Bertangas cara tradisional ini cuma guna 5 bahan dapur. Petua ini dikongsikan oleh bidan bersalin / bidan kampung untuk tujuan rawatan kesihatan dan kecantikan luar dan dalam. Di Korea bertangas atau ‘chai yok’ pun jadi amalan wanita di sana. Sebab itulah wanita Malaysia perlu ambil peluang ‘overhaul vagina’.
Bukan kereta je kena overhaul, wanita pun mesti overhaul vagina dengan cara bertangas tradisional agar tetap ‘meletop’. Jangan asyik menjaga tubuh dan wajah sahaja. Tetapi kita juga mesti menjaga kesihatan dan kecantikan dalaman terutama selepas melahirkan anak. Bertangas cara tradisional ini boleh saja dilakukan di rumah.
Kalau dalaman mantap, insya-Allah encik suami makin sayang, kita sendiri juga akan berasa gembira dan selesa dengan diri.Tidak perlu membazirkan wang ke spa, kita boleh merawat dalaman di rumah. Salah satu rawatan yang sangat bagus adalah bertangas.
Jom saya kongsikan ramuan untuk melakukan rawatan tangas basah, kebanyakan bahan-bahan ini ada di dapur dan sekitar rumah kita. Lakukan tangas sekurang-kurangnya seminggu sekali. Kekerapan rawatan bergantung juga kepada masalah dalaman yang kita alami.
5 Bahan Dapur Bertangas Basah Cara Tradisional
9 keping asam gelugor (juga dikenali sebagai asam keping)
3 biji Manjakani
3 helai daun sirih
2 sudu garam kasar
1 genggam daun inai
Kredit foto : jannahbeautyspa.blogspot.com
Cara Membuat
1. Rebus semua bahan sehingga mendidih.
Ads
2. Masukkan ramuan tangas ke dalam baldi atau bekas.
3. Rebusan herba diletakkan di bawah kerusi berlubang di tengah atau boleh juga diletakkan di dalam mangkuk toilet (pastikan bersih).
4. Pakai kain batik, duduk di atas kerusi tersebut.
5. Bertangas sambil melakukan kegel selama 20 minit.
6. Kemudian meruang untuk bersihkan bahagian dalam.
Antara jenis kerusi tangas / Kredit foto : mycarousell.com
Kebaikan Bertangas
• Mengurangkan masalah bau kurang menyenangkan
• Mengatasi masalah keputihan dan lendiran kental
• Mengeluarkan sisa darah haid
• Mengencangkan otot vagina
Ads
• Mengecutkan rahim selepas melahirkan anak
• Mewangikan tubuh
• Mengurangkan masalah menstrual cramps
• Membantu masalah haid tidak teratur
Kredit foto : herbalremedies.co.za
Teknik Yang Betul Senaman Kemut (Kegel)
1. Sebelum melakukan senaman kemut, anda perlu kenal pasti otot lantai pelvis. Untuk permulaan, tahan air kencing daripada mengalir. Ini cara mudah untuk mengenal pasti otot yang terlibat dalam senaman ini.
2. Bila dah kenal otot-otot ini barulah lakukan senaman kemut. Kemut bahagian yang terlibat selama 3 saat kemudian lepaskan. Ulangi langkah ini sebanyak 10 kali.
3. Jangan keraskan otot perut dan otot di sekitar lubang punggung.
4. Lakukan senaman ini sekerap mungkin untuk hasil yang terbaik. Sekurang-kurangnya lakukan tiga kali sehari.
Ads
Rasionalnya!
Takutkan bila dengar orang bercerita tentang rahim jatuh. Ada juga yang sebut tombong. Tengok gambar pun boleh mimpi ngeri. Namun inilah realitinya.
Allah jadikan rahim kita kuat untuk memegang baby di dalamnya selama 9 bulan. Jadi cuba bayangkan apa yang akan terjadi selepas itu? Baby dah keluar, rahim yang besar itu mengecut secara automatik ke? Mestilah mengambil masa yang agak lama.
Penjagaan yang rapi terutama selepas berpantang sangatlah penting. Kalau tak, susah hidup!
Bagi wanita yang berdepan masalah rahim jatuh, amalkan senaman kemut atau juga dikenali sebagai senaman kegel. Senaman ini membantu menguatkan otot-otot vagina dan mengelakkan berlakunya masalah tombong (rahim terkeluar dari vagina).
Walaupun wanita tahu kelebihan senaman kemut namun masih ramai yang tidak amalkan. Ada juga yang tiada pengetahuan mengenai senaman ini. Cubalah amalkan teknik senaman kemut yang betul seperti yang telah dikongsikan.
Satu hal yang paling menggerunkan mana-mana ibu hamil secara normal, tentulah melalui saat melahirkan dalam bilik bersalin. Paling dibimbangi tentulah menghadapi koyakan besar atau sebaliknya pada bahagian perineum atau digunting (episiotomi) semasa bersalin.
Masa nak dekat-dekat bersalin itu dah macam-macam terbayang dalam fikiran mak-mak. Besar mana koyakan, banyak mana jahitan dan tentunya semua itu merungsingkan perasaan.
Bagi yang pertama kali melalui proses kelahiran, koyakan pada vagina mungkin sesuatu yang agak asing untuk anda. Namun jika anda ada mengikuti kelas persediaan sebelum kelahiran pastinya terma tersebut telah anda ketahui.
Menurut Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, FPSK, UPM dan juga Pakar Perunding (Jemputan) Perubatan Reproduktif & Infertiliti, Hospital Pakar An-Nur,
“Perineum di dalam bahasa Yunani disebut Perineos; adalah bahagian di antara kedua belah paha, yang dibatasi oleh vulva dan anus, dengan tulang simpisis pubis di bahagian atas, dan tulang koksigeus di bahagian belakang.
“Perineum terdiri dari otot dan fasia urogenitalis serta diafragma pelvis. Perineum merupakan bahagian yang sangat penting bukan sahaja dalam hubungan intim.
“Malah terlibat secara langsung dengan proses kelahiran bayi, juga bertindak sebagai bahagian yang penting untuk mengawal proses pembuangan air kencing dan najis.
Sebenarnya, mak-mak yang bakal melahirkan boleh mengurangkan koyakan besar pada bahagian perineum jika tahu caranya. Lakukan sebelum tibanya tarikh melahirkan. Ketahui 7 tip pencegahan yang dikongsikan Dr Maiza ini.
7 Tip Pencegahan Koyakan Besar Pada Perineum
1. Jangan Panik! Bersedia dengan ilmu kelahiran menjadikan bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran.
2. Senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan tiga kali sehari sepanjang tempoh kehamilan.
3. Urutan perineum beberapa minggu sebelum kelahiran berpotensi untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk.
4. Meneran dengan betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah.
5. Jangan teran terlalu awal! Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih tinggi menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.
6. Posisi yang betul! Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki, dan jangan sesekali mengangkat punggung!
7. Dengar arahan doktor dan amalkan berzikir dan doa sepanjang proses kelahiran.
Rawat Kecederaan Perineum (Koyakan)
Koyakan tahap pertama dan kedua adalah koyakan yang boleh dijahit secara langsung tanpa memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke dewan bedah. Rawatan susulan juga agak ringkas dan tidak memerlukan rawatan susulan yang kerap.
Koyakan tahap ketiga dan keempat diklasifikasikan sebagai kecederaan perineum yang kompleks di mana pesakit perlu melalui pembedahan di bilik bedah untuk menjahit bahagian yang koyak.
Bergantung kepada tahap kesukaran untuk merawat koyakan tersebut, pesakit mungkin memerlukan perawatan dan pemantauan kombinasi daripada pakar bedah kolorektal dan uroginekologi.
10 Cara Pulihkan Kesan Jahitan Dengan Panduan Doktor
1. Lazimnya ibu akan dibekalkan dengan ubat untuk melembutkan najis bagi membantu melawaskan proses pembuangan najis.
2. Jahitan pada vagina tidak perlu dibuka, benang yang digunakan merupakan benang mudah-serap.
3. Proses penyembuhan bergantung kepada tahap koyakan vagina. Bagi yang mengalami tahap koyakan pertama dan kedua, lazimnya luka akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh 2-3 minggu bergantung kepada tahap kesihatan dan imuniti badan.
4. Ibu hendaklah sentiasa memastikan bahagian sulit sentiasa bersih dan kering terutama selepas mencuci bahagian kemaluan mahupun selepas mandi.
5. Dinasihatkan tidak menyapu sebarang bahan pada bahagian luka tanpa nasihat doktor.
6. Pemakanan yang seimbang dengan nutrisi yang lengkap dan minum air secukupnya menggalakkan penyembuhan yang pantas.
7. Bagi kelahiran yang dimaklumkan kepada klinik kesihatan, Jururawat desa akan memeriksa luka dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
8. Tanda luka telah sembuh adalah apabila ibu tidak lagi merasa pedih pada bahagian luka ketika mencuci bahagian sulit.
9. Bagi ibu yang mengalami jangkitan pada luka, atau luka yang lambat sembuh atau sentiasa berair adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan selanjutnya.
10. Manakala, bagi ibu yang mengalami koyakan tahap 3 dan 4, lazimnya rawatan susulan di hospital pakar adalah dalam tempoh 2 hingga sebulan selepas kelahiran. Tanda luka perineum tidak mengalami komplikasi adalah apabila ibu masih mampu menahan kentut & pembuangan air besar.
Kecederaan Perineum (Koyakan) Ketika Proses Kelahiran
Statistik menunjukkan bahawa sekitar 90% wanita mengalami kecederaan perineum semasa bersalin; manakala segelintir wanita boleh mengalami kecederaan perineum yang lebih teruk yang boleh merosakkan otot dubur dan fungsi seksual.
Statistik yang dilaporkan oleh British Journal of Obstetrics & Ginekology yang menganalisis trend kecederaan perineum di semua hospital NHS di England menonjolkan kenaikan tiga kali ganda koyakan perineum tahap ketiga atau keempat, dengan kadar peningkatan dari 1.8% pada tahun 2000 kepada 5.9% pada tahun 2011 di kalangan ibu yang pertama kali melahirkan.
American Journal of Obstetrics and Gynecology, melaporkan wanita Asia lebih cenderung mengalami kecederaan perineum, dengan 2.5% daripadanya mengalami koyakan perineum tahap ketiga atau keempat
Malangnya, adalah sukar untuk meramal dan menghalang kemungkinan berlakunya kecederaan perineum kepada bakal ibu yang sedang melalui proses kelahiran.
Walau bagaimanapun, doktor perbidanan akan menimbangkan faktor risiko tertentu untuk menjangkakan kemungkinan berlakunya kecederaan perineum dan langkah-langkah merawat yang sewajarnya dapat di laksanakan.
Faktor/risiko tersebut termasuk sejarah mengalami koyakan vagina yang teruk, distosia bahu, ibu mengalami proses kelahiran pada fasa yang panjang, kelahiran pertama, jangkaan bayi dalam kandungan yang besar, kelahiran yang perlu dipaksa dengan ubat atas faktor kesihatan dan kelahiran secara vakum atau forsep.
Betul Ke Semua Ibu Mengandung Perlukan Episiotomi?
Episiotomi adalah kaedah memotong sedikit bahagian di antara faraj dan lubang dubur ketika kepala bayi mula keluar dari faraj.
Ia bagi mengurangkan risiko koyakan yang tidak terkawal pada faraj ketika bersalin. Kaedah menggunting atau memotong sedikit pada faraj ini dapat memudahkan laluan bayi.
Hospital kerajaan dan kebanyakan hospital swasta mengamalkan polisi ‘selective episiotomy’ atau ‘episiotomi selektif’ di mana hanya ibu yang mempunyai risiko seperti kelahiran songsang, kelahiran vakum atau forceps.
Namun, teknik ini bukanlah menjadi kemestian atau rutin setiap kali menyambut kelahiran bayi melainkan sebagai pilihan terakhir semata-mata.
Kenali Tahap Kecederaan Perineum Mak Bersalin
Koyakan tahap pertama : Koyakan melibatkan lapisan kulit sekitar vagina sahaja, atau lapisan luar perineum.
Koyakan tahap kedua : Koyakan melibatkan kulit sehingga lapisan mukosa vagina dan otot perineum.
Koyakan tahap ketiga : Melibat otot di bahagian dubur, ia perlu dijahit lapisan demi lapisan dan sekiranya tidak dijahit dengan sempurna, akan mendatangkan komplikasi yang serius
Terbahagi kepada koyakan tahap ketiga iaitu:
3a: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan kurang daripada 50%.
3b: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan lebih daripada 50%.
3c: Koyakan yang melibatkan sfinkter dalam dubur.
Koyakan tahap keempat : Melibatkan koyakan terus dari kulit perineum, mukosa vagina, otot, sfinkter dubur, sehingga ke mukosa rektum.
Rujukan : American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) & RCOG
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Perkahwinan itu merupakan penyatuan dua insan dalam satu ikatan. Daripada berstatus pasangan kekasih, mereka kemudian bergelar suami isteri yang sah dan diraikan mengikut adat dan budaya masing-masing. Walaupun begitu, masih wujud amalan pelik ataupun kepercayaan yang masih lagi diguna pakai sehingga kini. Khabarnya lagi, sekiranya amalan itu tidak diteruskan, kemungkinan besar perkahwinan pengantin tadi bakal ditimpa malang dan jodohnya tidak panjang. Berikut adalah ritual pelik lagi aneh yang masih kekal diamalkan bagi meraikan pasangan pengantin baru diseluruh dunia.
1. Juadah dari mangkuk tandas
Di Perancis sudah menjadi kebiasaan pasangan pengantin baru wajib menikmati hidangan istimewa. Tetapi selepas anda mengetahui cara makanan istimewa tersebut dihidangkan, pastinya anda akan memikirkan berkali-kali nak makan atau pun tidak. Ini kerana semua sisa makanan tetamu akan disatukan dan dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk khas menyerupai mangkuk tandas. Pasangan pengantin baru itu wajib menghabiskan makanan tersebut tanpa meninggalkan sedikit pun sisa-sisa. Sekiranya makanan itu tidak dimakan, pasangan pengantin baru itu perlu membayar cukai sebagai denda yang khabarnya cukup besar nilainya.
2. Bersedia dikotorkan
Di Scotland, pasangan pengantin baru akan disirami dengan sebaldi cecair yang merupakan gabungan apa sahaja bahan yang boleh didapati di dapur. Antaranya sos tomato, tepung, daging cincang, isi ikan dan apa-apa sahaja yang kotor. Ahli keluarga dan teman-teman kepada pengantin akan bergilir-gilir mengotorkan pengantin dengan campuran cecair itu. Setelah dikotorkan dengan sengaja, pasangan pengantin kemudian di bawa keluar dalam keadaan kotor sebegitu. Masyarakat di Scotland percaya, pengantin wanita terutamanya yang dikotorkan itu akan menjadi lebih kental dan kuat mentalnya dalam mendepani apa jua ujian dalam rumah tangga di masa depan.
3. Berkahwin dengan pokok
Tradisi perkahwinan di India cukup unik, ini termasuk ada juga pengantin yang memilih untuk berkahwin dengan objek. Perkahwinan ini dikenali sebagai ‘manglik’. Manglik merupakan perkahwinan di antara manusia dengan pokok, anjing sebelum mereka dibenarkan berkahwin dengan manusia. Bagi masyarakat disana, mereka yakin sekiranya pengantin itu tidak berkahwin dengan objek terlebih dahulu, dikhuatiri sama ada pengantin lelaki atau pengantin perempuan akan meninggal dunia sebaik mereka berkahwin nanti.
4. Ibu pengantin yang membawa malang
Dalam kepercayaan masyarakat Benggali pula, ibu kepada pengantin lelaki dan juga pengantin perempuan dilarang keras menghadiri hari perkahwinan anak-anak mereka. Ini kerana masyarakat di sana mempercayai wujudnya semangat jahat yang datang daripada ibu pengantin dan boleh mengancam keharmonian rumah tangga pasangan ini. Jadi jangan pelik ya kalau ibu kepada pengantin tak nampak pula kelibatnya di hari perkahwinan anak mereka.
5. Memanah pegantin perempuan
Di China salah satu daripada agenda ritual pengantin di sana adalah dengan mengadakan sesi memanah yang dilakukan oleh pengantin lelaki ke atas pengantin perempuan. Walau bagaimanapun anak panah yang digunakan oleh pengantin lelaki tidak mempunyai bahagian mata yang tajam. Lazimnya anak panah tersebut akan disasarkan oleh pengantin lelaki ke arah isterinya sebanyak tiga kali. Selesai sesi memanah, pengantin lelaki akan mengutip kembali anak panah yang telah digunakan dan mematahkannya kepada dua bahagian. Menurut kepercayaan masyarakat di sana, simboliknya penggunaan anak panah itu menunjukkan ikatan cinta pasangan baru berkahwin ini akan berkekalan selamanya.
6. Lebih berisi lebih baik
Jika pengantin perempuan lain sanggup mengikat perut, demi kelihatan jelita dan langsing di hari perkahwinan mereka, lain pula kisah pengantin perempuan di Mauritius. Pengantin perempuan di negara tersebut, diarahkan makan sebanyak mungkin bagi menaikkan berat badan. Katanya pengantin yang berisi lebih baik dan ia juga melambangkan kesuburan, kekayaan serta kemewahan. Untuk pengetahuan anda lagi, lelaki di Mauritius lebih cenderung mencari calon isteri yang berisi kerana ia lebih menawan.
7. Lamaran dengan menggunakan gigi ikan paus
Di Fiji tradisi yang masih terus diamalkan adalah dengan menggunakan rantaian gigi ikan paus sebagai sebahagian daripada tradisi melamar pengantin perempuan. Gigi ikan paus tersebut dikenali sebagai ‘tabua’ dan ia akan dipersembahkan kepada bapa bakal pengantin perempuan sewaktu sesi lamaran oleh pengantin lelaki. Hampir ke semua keluarga di Fiji menyimpan tabua bagi kegunaan anak-anak lelaki mereka terutamanya apabila tibanya masa mereka ingin melamar gadis pujaan hati.
8. Bersedia untuk diludah
Puak kaum Masai di Kenya masih lagi mengekalkan adat kepercayaan yang menjadi pegangan nenek moyang mereka sejak dahulu lagi. Di sini, tidak ada istilah, bercinta sebelum kahwin. Sebaliknya urusan perkahwinan diserahkan sebulat-bulatnya kepada orang tua dan mereka akan mengadakan satu mesyuarat bagi memilih calon suami yang sesuai untuk dijodohkan dengan anak perempuan mereka.Hanya apabila calon suami sudahpun ditemui, barulah majlis perkahwinan berlangsung. Di hari perkahwinan itu, lazimnya pengantin perempuan akan dibotakkan kepala mereka keseluruhannya. Kemudian kepala pengantin perempuan itu akan dilumurkan dengan lemak kambing yang telah dijadikan minyak. Bagi melengkapkan ritual tradisi itu, si bapa pengantin perempuan akan meludah ke bahagian kepala anaknya dan ke bahagian payudaranya simbolik restu,tuah dan nasib yang baik.
9. Putih
Secara normalnya, pemilihan warna putih cukup sinonim dengan pengantin. Ia merupakan lambang kesucian, peralihan dan penghormatan terhadap ikatan suci pasangan pengantin baru. Di Jepun, pengantin perempuan di sana akan menggenakan busana pengantin serba putih dilengkapi dengan solekan wajah yang putih. Ia merupakan simbolik kepada kesucian dan juga lambang keegoan seorang menantu perempuan terhadap ibu mertuanya. Ini kerana pengantin perempuan disana akan memakai hiasan kepala khas yang memberi pengertian ego dan pentingkan diri. Selain itu ia juga menjadi simbol kepada kelembutan dan isteri yang mentaati sang suami.
10. Kasut pengantin lelaki
Di India, pengantin lelaki lazimnya akan menanggalkan kasut mereka sebelum melangkah ke upacara pernikahan. Sebaik kasutnya ditanggalkan, akan ada ahli keluarga pengantin perempuan yang ditugaskan untuk ‘mencuri’ kasut pengantin lelaki. Manakala pihak keluarga pengantin lelaki pula ditugaskan untuk mengawasi kasut si pengantin lelaki daripada dicuri. Sekiranya kasut tersebut berjaya dicuri, pihak pengantin lelaki perlu membayar denda untuk mendapatkan kasut itu semula.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Kakak Hamil Tiga Bulan Dan Disahkan Kanser
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Demam On Off Dekat Sebulan Lamanya
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Besar Jumlah Wang Ringgit, Tenaga Dilaburkan Untuk Rawatan
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Akhirnya Kakak Mengalah, Lakukan Rawatan Di Hospital
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Sentiasa Jaga Solat Walau Diuji Sakit Tenat
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Berseri-seri Kakak Tunaikan Umrah
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Kakak Sudah Pergi Untuk Selamanya
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
Edika berusaha selamatkan perkahwinan 22 tahun, tapi jika isteri masih mahu cerai kita ikut apa dia nak. Hari ini di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan...