mengamalkan Islam, menyampaikan Islam kepada yang lain mengikut cara yang Allah redhai. Harapan untuk ke Mekah bagi menunaikan Haji memang ada, ia adalah suatu kewajipan bagi kita umat Islam,”kongsinya yang kini bertugas sebagai guru di SM Sains Kuching Utara menutup bicara.

 

 

Published by
Mastura Burhanuddin