Lazimnya title ‘mualaf’ itu hadir sebaik menikahi pasangan Muslim ataupun memeluk Islam atas dasar cinta. Bezanya dengan wanita yang dilahirkan dengan nama Madonna Justin, gadis kacukan Melanau dan Iban ini kecintaannya terhadap Islam hadir secara tak sengaja.Ketika dibangku sekolah rendah dan menuntut di SK Sungai Sebintek, Sibu, Sarawak minatnya terhadap bahan bacaan menemukan dia dengan sesuatu yang memberi impak dalam kehidupannya hari ini. Tidak sekadar mengisi masa lapang dengan membaca, dua naskhah ini benar-benar memberi kesedaran buatnya mengenai agama dan kepercayaan yang dianuti.
“Nama saya Nur Hidayatul Aliaa Justin dan memeluk Islam secara rasmi pada 3 Jun 2007. Saya dilahirkan dengan nama Madonna Justin dan merupakan anak kacukan Melanau dan Iban. Di mana bapa dari kaum Melanau manakala ibu pula berbangsa Iban. Saya mempunyai dua orang adik perempuan berlainan bapa dan seorang adik lelaki berlainan ibu.
“Sebelum memeluk Islam, saya merupakan penganut agama Kristian…sama seperti ahli keluarga yang lain. Saya mendapat pendidikan awal di SK Sungai Sebintek, Sibu, Sarawak. Selaku anak jati Sibu persekitaran saya tidak memberikan saya info yang jelas berkenaan agama Islam. Kisah saya mengenali Islam hadir tanpa sengaja sebaik saya membaca dua buah buku yang berjudul Habil dan Qabil serta buku berkenaan Kisah 25 Rasul.
“Timbul di dalam hati persoalan berkenaan mengapa Jesus mati disalib sedangkan dia anak Tuhan, seperti yang dinyatakan dalam kuliah agama Krisitian ketika di gereja,”kongsi wanita yang dilahirkan pada 28 Jun 1989 kepada Mingguan Wanita ketika dihubungi menerusi emel.
Masih mencari jawapan
Usai tamat persekolah di peringkat rendah, Aliaa kemudian bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu, Sibu, Sarawak. Ketika di Tingkatan Dua, seperti cinta lama yang kembali berputik… Aliaa sekali lagi bertemu dengan sesuatu yang menarik perhatiannya dengan Islam ketika sedang mempelajari subjek Pendidikan Moral.
“Ketika itu guru ada menerangkan tentang nilai-nilai murni berkaitan agama Islam sewaktu kami sedang mengikuti kelas Pendidikan Moral. Persekitaran di sekolah dan juga tempat tinggal yang majoritinya hampir 90 peratus bukan Islam menjadikan keterujaan saya terhadap Islam terhalang akibat tiada tempat rujukan.
Ads
“Sewaktu di tingkatan lima, ketika di kantin…saya terdengar seorang pelajar memberi salam dan hati ini gembira tak terkata kerana akhirnya saya temui seorang pelajar yang boleh saya bertanyakan serba sedikit mengenai Islam. Pelajar tingkatan tiga itu ada menerangkan kepada saya perkara asas mengenai Islam dan Allah itu tuhan yang satu.
“Islam satu agama yang benar-benar boleh menyelamatkan saya. Ada juga perkara yang membuatkan kami berselisih pendapat sehingga berlakunya pertengkaran kecil antara kami berdua. Perselisihan faham itu membuatkan perasaan ingin mendalami Islam lebih lagi,”tutur Aliaa yang juga puteri kepada Justin Bin Benedict Rowney.
PLKN & insiden huruf “R”
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekitar tahun 2006 telah membawa Aliaa ke Banting, Selangor. Pertama kali mengikuti program seumpama itu dan berjumpa lebih ramai lagi pelajar seusia beragama Islam dari negeri lain di Malaysia membuka mata Aliaa terhadap Islam. Ketika melakukan aktiviti flying fox…pelajar yang tidak memakai tudung (tidak kira muslim atau tidak) digalakkan menggunakan tudung bagi melindungi rambut mereka dari berlaku kemalangan ketika melakukan aktiviti tersebut.
“Sebaik mengenakan tudung buat kali pertama, saya rasakan ia cukup selesa. Saya terus mengenakan tudung sepanjang program PLKN berlangsung dan membuatkan orang terkeliru dengan status agama saya. Kebetulan seorang cikgu di situ meminta saya menyebut huruf “R”, dan kegagalan saya menyempurnakan sebutan huruf itu membuatkan saya ditegur.
Ads
“Bagaimana nak baca Al-Quran kalau sebutan huruf “R” tebal. Saya menangis mendengar ulasan cikgu itu, dalam pada masa yang sama kawan-kawan saya kemudian memaklumkan saya bukan seorang Muslim. Kejadian itu akhirnya membawa saya kepada momen memeluk agama Islam secara rasmi pada 3 Jun 2007, sambil disaksikan seorang ustaz dari Kolej Komuniti, Banting, beberapa orang jurulatih dan juga sahabat saya ,”kongsinya yang memegang status baru, sebagai seorang Muslimah ketika menimba pengalaman menerusi program PLKN itu.
Gerak hati ibu
Tiga minggu sekembalinya dari program PLKN, Aliaa mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi di Labuan, Sabah. Urusan rasmi itu membuatkan ibunya, Isah Anak Meliw akhirnya mengetahui status agama barunya. Kecewa dan sedih, menurut Aliaa lagi ibunya menangis sebaik mengetahui status agama anaknya. Penerimaan keluarganya agak dingin sebaik isu pengislamannya diketahui.
“Ibu bertanya adakah kerana sesiapa atau saya sedang bercinta dengan seorang lelaki Muslim membuatkan saya menukar agama. Saya terangkan padanya, saya memilih untuk menjadi seorang Muslim kerana saya yakin Allah Tuhan Yang Satu dan Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan boleh menyelamatkan saya.
“Penerimaan keluarga pada awalnya pengislaman saya agak dingin. Orang disekeliling yang mengenali saya sejak kecil berasa hairan kerana saya memeluk Islam bukan kerana berkahwin. Alhamdulillah saya masih menerima sokongan positif dari rakan-rakan satu matrikulasi, pensyarah dan keluarga angkat.
Ads
“Lama kelamaan perlahan-lahan saya dapat melihat perubahan pada keluarga saya. Tiada lagi daging khinzir dibawa masuk ke rumah ataupun menjadi hidangan keluarga. Arak dan tuak hanya akan dihidangkan apabila ada upacara perayaan seperti Hari Gawai dan juga Tahun Baru Cina. Sesekali ibu juga akan hadir ke sesi ceramah di kampungnya apabila ada topik berkaitan agama Islam dikongsikan bersama masyarakat setempat,”kongsi Aliaa mengenai sisi positif keluarganya sebaik menerima keputusannya memeluk Islam.
Kesukaran kecil yang membawa bahagia
Antara cabaran awal menjadi seorang Muslim adalah menguasai bacaan ketika solat dan membaca jawi serta Al-Quran.
“Antara cabaran awal bagi saya ialah menghafal bacaan di dalam solat. Selepas syahadah, solat sudah menjadi wajib untuk didirikan. Pada awalnya hanya mengikut gerakan orang lain yang solat tapi saya berusaha untuk menghafal bacaan di dalam solat. Seterusnya cabaran ialah menyambungkan huruf-huruf jawi untuk membaca al-Quran. Pada tahun ketiga baru saya dapat membaca al -Quran dengan baik.
“Kehidupan selepas menjadi seorang Muslim, menjadi lebih bermakna sebenarnya. Sebab tahu apa tujuan saya berada di dunia ini. Selaku seorang Muslimah, harapan saya ialah agar saya terus istiqamah menjadi hamba Allah yang sentiasa mendalami Islam, mengamalkan Islam, menyampaikan Islam kepada yang lain mengikut cara yang Allah redhai. Harapan untuk ke Mekah bagi menunaikan Haji memang ada, ia adalah suatu kewajipan bagi kita umat Islam,”kongsinya yang kini bertugas sebagai guru di SM Sains Kuching Utara menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Menurut Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, hubungan yang baik dan erat antara ibubapa dan anak amatlah penting untuk menyempurnakan proses ‘taujih’ (pendidikan), ‘tasbit’ (pengukuhan) dan ‘himayah’ (perlindungan).
Dr. Nik Salida Suhaila
“Menurut Imam Al-Ghazali, setiap bentuk pendidikan perlulah melalui 3 fasa utama tersebut. Proses tersebut amat penting supaya ibubapa tidak melepaskan tanggungjawab sebagai pendidik, penguat dan pelindung anak-anak.
“Hari ini, ramai ibu bapa yang menuntut hak untuk menghukum anak-anak, termasuk merotan dengan alasan untuk mendidik.
Sempurnakan Hak Anak-Anak
‘’Namun tidak ramai yang bermuhasabah sama ada mereka telah menyempurnakan hak anak-anak, iaitu hak untuk dibimbing, diberi pengukuhan dan tempoh masa yang sesuai untuk menjadi anak yang soleh dan solehah sebelum dihukum jika mereka melakukan kesilapan.
“Sebab itulah, jika anak-anak kita mempunyai agama yang hidup, kita tidak perlu bimbang dengan apa jua cabaran dalam dunia hari ini kerana mereka akan dilindungi oleh disiplin agamanya,” katanya.
Ibu Hamil Mestilah Selalu Baca Al-Quran
Beliau juga menyatakan dari sudut pandang agama, proses pendidikan anak-anak sebenarnya bermula seawal dari mereka berada dalam kandungan ibu.
“Ibu yang hamil mestilah selalu membaca Al-Quran, melakukan ibadah yang fardhu, selalu berdoa dan makan dari rezeki yang halal. Apabila lahir, anak tersebut perlu diperteguhkan akidah (iman) melalui pelbagai teladan dari ibubapa. Setelah mumayyiz, anak perlulah mula diberi pendidikan jasmani dan rohani yang seimbang,” sambungnya.
Sebagai ibu bapa bagaimana Dr. Nik Salida juga menerangkan penting untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak dari mereka kecil.
“Untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil, ibubapa perlulah terlebih dahulu menunjukkan teladan dan qudwah yang baik. Ibubapa perlu saling berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain.
Jadikan Al-Quran Asas Pembinaan Rumah Tangga dan Tarbiyah
“Ibubapa perlu menjadikan Al-Quran sebagai asas pembinaan rumahtangga dan tarbiyah. Selain itu, mereka perlu mempunyai ilmu agama asas yang lengkap, iaitu tentang akidah, ibadah, munakahat, jinayat dan tasawuf.
“Setelah mempunyai ‘bekalan’ tersebut, ibubapa bolehlah memulakan langkah yang seterusnya. Kata Ibnu Qayyim, yang seharusnya dilakukan oleh seorang Muslim untuk menyembuhkan hatinya ialah melalui Al-Quran. Cara yang sama sepatutnya dilakukan untuk mendidik iman manusia. Caranya ialah dengan mengalihkan hati dari dunia kepada akhirat.
“Kedua, menghadapkan semua hati kepada pengertian-pengertian Al-Qur’an, memikirkan dan memahami apa yang dimaksudkan dan mengapa ia diturunkan serta mengamati semua ayat-ayat-Nya. Al-Quran dan Sunnah banyak sekali mengungkapkan tentang keagungan Allah SWT. Seseorang Muslim jika dihadapkan dengan keagungan Allah, hati mereka akan bergetar dan jiwanya akan tunduk.
“Ketiga, membekalkan sebanyak mungkin ilmu kepada anak-anak. Allah berfirman dalam surah Al-Fathir ayat 28 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah orang-orang yang berilmu’.
“Keempat, membiasakan anak-anak memperbanyakkan ibadah, termasuk ibadah sunat. Ibadah fizikal seperti puasa, ibadah harta seperti zakat, ibadah lisan seperti doa dan zikir dan ibadah yang yang menggabungkan semuanya seperti haji sangat bermanfaat untuk menyembuhkan iman yang lemah.
“Banyak melakukan ibadah bukan hanya menambah keimanan tetapi juga menyediakan banyak pintu untuk ke syurga.” terangnya.
Terdapat persepsi segelintir wanita mengganggap bahawa ketika berhadas besar dalam keadaan tidak suci, maka potong kuku dan rambut adalah tidak dibenarkan sama sekali. Sehinggakan jika dipotong perlu ‘dibawa’ mandi wajib sekali dan ditanam.
Rupanya tiada dalil yang melarang wanita daripada potong kuku dan rambut ketika sedang berhadas besar baik ketika haid, nifas atau junub. Hukum berkaitan perkara ini ada dijelaskan oleh PU Azman didalam laman instagramnya baru-baru ini.
Berikut perkongsian tersebut;
Tiada dalil yang melarang wanita yang haid, nifas atau hadas besar atau junub untuk mengerat kuku, rambut dan segala bulu yang ada.
Dan tak perlu untuk dibawa semua yang dah dipotong ketika mandi wajib. Kerana tiada dalil yang mewajibkannya.
Dan takder kaitan langsung kuku atau bulu yang tak dimandikan sekali akan memberi kesan buruk di akhirat kerana tiada dalil tentang itu.
Mungkin disebabkan inilah ada perempuan yang takut nak kerat kuku ketika haid sedangkan kuku yang sedia ada pun memang panjang bak kuntilanak dan waktu haid pun panjang lagi.
Bahkan ada hadis ketika Aisyah isteri Nabi menunaikan haji Wada’ bersama Nabi dan ketika itu Aisyah haid dan Nabi memintanya untuk mandi dan bersisir.
Maksud hadis :“Uraikan rambutmu dan bersikatlah. Serta berihlal (talbiyah) dengan haji dan tinggalkan umrah.”(Bukhari Muslim)
Daripada hadis ini, kita paham bahawa bersikat mengundang risiko menggugurkan rambut sedangkan Nabi takder langsung mengingatkan Aisyah tentang rambut gugur yang mesti dibawa mandi wajib nanti.
Hukum HARUS
Jadi kesimpulannya, BOLEH/HARUS potong rambut dan kuku ketika haid, nifas (segala macam hadas besar).
Tidak wajib tanam kuku atau bulu atau rambut yang sudah dipotong. Buang saja dengan baik di samping menjaga kebersihan. Kalau nak tanam, terpulang. Tapi kalau tanam dengan kepercayaan tertentu, maka khurafat.
Potong kuku dan rambut, tak wajib dibawa sekali mandi wajib, tapi kalau potong bekalan air, memang payah nak mandi wajib.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberi pencerahan buat para wanita yang keliru mengenai hukum ini. Tak salah dan diharuskan memotong kuku ketika berada dalam keadaan hadas besar.
Masalah Kepadatan Tanah, KUBUR BERTINGKAT Inisiatif Pengebumian Jenazah Baharu! Pelaksanaan kubur bertingkat di Masjid Al Jamiul Badawi di sini, menjadikan rumah ibadat itu sebagai perintis kepada masjid lain di Pulau Pinang dan seluruh negara untuk mempelajari konsep berkenaan.
Inisiatif Atasi Masalah Kepadatan Tanah
Ia berikutan kebanyakan masjid kini berdepan dengan masalah kepadatan tanah sehingga menyukarkan pengebumian jenazah baharu dilakukan dan memerlukan inisiatif lain bagi menyelesaikan isu yang dihadapi.
Pengerusi Kariah Masjid Al Jamiul Badawi Datuk Shariful Azhar Othman berkata, satu mesyuarat diadakan terlebih dahulu bagi mencapai persetujuan sebelum melaksanakan kubur bertingkat terbabit.
“Pada mulanya, pihak pengurusan ingin membeli sebidang tanah baharu bagi menyelesaikan masalah kepadatan (kubur) namun mendapat rungutan waris yang mahu semua ahli keluarga mereka dikebumikan di tanah perkuburan sama.
“Bermula dari situ, timbul idea melaksanakan kaedah kubur bertingkat yang mana model pelaksanaannya kita belajar dari sebuah masjid di Alor Setar, Kedah.
“Kemudian kita adakan perbincangan dan usulkan sebelum mendapat persetujuan semua yang akhirnya sistem kubur bertingkat dilaksanakan di tanah perkuburan masjid ini pada 2002,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, tanah perkuburan di masjid berkenaan dianggarkan berusia lebih 100 tahun semakin padat sehingga pada suatu ketika tidak ada lagi ruang untuk pengebumian jenazah baharu.
“Untuk membeli tanah baharu, ia memakan kos yang amat tinggi hingga ratusan ribu ringgit.
“Maka sistem kubur bertingkat ini dilaksanakan melalui kutipan zakat dan sumbangan kerajaan negeri,” katanya yang memaklumkan tanah perkuburan terbabit mampu bertahan sehingga 70 tahun.
Tambak Tanah Kubur Lama
Mengulas lanjut, Shariful Azhar berkata, kaedah kubur bertingkat itu adalah yang mana kubur lama ditambak dengan tanah sedalam lebih satu meter dan di atasnya ada jenazah baharu yang akan disemadikan.
“Jadi ia tidak mengganggu kubur lama bahkan lebih kemas dan tersusun, sekali gus memudahkan waris melawat.
“Ketika ini kubur bertingkat ini hanya terdapat dua lapisan dan kita tidak berhasrat untuk menambah bilangan lapisan kerana agak mustahil memandangkan ketinggiannya sudah melebihi lantai masjid,” katanya.
Katanya, masjid di bawah kelolaannya kerap mendapat kunjungan pihak luar untuk lawatan sambil belajar dalam mengatasi masalah serupa.
“Kita bukan sahaja menerima kunjungan dari wakil masjid di negeri ini tetapi juga beberapa negeri lain yang mahu mempelajari konsep ini. Pihak kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka,” katanya.
Mingguan Wanita:Menarik inisiatif ini dalam menyelesaikan masalah kepadatan tanah sekaligus menyelesaikan pengebumian jenazah baru. Semoga kaedah ini boleh digunakan oleh pihak masjid lain untuk tanah perkuburan.
Kisah menyayat hati seorang ibu di Kampung Binjai apabila anak sulungnya disahkan menghidap kanser pangkal otak tahap kritikal. Ketahui perjalanan rawatan dan bantuan yang diterima keluarga ini dalam menghadapi ujian berat.