Solat Tahajud sangat dituntut dalam meningkatkan keimanan kepada Allah. Namun, dalam asyik melakukan amal ibadah untuk mencari redha dan rahmat Allah,jangan sesekali ada lintasan hati perasaan bangga dalam melaksanakannya.
Apatah lagi terbitnya perasaan rasa diri kita lebih baik dan yakin semua amalan kita diterima Nya.Ia bukan hanya sekadar beribadah semata-mata namun perlu juga seimbang dengan berbuat baik dan mengambil peduli keperluan orang-orang disekililing kita.
Seorang ahli ibadah yang bernama Abu bin Hasyim, seorang yang sentiasa solat sunat tahajud. Hampir bertahun-tahun dia tidak pernah tinggal melakukan solat tahajud.
Pada suatu malam saat dia hendak mengambil wuduk untuk solat tahajud, Abu bin Hasyim terkejut oleh kehadiran makhluk yang duduk di tepi periginya. Abu bin Hayim bertanya, “Wahai hamba Allah, siapakah engkau?”
Sambil tersenyum, makhluk itu berkata, “Aku malaikat utusan Allah,” Abu Bin Hasyim hairan sekaligus bangga kerana kedatangan malaikat mulia itu. Abu bin Hasyim lalu bertanya, “Apa yang kamu lakukan di sini?” Malaikat itu menjawab, “Aku disuruh mencari hamba pencinta Allah.”
Abu bin Hasyim melihat malaikat itu memegang kitab yang tebal, lalu bertanya lagi, “Wahai malaikat, buku apakah yang kau bawa itu?” Malaikat itu menjawab, “Ini adalah kumpulan nama hamba-hamba pencinta Allah swt.”
Mendengar jawapan malaikat itu, Abu bin Hasyim berharap dalam hati namanya pasti ada tertulis. Maka ditanyalah malaikat itu lagi, “Wahai malaikat, adakah namaku tertulis disitu?” Abu bin Hasyim yakin bahawa namanya pasti tertulis di dalam buku itu, mengingati amalan ibadahnya yang tidak pernah lelah dan putusnya. Dia selalu mengerjakan solat tahajud setiap malam, berdoa dan bermunajat kepada Allah swt di sepertiga malam.
“Baiklah, aku periksa,” kata malaikat itu sambil membuka kitab besarnya. Dan ternyata malaikat itu tidak menemukan nama Abu bin Hasyim di dalamnya.
Dengan tidak percaya, Abu bin Hasyim meminta malaikat itu memeriksanya sekali lagi. “Sesungguhnya namamu tidak ada didalam buku ini,” kata malaikat itu.
Abu bin Hasyim menjadi gementar dan jatuh tersungkur di depan malaikat itu. Dia menangis teresak-esak. “Rugi sekali diriku yang selalu tegak berdiri di setiap malam dalam tahajud dan bermunajat tetapi namaku tidak termasuk dalam golongan para hamba pecinta Allah swt,”
ratapnya.Malaikat itu berkata, “Wahai Abu bin Hasyim ! Bukan aku tidak tahu yang engkau bangun tahajud setiap malam ketika yang lain sedang tidur, mengambil air wuduk pada saat orang lain terlelap dalam buaian malam.Sesungguhnya tanganku dilarang oleh Allah swt daripada menulis namamu.
“Apakah yang menjadi penyebabnya,” tanya Abu bin Hasyim.
“Engkau memang rajin bermunajat kepada Allah swt, tetapi engkau tunjukkan ibadah mu itu dengan rasa bangga dan asyik beribadah hanya memikirkan untuk diri kamu sendiri.
Sedangkan di kanan dan kirimu ada orang yang sakit atau lapar, tidak engkau hiraukan, ziarah dan memberi makan. Bagaimana mungkin engkau dapat menjadi hamba pecinta Allah swt jikalau engkau sendiri tidak pernah mencintai hamba-hamba yang diciptakan Allah swt?” kata malaikat itu.
Abu bin Hasyim rasa seperti disambar petir. Dia menyedari bahawa hubungan ibadah manusia itu tidaklah hanya kepada Allah swt semata-mata (hablummina Allah), tetapi juga sesama manusia atau makhluk Allah swt (hablum minannas) dan sekalian alam.
Sementara itu, antara kisah lain turut dikongsikan dalam Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al Ghazali ini adalah perbualan antara Nabi Musa dan Allah SWT dalam mencari redaNya.
Nabi Musa: Wahai Allah, aku sudah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuat Engkau reda?
Allah: Solat mu itu untuk dirimu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara daripada perbuatan keji dan munkar. Zikirmu itu hanya untukmu sendiri, membuat hatimu menjadi tenang. Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.
Nabi Musa: Lalu apa yang membuat Mu reda Ya Allah?
Allah: Sedekah, infaq, mengeluarkan zakat serta perbuatan baikmu.Itulah yang membuatkan Aku senang, kerana tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang susah, Aku hadir disampingnya.Dan Aku akan mengganti mu dengan ganjaran 700 kali (Al-Baqarah 261-262).
Oleh itu, apabila seseorang hanya sibuk dengan ibadah kerohanian semata-mata dan merasa bangga dengannya maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukan Allah swt.
Tetapi apabila engkau berbuat baik dan berkorban untuk orang lain maka itu tandanya engkau mencintai Allah swt dan tentu Allah swt senang kerananya.Lakukanlah apa yang Allah swt reda kepadamu maka Allah swt akan limpahkan rahmat-Nya dengan membuat hidupmu lapang dan bahagia.
Sumber: Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al Ghazali
Baca Lagi Di Sini:
Solat Taubat Kena Buat Selalu Sampai Hati Rasa Lapang
Tip Bangun Solat Tahajud Untuk Beginner, Cara Konsisten Tak Paksa Diri
MW:Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita. Penting tidak berbangga-bangga dalam melakukan ibadah, malah tidak hanya memikrkan untuk diri sendiri. Menjadi keperluan turut mengambil berat orang sekeliling kita, membantu didalam kesusahan, mengeratkan silahturahim sesama manusia untuk mendapat rahmat dan redhaNya.
Sumber:Shakirah Hasman